Oppo R17 Pro akhirnya dilancarkan secara rasmi di China. Tidak seperti R17 model asas, R17 Pro dilengkapi sistem tri-kamera pada bahagian belakang. Sensor ketiga pada telefon pintar ini dilengkapi sensor 3D TOF untuk imbasan tiga dimensi. Seperkara lagi yang menarik mengenai R17 Pro ialah ia turut mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin.
Dari segi spesifikasi R17 Pro dilengkapi skrin 6.4-inci AMOLED FHD+, dijana pemproses Snapdragon 710, memori sebesar 8GB RAM dan storan sebesar 128GB tanpa sokongan kad mikroSD. Kamera utama ialah gabungan sensor 12+16+3D TOF. Sensor 12 Megapixel ini dilengkapi lensa dengan bukaan boleh laras f/1.5+f/2.4 seperti yang ditemui pada Galaxy S9+ manakala sensor kedua pula dilengkapi lensa f/2.6.
Kamera hadapan pula sebesar 25-Megapixel f/2.0. Dua bateri setiap satunya sebesarĀ 1850 mAh disertakan bagi menyokong sistem pengecasan pantas Super VOOC. Hanya satu warna cerun ditawarkan dan ia akan dijual pada harga RMB 4,299 (~RM 2465) sebuah bermula Oktober.