Tahukah anda, banyak syarikat yang menghasilkan telefon pintar mempunyai gimik unik tersendiri? Gimik ini adalah untuk menarik hati pengguna. Tetapi, gimik ini selalunya hanya tipu helah dan ia hanya boleh digunakan atau berlaku dalam pengiklanan sahaja dan tidak di dunia realiti. Di sini kami senaraikan lapan penipuan pemasaran dalam arena telefon pintar.
1. Penstabilan Imej Nokia Pureview
Siri telefon pintar Nokia pada beberapa tahun lepas adalah telefon pintar yang menjalankan sistem operasi Windows Phone. Seterusnya, jika telefon pintar Nokia tersebut memfokuskan kamera – ia bukan sahaja menggunakan lensa Carl Zeiss, tetapi mereka turut menggunakan nama “Pureview“.
Pada iklan Nokia Lumia 920 – mereka menyatakan di mana peranti menyokong OIS iaitu sistem penstabilan imej optikal. Di dalam video ini, Nokia dilihat menipu. Ini kerana, terdapat pantulan cahaya yang menunjukkan krew kamera sedang merakam iklan ini menggunakan alatan profesional dan bukannya Nokia Lumia 920.
Nokia kemudiannya meminta maaf dan mengeluarkan kenyataan rasmi.
2. Hasil Gambar Huawei P9 Setaraf DSLR
Huawei P9 adalah peranti mercu pertama yang memulakan trend dwi-lensa. Pada imej pengiklanan mereka, mereka menjelaskan imej yang cantik dan tampak profesional itu dirakam dengan Huawei P9. Tetapi, seorang pengguna mendapati imej tersebut diambil dengan sebuah DSLR profesional dan bukannya Huawei P9.
Pengguna ini berjaya merungkai kerana, Huawei menerbit imej ini di dalam Google+. Di dalam Google+, fail-fail gambar masih terdapat data EXIF. Huawei kemudian meminta maaf, membuang gambar dan mengeluarkan kenyataan di mana – gambar tersebut adalah sebagai inspirasi di mana pengguna boleh menghasilkan imej seakan yang diterbitkan dengan Huawei P9.
3. Sampel Gambar Samsung Galaxy A8 Adalah Daripada Imej Stok
Ini baru sahaja berlaku beberapa minggu lalu. Samsung Brazil mengicau di Twitter memperlihatkan sampel gambar yang dirakam dari Samsung Galaxy A8. Gambar tersebut dilihat adalah imej stok yang dibeli dari Getty Images.
Quer enganar quem, @SamsungBrasil? pic.twitter.com/Xy7b2dsRcz
— Fᴇʟɪᴘᴇʀᴀs (@feliperas) August 16, 2018
Getty Images adalah laman yang menyediakan imej-imej stok untuk digunakan dalam kerja-kerja penyuntingan. Imej yang Samsung Brazil kicau ini berharga $499 iaitu sekitar RM2050 hanya untuk satu fail. Samsung membeli dua imej berbeza san kemudian membuat penyuntingan ringan.
Essa, inclusive, não foi a única vez. pic.twitter.com/biJpKw6Oke
— Fᴇʟɪᴘᴇʀᴀs (@feliperas) August 16, 2018
Samsung dilihat membazir lebih RM4000 hanya untuk menipu. Bukankah lebih jimat dengan hanya merakam gambar dengan peranti itu sendiri tanpa sebarang penyuntingan?
4. Pengiklanan Kemampuan Kamera Huawei Nova 3|3i Tipu
Huawei dilihat tidak serik dalam penipuan sampel gambar. Sebelum ini dengan Huawei P9. Kini dengan siri telefon bajet mereka iaitu Nova 3 dan Nova 3i. Hasil hambar itu sebenarnya adalah daripada DSLR dan bukannya Huawei Nova 3 atau 3i.
Lebih mengejutkan, bukan pengguna atau peminat yang merungkai perkara ini. Tetapi model wanita dalam gambar tersebut yang menerbitkan gambar sebalik tabir iklan tersebut. Ia memperlihatkan, model lelaki sebelah wanita tadi berpura-pura berswafoto dengan mengangkat tangan pada posisi asas swafoto.
5. iPhone 6 Sembunyi Bonjol Kamera
Seperti biasa, jika tidak meniru atau menyaman – Apple akan menipu, Pada pelancaran iPhone 6 – di pembentangan Apple memperlihatkan sebuah iPhone baharu yang rata tanpa bonjol kamera.
Selepas sahaja peranti itu dijual, pengguna mendapati kamera pada iPhone 6 mempunyai bonjol dan tidak seperti iPhone sebelumnya rata.
Apple tidak memberi sebarang kenyataan mengenai perkara ini. Tetapi, pada iPhone 6S – mereka tidak melakukan perkara yang sama.
6. OnePlus Menipu Pada Tanda Aras OnePlus 5
OnePlus mula menipu. Pada pelancaran OnePlus 5, mereka memperlihatkan tanda aras prestasi yang begitu hebat. Pihak XDA kemudiannya menerima set ulasan dan mereka mendapati bahawa, set tersebut telah diubahsuai dari segi perisian untuk sentiasa mendapat tanda aras yang tinggi.
OnePlus kemudian mengeluarkan kenyataan, tetapi bukan kenyataan meminta maaf. Ia adalah kenyataan di mana tanda aras tersebut adalah potensi maksima yang OnePlus 5 boleh capai.
7. Iklan Pengolokan OnePlus 6 Merah Tiada Dagu
OnePlus 5 pihak OnePlus menipu, OnePlus 5T dilihat tiada gimik yang meragukan dan kini giliran OnePlus 6. Video acah pengolokan OnePlus 6 berwarna merah memperlihatkan peranti tersebut tiada dagu. Sedangkan semua orang sudah tahu, semua variasi OnePlus 6 mempunyai dagu kecil. Ini kerana warna-warna lain sudah dilancarkan dan dijual terlebih dahulu.
Adakah OnePlus cuba menarik hati pelanggan dan peminat? Itu kami tidak pasti. Tetapi selepas bertanya pada sumber, itu mungkin adalah video pengolokan awal OnePlus 6T dan mereka tidak sengaja gabungkan iklan 6T dengan 6. Itu hanya alasan, kami yakin!
Tetapi peminat OnePlus masih akan setia dengan peranti OnePlus kerana kebebasan penggunaan.
8. Penipuan Storan Samsung Galaxy
Samsung juga tidak terlepas dengan penipuan. Mula tular adalah Samsung Galaxy S5 variasi 16GB. Selepas pengguna beli, mereka mendapati storan yang diterima kurang dari 8GB.
Ini tidak masuk akal, kerana kurang dari 50% baki storan. Samsung Galaxy S5 juga boleh dikatakan antara siri Galaksi yang gagal. Oleh itu dengan Samsung Experience dan siri Galaksi yang baru, ianya lebih efisyen, variasi storan lebih besar serta banyak ruang storan yang boleh digunakan.
Pada Galaxy S8 pula, waktu pelancaran Samsung menekankan kelajuan pemindahan data keran Galaxy S8 menggunakan UFS2.1. Kemudian mereka mengeluarkan kenyataan di mana penggunaan UFS2.1 adalah bergantung kepada model dan variasi setiap negara. Walau bagaimanapun, perkara ini hanya terjadi pada model di pasaran Amerika Syarikat sahaja.
Perkara yang sama turut berlaku pada Huawei P10. Hanya keluaran awal sahaja menggunakan storan jenis UFS. Kemudian disebabkan kekurangan stok komponen, keluaran seterusnya menggunakan storan jenis eMMC.
Banyak penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat telefon pintar untuk menarik perhatian pengguna. Mereka mungkin fikir dengan membuat gimik, mereka boleh perdaya para pengguna. Tetapi, di luar sana terdapat ramai pakar dan insan yang bijak pandai yang berjaya merungkai penipuan masing-masing.
Sebenarnya penipuan dalam pemasaran adalah satu perkara norma dalam arena makanan. Adakah penipuan ini akan terus menjadi trend dalam arena teknologi?
Tetapi, tidak apa yang boleh kita lakukan. Walaupun banyak gimik yang dilakukan, akhir sekali kita masih menggunakan peranti yang mereka hasilkan.