Seperti yang ramai sudah tahu, Google Pixel 2 mempunyai kualiti kamera yang tidak dinafikan ia agak hebat. Semalam sampel gambar, spesifikasi dan pengesahan sokongan pengecasan nirwayar buat Google Pixel 3 telah tertiris. Hari ini, pihak 9to5Google menemui perkara baru mengenai Google Pixel 3.
Menurut mereka, Pixel 3 dan Pixel 3 XL mungkin akan menggunakan cip Pixel Visual Core yang dikemaskini. Selain itu, dwi-kamera swafoto pada Pixel 3 ini dikatakan salah satu lensanya adalah lensa sudut lebar. Menarik sekali, seperti Pixel 2 – mod potret pada peranti itu adalah antara yang terbaik. Kini pada Pixel 3 dikatakan akan lebih baik dengan sokongan ‘Super Selfie’. Tambahan lagi, ia turut akan menyokong penuras yang menjadikan hasil gambar lebih natural atau lembut.
Turut menjadi persoalan adalah takuk bersaiz adi-besar pada Pixel 3 XL ini. Fungsi takuk ini masih tidak diketahui, berkemungkinan besar ia adalah untuk nyahkunci berasaskan wajah yang lebih baik.