ASUS Zenfone Max Pro M1 – Telefon Pintar Yang Memfokuskan Permua Dengan Sokongan Bateri 5000mAh

ASUS Zenfone Max Pro M1 – Telefon Pintar Yang Memfokuskan Permua Dengan Sokongan Bateri 5000mAh

Diterbitkan pada Ogos 27, 2018 oleh .

ASUS telah memperkenalkan telefon pintar Zenfone Max Pro M1 pada Mei yang lalu. Di Malaysia, telefon pintar ini hadir dengan tiga variasi berbeza dari segi memori, storan dan kamera. Bagi variasi 3GB RAM/32GB, telefon pintar ini hadir dengan sensor 13MP + 5MP untuk kamera utama dan 8MP untuk kamera hadapan. Bagi variasi dengan dengan storan 4GB RAM/64GB dan 6GB RAM/64GB, ia hadir dengan sokongan dwi kamera gabungan 16MP+5MP untuk kamera utama dan 16MP untuk kamera hadapan.

Bagi pemain permua, paparan yang baik tanpa lengah masa dapat memberi kepuasan kepada pengguna untuk bermain. Telefon pintar ini hadir dengan rekaan skrin sebesar 5.99 inci Full HD+. Walaupun saiz paparan skrin telefon pintar ini besar, saiz fizikalnya sama seperti telefon pintar yang hadir dengan skrin 5.5 inci. Reka bentuk telefon pintar yang hadir dengan nisbah 18:9 ini sekaligus dapat memberikan keselesaan kepada pengguna untuk dipegang.

Daripada segi resolusi paparan pula, telefon pintar ini hadir dengan resolusi 2160X1080p dan menjanjikan paparan dengan keperincian sehingga 85% NSTC color gamut. Memandangkan telefon pintar ini hadir dengan rekaan skrin yang besar, kandungan paparan dapat dibuat dengan lebih menyeluruh dan dapat mengurangkan proses penatalan sekaligus memberikan kepuasan kepada pemain permua.

Rekaan dengan nisbah paparan 18:9 ini memboleh anda untuk mengaktifkan fungsi split screen dengan tepat pada nisbah 9:9 sekaligus membolehkan pengguna untuk membuat dua kerja dalam masa yang sama dengan mudah. Fungsi Split screen ini juga boleh dipaparkan dalam paparan potret dan melintang.

Dari segi kualiti paparannya, gabungan teknologi paparan Qualcomm’s TruPallete dan EcoPix digunakan. Gabungan teknologi ini dilihat dapat memberi impak kepada paparan dengan kadar brightness sehingga mencapai 450 nits selain memberi nisbah contrast pada kadar 1500:1.

Telefon pintar keluaran ASUS ini juga menawarkan viewing angle yang sangat luas jika dilihat dari sudut berlainan sekaligus dapat memberikan pengalaman permainan yang baik untuk pemain, terutamanya penembak pandang pertama. Hal ini kerana, viewing angle yang luas ini memberi peluang kepada penembak pandang pertama untuk mendapatkan paparan yang lebih luas kerana butang kawalan tidak terletak terlalu rapat dan padat di paparan skrin.

Android asli (stock Android) juga turut ditawarkan pada telefon pintar ini bersama sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo. Penawaran Android asli ini merupakan yang pertama ditawarkan untuk peranti keluaran ASUS. Antaramuka untuk sistem operasi Android asli ini memaparkan antaramuka asas yang kemas tanpa sebarang pengubahsuaian yang boleh dibuat pada paparan peranti.

Bagi pemain permua tegar, spesifikasi dan grafik yang baik sangat membantu pengalaman pemainan mereka. Bagi telefon pintar ASUS Zenfone Max Pro M1 ini, telefon pintar ini dijana dengan cip Snapdragon 636, mempunyai CPU lapan-teras baru berasaskan Kyro 260, dengan kluster empat-teras Cortex-A73 yang mana ia menawarkan prestasi 50% lebih pantas, lebih lancar dan lebih efisien berbanding siri-siri Zenfone yang lain.

Bateri juga merupakan satu ciri yang seringkali diambil kira untuk pemain permua dalam memilih telefon pintar yang sesuai untuk mereka. Telefon pintar ASUS Zenfone Max Pro M1 ini dibina dengan bateri bekapasiti tinggi iaitu sebesar 5000 mAh yang mana ia mampu bertahan sehingga 5-6 jam untuk kegunaan harian dan 4-5 jam jika bermain permua. Jika pengguna bermain permua dalam masa yang lama, telefon pintar ini tidak cepat panas dan hanya memberi haba suam yang sangat sedikit sahaja. Hal ini sekaligus memberikan keselesaan kepada pengguna untuk bermain permua menggunakan telefon pintar ini dalam masa yang panjang.

Jenis pengecasan yang dibina pada Zenfone Max Pro M1 ini adalah pengecas Micro USB yang mana telefon pintar ini mampu dicas penuh dalam masa 2 jam 42 minit daripada 0% sehingga 100%. Bagi pemain yang ingin memanjangkan lagi jangka hayat peranti ini, satu fungsi iaitu battery saver boleh diaktifkan untuk memanjangkan jangka hayat bateri. Apabila fungsi ini diaktifkan, kesan animasi, penggunaan data, dan jumlah aplikasi yang dijalankan secara latar akan dikurangkan prestasinya bagi meningkatkan masa peranti untuk bertahan.

Audio yang baik dan sedap didengar juga dapat memberi impak kepada prestasi permainan. Selain daripada rekaan yang kukuh dan kapasiti bateri yang besar, sistem audio untuk Zenfone Max Pro M1 ini juga hadir dengan rekaan 5-magnet pembesar suara yang dapat menghasilkan bunyi sehingga 41% lebih kuat berbanding rekaan 3-magnet pembesar suara yang biasa. Walaupun bunyi yang dihasilkan adalah 41% lebih tinggi, namun tiada sebarang gangguan bunyi dapat didengar. Hal ini kerana pembesar suara untuk telefon pintar ini dilengkapi dengan teknologi NXP Smart Amplifier yang mana ia berfungsi untuk menghasilkan audio yang sangat terperinci dan dapat mengurangkan penggunaan bateri walaupun pengguna memasang audio pada tahap yang paling tinggi.

Bagi fungsi kameranya pula, telefon pintar ini dapat menghasilkan pengambaran asas yang baik untuk sebuah telefon pintar kelas permulaan. Telefon pintar ini hadir dengan dua variasi kamera iaitu model dengan 13MP+5 MP kamera utama bersama 8MP kamera hadapan, dan model dengan 16MP+5MP kamera utama bersama 16MP untuk kamera hadapan.

Pada bahagian kamera hadapan peranti ini juga, ia dilengkapi dengan pencahayaan LED flash yang lembut untuk gambar swafoto dimana ciri ini dapat menghasilkan gambar yang baik walaupun persekitaran subjek adalah gelap. Efek bokeh pada kamera telefon pintar ini juga agak memuaskan dimana gambar yang dihasilkan menampakkan subjek dengan lebih menonjol dan lebih tajam.

Telefon pintar ini hadir dengan sokongan kad microSD melalui dwi-sim yang mana pada Max Pro M1 mempunyai ruang dwi-sim dan kad microSD yang tersendiri. Kedua-dua slot kad sim ini menyokong penyambungan 4G LTE dan slot untuk microSD menyokong kad SDXC sehingga 2TB. Hal ini sekaligus membolehkan pengguna untuk menggunakan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak.

Kesimpulannya, telefon pintar ASUS Zenfone Max Pro M1 ini dilihat telah berjaya memenuhi kehendak pemain permua kerana telefon pintar ini hadir dengan prestasi dan kapasiti bateri yang tinggi. Spesifikasi yang baik yang dilengkapi dengan pengguna Android asli pada telefon pintar ini sangat membantu dalam memberikan pengalaman permainan yang baik.

Telefon pintar ASUS Zenfone Max Pro M1 ini kini sudah boleh didapati di pasaran Malaysia dengan penawaran harga RM999 sahaja untuk memori 6GB RAM bersama storan 64GB. Pada harga serendah RM999 untuk sebuah telefon pintar yang memfokuskan permua, ia sangat berbaloi untuk dimiliki kerana spesifikasi yang baik dengan penawaran kapasiti bateri yang besar.

Untuk waktu terhad, pada 28 Ogos 2018 pihak ASUS akan menjual peranti ini pada harga lebih rendah iaitu:

  • ZenFone Max Pro (M1) (4+64GB) – RM799       (Normal: RM849)
  • ZenFone Max Pro (M1) (3+32GB) – RM599       (Normal: RM699)

Anda boleh mendapatkan kedua-dua variasi peranti ini menerusi kedai atas-talian ASUS menerusi Lazada dan promosi ini hanya sah selama 24 jam sahaja pada 28 Ogos 2018.

Beli: ZenFone Max Pro M1 di Kedai ASUS x Lazada

Penafian: Advertorial Dari ASUS Malaysia


TIPS & ULASAN