Xiaomi hari ini telah memperkenalkan sub-jenama mereka tersendiri yang dinamakan Poco. Telefon pertama dibawahnya adalah Poco F1 yang menawarkan spesifikasi tinggi setaraf pelbagai peranti berspesifikasi tinggi lain seperti OnePlus 6 dan juga Samsung Galaxy S9.
Poco F1 hadir dengan skrin 6.18-inci dengan paparan resolusi HD penuh, dilengkapi rekaan skrin bertakuk, dijana cip Snapdragon 845, memori sehingga 8GB RAM, dan storan sehingga 256GB UFS2.1.
Telefon pintar ini juga hadir dengan sokongan penyejukan berasaskan cecair, dilengkapi bateri 4000mAh dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0.
Pada bahagian takuk, Poco F1 hadir dengan sokongan infra-merah yang menyokong nyah-kunci berasaskan wajah pada pelbagai keadaan cahaya persekitaran. Pengguna juga turut boleh mengaktifkan baru hitam yang akan menyembunyikan paparan takuk pada peranti berkenaan.
Untuk bahagian audio pula, ia hadir dengan sokongan Dirac HD Sound yang menawarkan kualiti audio tinggi, sekaligus membolehkan anda menikmati pelbagai muzik dan audio dengan baik menggunakannya.
Untuk rakaman gambar, ia menyertakan dwi-kamera belakang 12-megapixel + 5 megapixel, selain kamera hadapan 20-megapixel. Poco F1 turut mengintegrasikan sokongan kecerdasan buatan untuk menjadikan sesuatu gambar itu lebih cantik berbanding rakaman biasa.
Dari segi perisian, Poco hadir dengan sistem operasi Android, dan dilengkapi antaramuka baru yang dinamakan sebagai “MIUI for Poco“. Melaluinya, ia menyertakan POCO Launcher yang lebih kemas dan hadir dengan kecerdasan buatan untuk mengkategorikan pelbagai aplikasi, menjanjikan akses aplikasi lebih pantas, dan mengatakan akan menawarkan kemaskini yang lebih pantas.
Poco F1 dengan 6GB RAM 64GB storan ditawarkan pada harga Rs.20999 di India, iaitu sekitar RM1230. Model variasi 6GB dan 128GB storan pula ditawarkan pada harga Rs23999 (sekitar RM1406). Variasi storan paling tinggi adalah 8GB RAM dan 256GB pada harga Rs28999 iaitu sekitar RM1699.
Poco F1 telah pun melepasi pengesahan Sirim di Malaysia, dan kita mungkin melihat ia dilancarkan untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.