Dengan pelancaran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX yang terbaru, nampaknya pelbagai pembina kad grafik sudahpun mula mengumumkan siri kad grafik mereka berdasarkan kad grafik tersebut.
ASUS baru sahaja memperkenalkan tiga buah kad grafik baru berdasarkan kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti dan RTX 2080 melalui kad-kad grafik ASUS ROG Strix GeForce RTX 2080 Ti dan 2080, ASUS Dual GeForce RTX 2080 Ti dan 2080 dan ASUS Turbo GeForce RTX 2080 Ti dan 2080.
Model ASUS ROG STRIX direka menggunakan teknologi Auto-Extreme dimana papan-papan dan komponen yang hadir pada kad grafik ini dipasang menggunakan teknologi automasi ASUS yang mengurangkan masalah tersilap pateri, yang meningkatkan lagi kecekapan pembinaan komponen-komponen ini. Model ini turut menggunakan sistem penyejukan Axial Tech yang menggunakan tiga bilah kipas untuk menyejukkan komponen-komponen di dalam laptop ini.
Model kad grafik ASUS Dual pula hadir dengan rekaan dwi-kipas Wing-blade yang diberi sokongan anti-habuk IP5X, dan juga ciri 0db dimana kipas kad grafik ini tidak akan berpusing apabila cip pemprosesan grafik berada di bawah suhu yang tertentu.
Kad grafik ASUS Turbo pula menggunakan sistem penyejukan vapor chamber yang hadir dengan rekaan seakan-akan kad grafik NVIDIA Founders Edition sebelum ini yang mempunyai sebuah kipas sahaja. Model ini disyorkan jika anda ingin membina sebuah sistem komputer yang tidak mempunyai ruangan udara dalaman yang banyak.
Sama seperti kad-kad grafik yang diumumkan oleh NVIDIA, kad-kad grafik siri NVIDIA GeForce RTX ini akan mula dijual di pasaran dunia pada 20 September kelak. Pra-tempah untuk kad-kad grafik ini sudahpun bermula di Lazada.