DJI Memperkenalkan Mavic 2 Dalam Dua Variasi – Termasuk Dengan Sokongan Zoom Optikal
Aman
DJI atau Dà-Jiāng Innovations merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena dron. Sebelum ini, mereka telah hadir dengan beberapa dron menarik, dan hari ini, DJI telah melancarkan keluarga dron baru, iaitu DJI Mavic 2.
Dibawah DJI Mavic 2, dua variasi dron ditawarkan, iaitu DJI Mavic 2 Pro dan juga DJI Mavic 2 Zoom. Kedua-duanya masih mengekalkan rekaan dron boleh-lipat, tetapi masing-masing memfokuskan kepada ciri khusus.

DJI Mavic 2 Pro hadir dengan sensor pengimejan yang lebih besar, serta menggunakan teknologi kamera rekaan Hasselblad. Ini sekaligus menjanjikan kualiti rakaman yang lebih baik berbanding kebiasaan, selain penghasilan warna yang lebih jitu.

Sementara DJI Mavic 2 Zoom pula hadir dengan sokongan zoom optikal sehingga 2 kali, dan zoom digital sehingga 2 kali. Dengan DJI Mavic 2 Zoom, ia sekaligus memudahkan pengguna merakamkan gambar sesuatu perkara lebih dekat dengan lebih mudah berbanding sebelum ini.

Selain daripadanya, kedua-dua dron menawarkan sokongan yang lebih kurang sama – termasuk rakaman video pada resolusi 4K, masa penerbangan selama 31 minit, dan storan terbina sehingga 8GB. Kedua-dua dron ini juga dilengkapi sokongan mengelak halangan ketika penerbangan, dan ciri rakaman baru seperti Hyperlapse dan lain-lain.

Kedua-dua dron ini telah boleh dipra-tempah di Amerika Syarikat pada harga bermula $1249 (~RM5132). Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah dron ini akan memasuki pasaran tempatan secara rasminya.