Nikon kini akhirnya turut menyertai pasaran kamera nircermin berbingkai-penuh, dan telah pun memperkenalkan dua model kamera pertama dibawah penawaran tersebut – iaitu Nikon Z6 dan juga Nikon Z7. Nikon Z7 merupakan kamera utama dibawah penawaran baru ini, sementara Nikon Z6 membawakan penawaran spesifikasi pertengahan.
Menjadi fokus adalah Nikon Z7 yang hadir dengan sensor 45.7-megapixel dengan sokongan ISO antara 64-25,600, sokongan pengecaman autofokus sehingga 493 titik, selain kebolehan merakamkan sehingga 9 bingkai per saat.
Nikon Z6 pula hadir dengan sensor 24.5-megapixel dengan sokongan ISO antara 100-51,200, dan sokongan PDAF sehingga 273 titik.
Kedua-dua kamera ini hadir dengan sokongan rakaman video 4K 30p, atau 1080p pada kadar 120p, sebuah skrin sentuh LCD bersaiz 3.2-inci, kebolehan pemfokusan cahaya malap sehingga -4 EV, sokongan WiFi dan Bluetooth untuk pemindahan, termasuk integrasi sokongan USB-C.
Kedua-dua kamera juga hadir dengan sokongan cagak-Z yang membolehkan pelbagai lensa dicagak ke kamera ini untuk fungsi tambahan – daripada lensa rakaman jauh sehinggalah kepada lensa rakaman luas.
Jikalau dibandingkan, Nikon Z7 dilihat akan menawarkan kualiti rakaman yang lebih jelas dan tajam berbanding Nikon Z6. Kedua-dua model ini mungkin menjadi pilihan kepada pencinta model Nikon yang inginkan kamera yang boleh merakamkan gambar tanpa mengeluarkan bunyi yang kuat, dan tidak inginkan model kamera nircermin berbingkai-penuh keluaran Sony.
Nikon Z7 akan dipasarkan bermula September kelak, sementara Nikon Z6 akan dipasarkan sekitar November. Buat masa ini, harga jualan untuk pasaran tempatan bagi kedua-dua model ini masih tidak diketahui lagi.