NVIDIA Memperkenalkan Ciri-Ciri GeForce Experience Baru Menjelang Pelancaran Kad Grafik GeForce RTX

NVIDIA Memperkenalkan Ciri-Ciri GeForce Experience Baru Menjelang Pelancaran Kad Grafik GeForce RTX

Diterbitkan pada Ogos 23, 2018 oleh .

Dengan pelancaran kad grafik siri NVIDIA GeForce RTX yang bakal berlaku pada bulan hadapan, NVIDIA turut mengumumkan beberapa ciri-ciri baru yang bakal hadir untuk perisian GeForce Experience, iaitu perisian NVIDIA yang boleh digunakan untuk mengemaskini driver kad grafik, mengaktifkan ciri penstriman dan sebagainya.

NVIDIA dilihat bakal mengemaskini beberapa ciri yang hadir melalui perisian GeForce Experience mereka, terutama sekali ciri Ansel, dimana pengguna boleh mengambil gambar rakaman skrin di dalam permainan-permainan komputer yang menyokong teknologi tersebut.

Menurut pengumuman NVIDIA, ciri Ansel ini bakal dikembangkan daripada 50 tajuk permainan komputer buat masa ini kepada 250 tajuk dalam masa yang terdekat. Ini adalah kerana NVIDIA dilihat bakal melanjutkan ciri Ansel ini kepada permainan-permainan komputer yang tidak menggunakan SDK Ansel yang biasanya diperlukan untuk menggunakan ciri tersebut.

Ciri-ciri ini termasuklah kebolehan mengambil gambar rakaman skrin, penuras imej, sokongan untuk gambar rakaman yang diedit dengan ciri HDR, dan juga ciri Super Resolution dimana anda boleh mengambil gambar rakaman pada resolusi Full HD, dan Ansel akan meningkatkan kualiti resolusi tersebut setinggi 8K.

Dalam pada itu, Ansel juga bakal hadir dengan beberapa ciri baru yang akan menggunakan teknologi Ray Tracing pada kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX, yang membolehkan pengguna menambahkan titik cahaya tambahan untuk membuatkan pantulan cahaya dan bayang-bayang kelihatan lebih realisitik pada gambar rakaman anda.

Lebih menarik lagi, Ansel juga turut akan menerima ciri seperti Green Screen, Sticker dan Letterboxing untuk membuatkan imej rakaman skrin anda kelihatan lebih ceria lagi.

Buat masa ini, pihak NVIDIA masih belum lagi mengumumkan tarikh kemaskini GeForce Experience ini, tetapi melihat kepada ciri-ciri yang akan hadir pada perisian tersebut, terdapat kebarangkalian besar bahawa ia akan hadir sekitar pelancaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX pada penghujung bulan September.


TIPS & ULASAN