Supahands Memanfaatkan AWS Bagi Memudahkan Kerja Renyah Yang Anda Hadapi

Supahands Memanfaatkan AWS Bagi Memudahkan Kerja Renyah Yang Anda Hadapi

Diterbitkan pada Ogos 24, 2018 oleh .

Dewasa ini terma automasi dan pembelajaran mesin sudah semakin kerap didengari. Pembelajaran mesin wujud demi memudahkan manusia melakukan kerja-kerja yang sulit yang kadangkala mengambil masa yang lama. Kerja-kerja seperti menyusun maklumat, mengenal pasti imej, memasukkan data tambahan merupakan kerja yang ringkas, namun mungkin terdapat berpuluh-ribu data yang bakal menyebabkan tugasan tersebut memerlukan sumber tenaga kerja yang ramai.

Supahands merupakan startup yang bergiat dalam arena pembantu maya ( Virtual Assistant). Ia diasaskan seawal 2015, dimana pengguna umum boleh menggunakan khidmat mereka dalam melakukan kajian dan carian. Malah kami juga pernah mencubanya untuk mencari pejabat Amanz Media menggunakan khidmat Supahands. Apa yang perlu dilakukan hanyalah meletakkan syarat pencarian pejabat, kemudian terdapat SupaAgent iaitu pekerja Supahands yang telah ditetapkan untuk mencari dan mencadangkan lokasi tersebut kepada kami.

Dari syarat pencarian pejabat iaitu ‘boleh memuatkan 10 orang, mempunyai internet laju, mempunyai pengangkutan awam LRT/Monorail, terletak di Kuala Lumpur dan sewa maksimum RM 2,000’, keenam-enam lokasi yang dicadangkan adalah bertepatan dan hasil carian ini dilakukan dalam masa sejam. Ia sekaligus memudahkan keseluruhan proses, dan membolehkan pengguna Supahands melakukan tugasan lain.

2017 – Perubahan Fokus Supahands

Namun bermula 2017 Supahands telahpun menukar fokus pelanggan mereka daripada pelanggan umum kepada pelanggan korporat dan mula menggunakan terma bagi memudahkan kerja-kerja rencah yang dihadapi pelanggan korporat terhadap set data yang besar. Antara tiga perkhidmatan utama yang ditawarkan mereka kini adalah Pembelajaran Mesin, Pengurusan Data dan pengawasan kandungan (Content Moderation).

Menurut Greg Meehan, perkhidmatan Supahands meskipun kini ditawarkan hanya untuk pelanggan korporat, mereka masih menerima permintaan yang banyak bukan sahaja di Malaysia, malah di negara lain termasuklah Filipina dan juga Thailand. Antara tugasan yang telah mereka lakukan termasuklah dalam membina perkhidmatan swapandu kenderaan. Teknologi swapandu kenderaan memerlukan data-data di jalan bagi memudahkan pengecaman. Dan bagi memudahkan tugasan ini, Supahands menggunakan teknologi pengecaman imej bagi membolehkan mereka mengenalpasti ruangkotak selamat (bounding boxes) sepanjang jalan.

Selain dari pengecaman imej, Greg turut berkongsi yang mana perkhidmatan Supahands juga turut mensasarkan kumpuluan syarikat besar B2E (Business-to-enterprise) dan salah satu perkhidmatan yang sering dipinta adalah bagi menguruskan data. Kadangkala, data-data seperti produk runcit, baju pakaian, malahan gambar mempunyai datanya tersendiri. Bayangkan anda merupakan pemilik kedai kain Jakel, yang mempunyai beratus-ratus fabrik dan juga pilihan baju berdasarkan fabrik yang pelbagai, keseluruhan data yang tidak pernah di-digital-kan pastinya boleh menyukarkan usaha dalam memodenkan perniagaan tersebut.

Operasi Supahands Dikuasakan AWS

Bercakap mengenai tatacara umum operasi Supahands, perkara pertama yang mereka lakukan apabila menerima pelanggan adalah dengan menyediakan ‘datasets’. Setiap data yang diterima akan diklasifikasikan, dan sepantas seminggu mereka akan berupaya hadir dengan algoritma yang berupaya mempersembahkan data baru dalam bentuk lebih terurus. Instance yang dicipta ini sekaligus memudahkan tugasan-tugasan yang diperlukan oleh pelanggan mereka.

Apabila memproses data-data ini, salah satu perkara yang penting adalah keupayaan Instance untuk menanggung kapasiti (scalability) dan juga kebolehan untuk diubah dengan pantas. Oleh itu pemilihan AWS adalah salah satu keputusan utama kerana perkhidmatan web yang ditawarkan mereka bukan sahaja mudah diuruskan, malah berupaya untuk berhadapan dengan permintaan pengguna yang tidak menentu.

Greg turut menyatakan keseumua proses ini didukung oleh sistem AWS. Bermula dari S3 yang menyimpan fail-fail asas laman web, ia diteruskan lagi dengan perkhidmatan API Gateway yang membolehkan data di-cache-dulu sebelum diberikan kepada pengguna. Salah satu perkhidmatan AWS yang penting dalam operasi Supahands adalah AWS Kinesis dimana setiap perkhidmatan yang dibangunkan ini boleh beroperasi dengan sendiri, dan apa sahaja peristiwa yang berlaku, ia disambungkan pada Lambda yang akan memberikan notifikasi dan memastikan data baru dikemaskini.

Antara fungsi lain AWS yang digunakan Supahands termasuklah Elastic Search Engine dan juga EC2. Menerusi Elastic Search Engine, perkhidmatan dan algoritma Supahands boleh memproses trafik data mengikut penggunaan pelanggan, manakala dengan EC2, ia menjamin perkhidmatan mereka senantiasa beroperasi pada kadar 99.95 uptime.

Perancangan Masa Hadapan Supahands

Disebalik kesemua perkara yang berlaku secara automatik dan diuruskan oleh komputer, terdapat pekerja yang dinamakan sebagai SupaAgents akan memantau kesemua aktiviti digital ini, bagi memastikan kejituan dan kepersisan data yang diproses. Ia merupakan proses kombinasi antara manusia dan komputer, dimana kerja-kerja renyah diselesaikan komputer, dan SupaAgents memastikan ianya berjalan lancar.

Untuk masa hadapan, Supahands berhasrat ingin memodenkan algoritma dan tugasan renyah yang mereka lakukan. Antaranya termasuklah pada penggunaan Analisis yang lebih mendalam, kejituan anotasi pada gambar yang lebih memenuhi kehendak pelanggan, dan juga penggunaan ChatBot dalam urusan seharian.

Jika dahulu, manusia mungkin memerlukan masa sehingga 1 jam bagi memproses 60 baris maklumat, perkara ini dapat disingkatkan dengan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan. Bersandarkan motto ‘million hours of work in a day’, mereka ingin mencapai tahap efisien dimana perkhidmatan pembelajaran mesin dan algoritma mereka dapat melengkapkan tugasan yang biasanya memerlukan tempoh sejuta jam untuk disiapkan, namun dapat disiapkan dalam sehari. Ini mungkin mengambil masa sehingga 5-7 tahun namun mereka yakin, didalam bidang yang tidak dicabar ini, mereka mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disandarkan pada AWS.

Layari: Supahands


TIPS & ULASAN