Carian
Ulasan: OPPO F9
August 26, 2018 Arib Ismail

OPPO F9
Skrin 6.3” LTPS LCD
2340 x 1080, 409 ppi
Chipset MediaTek Helio P60
CPU 4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 6GB RAM
Storan 64GB, mikroSD sehingga 256GB
Kamera Utama 16MP f/1.8 + 2MP f/2.4
1080p@30fps
Kamera Hadapan 25MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM + mikroSD
Sistem Android 8.1 Oreo + ColorOS 5.2
Bateri 3500 mAh
Dimensi 156.7 x 74 x 8 mm
Berat & Ketebalan 169g, 8mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

OPPO sebelum ini pernah hadir dengan OPPO F7, iaitu peranti kelas pertengahan dengan kamera hadapan setinggi 25MP. Ia menampilkan rekaan yang bergaya melalui kemasan seumpama kaca di bahagian belakang, disamping menawarkan binaan bertakuk pada bahagian hadapan. Ia sebuah peranti yang seimbang, dengan kehadiran cip kelas pertengahan premium MediaTek Helio P60, memori 4GB RAM, keupayaan kamera dengan AI, bersama kapasiti bateri 3400 mAh.

OPPO F7 mempunyai pakej yang hebat untuk kegunaan swafoto, namun terdapat beberapa kekurangan yang didapati. Ia tidak menampilkan sokongan dwi-kamera seperti peranti sekelasnya dan tidak menampilkan sebarang fungsi pengecasan pantas. Selepas hanya 5 bulan keluaran peranti OPPO F7, OPPO kini telah hadir dengan model penggantinya, menerusi OPPO F9.

OPPO F9 dilihat hadir spesifikasi yang hampir sama, namun ditambah baik dari segi binaan, jumlah RAM, keupayaan kamera belakang, bateri, dan sokongan pengecasan pantas. Ia masih lagi dijana dengan cip yang sama seperti OPPO F7, namun memorinya kini ditingkatkan kepada 6GB RAM. Keupayaan kamera belakangnya juga kini hadir dengan sistem dwi-kamera, bagi meningkatkan lagi kualiti penghasilan bokeh pada bahagian belakang subjek. Ia juga mempunyai kapasiti bateri lebih besar iaitu 3500 mAh dan menjadi peranti siri OPPO F pertama yang mempunyai sokongan pengecasan pantas VOOC.

Menariknya, harga jualan OPPO F9 adalah sama seperti OPPO F7 sewaktu ia dilancarkan, iaitu pada harga jualan RM1399. Dengan penambah-baikan yang banyak pada peranti ini, bolehkah ia memberi penawaran yang berbaloi untuk pengguna?

Rekabentuk

OPPO F9 didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan seperti kehadiran skrin 6.3-inci pada resolusi FHD+ dengan nisbah 19.5:9, cip MediaTek Helio P60, memori 6GB RAM, dan storan dalaman 64GB eMMC 5.1 bersama sokongan microSD. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 3500 mAh.

Dari segi binaannya, OPPO F9 membawakan binaan yang sama seperti OPPO F7, dengan menampilkan binaan plastik pada bahagian belakang. Namun ia kini telah menawarkan rekaan bercorak “patel” dan kemasan warna cerun (gradient), untuk memberi penampakan peranti yang lebih menarik. Memegang peranti ini terasa selesa apabila di tangan, yang mana tidak terlalu licin untuk dipegang. OPPO ada membekalkan perlindung peranti berasaskan silikon di dalam kotak, bagi melindungi tubuh peranti ini daripada calar atau kesan kecederaan kosmetik yang lain.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa pada bahagian kanan, sementera butang pembesar suara dan slot dwi-sim + mikroSD ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti tidak menampilkan sebarang sambungan, namun mempunyai satu ruang untuk perletakkan mikrofon kedua. Di bahagian bawahnya membawakan sambungan pembesar suara mono, sambungan mikroUSB, ruang mikrofon pertama, dan bicu audio 3.5mm.

Pada bahagian belakangnya, ia menyajikan sistem dwi-kamera 16MP + 2MP secara melintang, seperti yang dilihat pada peranti OPPO R15. Di bahagian belakang ini turut membawakan pengimbas cap jari, yang dilihat mampu nyahkunci peranti dalam masa singkat. Peranti ini juga mempunyai sokongan imbasan wajah, dengan memberi tindak balas yang sangat pantas ketika ingin membuka peranti. Prestasi imbasan wajah ini hampir menyerupai peranti OnePlus 6, dengan bergantung kepada penggunaan kamera hadapan untuk menjayakan fungsi ini.

Pada bahagian hadapan, ia kini telah menampilkan rekaan takuk yang dikecilkan, dengan penampakan seumpama titisan air. Rekaan takuk ini membawakan kamera hadapan 25MP f/2.0, disamping mendatangkan saluran pendengaran (earpiece) pada bahagian atas kamera hadapan ini. Untuk skrinnya, ia hadir pada saiz 6.3-inci dengan resolusi Full HD+, melalui janaan panel LTPS LCD. Kualitinya dilihat sangat baik, dengan memberi kontras warna yang memuaskan bersama darjah pandangan skrin (viewing angle) yang luas untuk dilihat dari sudut berlainan.

Dari segi variasi, OPPO F9 hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 6GB RAM + 64GB eMMC 5.1. Storan dalaman 64GB ini dilihat memadai untuk penggunaan hari ini, namun anda boleh meletakkan kad mikroSD untuk meningkatkan lagi storan peranti ini. OPPO F9 telah didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik seperti Sunrise Red, Starry Purple, dan Twilight Blue, yang mana boleh dipilih oleh pengguna sewaktu pembelian peranti.

Sistem

OPPO F9 telah dijana dengan antaramuka yang sama seperti OPPO Find X, melalui ColorOS 5.2 yang dijalankan di atas Android 8.1 Oreo. Antaramukanya dilihat hadir dengan tema dan ikonografi baru, yang kini menyajikan rekaan yang lebih kemas dan moden. Antaramuka skrin utama ColorOS 5.2 masih tidak mendatangkan talam aplikasi secara terbina, dengan perletakkan kesemua aplikasi pada skrin utama seumpama peranti iOS. Antaramuka pertukaran aplikasi juga hadir dengan tampilan seumpama iOS, dengan menyajikan paparan aplikasi yang sedang berjalan dalam bentuk “kad”.

Sekiranya pengguna mahu menggunakan tema lain, ColorOS 5.2 juga masih menampilkan Theme Store, dengan sejumlah pilihan tema yang boleh dimuat-turun oleh pengguna. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti Game Space iaitu dengan kebolehan untuk memberi kelancaran grafik serta kebolehan untuk mematikan notifikasi daripada mengganggu ketika sesi permainan. Ia juga hadir dengan fungsi Music Party, yang membolehkan peranti OPPO terkini memainkan lagu yang sama seperti yang dimainkan pada peranti ini. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuat klon aplikasi Facebook dan Instagram, yang dilihat berguna untuk kegunaan peribadi dan perniagaan.

Seperti kebanyakan peranti dengan rekaan skrin penuh yang lain, ColorOS 5.2 turut hadir dengan kawalan Full Screen Gesture, dengan penampilkan kawalan peranti seumpama iPhone X. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu membuat tatalan ke atas secara pantas untuk ke paparan skrin utama, atau menatal ke atas dan tahan seketika untuk memaparkan paparan multi-tugasan. Pengalaman menggunakannya terasa seperti menggunakan iPhone X, dengan pengoperasian gestur yang cukup lancar. Ia tidak diaktikfkan secara terbina, namun anda boleh memanfaatkan penggunaan skrin penuh ini dengan mengaktifkan fungsi ini.

Prestasi

OPPO F9 masih dijana dengan cip kelas pertengahan premium daripada MediaTek seperti OPPO F7, menerusi cip Helio P60 bersama memori 6GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, dengan menampilkan 4 x Cortex-A73 2.0 GHz (untuk teras berkuasa), 4 x Cortex-A53 2.0 GHz (untuk teras efisien), bersama padanan GPU tiga teras Mali-G72 MP3. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 137,333, sekaligus memberi bacaan yang setara dengan cip Qualcomm Snapdragon 660.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu memberi prestasi harian yang lancar, terutama untuk kegunaan aplikasi media sosial, permesejan, dan pelayaran web. Untuk permainan pula, ia mampu memainkan permainan PUBG Mobile dengan lancar, melalui tetapan grafik HD bersama tetapan kadar bingkai yang ditetapkan pada High. Ia tidak memberi sebarang isu grafik ketika di dalam permainan, dengan prestasi yang konsisten walaupun digunakan dalam 30 minit sesi permainan. Pengeluaran habanya juga dirasakan minima, dengan memberi pengalaman memegang peranti yang selesa untuk kegunaan permainan dalam jangka masa lama.

Kamera

OPPO F9 dijana dengan sistem dwi-kamera, melalui kehadiran sensor 16MP f/1.8 bersama sensor kedua 2MP f/2.4 untuk kebolehan Portrait Mode. Ia juga menyajikan pencahayaan LED untuk bantuan penggambaran malam, namun tidak menampilkan sebarang penstabilan imej optikal (OIS) seperti ASUS ZenFone 5. Namun ia telah menampilkan sokongan penstabilan imej elektronik (EIS), bagi membantu untuk mengurangkan kesan gegaran terutama untuk kegunaan rakaman video.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, hasil penggambarannya dilihat menyerupai dengan OPPO F7, dengan memberi hasilan yang terang walaupun digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) aperture sebesar f/1.8 banyak membantu di sini, yang mana ia turut mengurangkan kesan hinggar (noise) pada kawasan gelap di dalam gambar. Keseluruhan penggambaran juga memberi keperincian imej yang tajam apabila menerima pencahayaan yang mencukupi, selain memberi perwarnaan yang menarik untuk dilihat.

Tetapi dengan penggunaan sistem dwi-kamera, ia telah menambah baik lagi hasilan bokeh pada penggambaran Portrait Mode, berbanding bergantung kepada teknologi AI sepenuhnya pada OPPO F7. Ia kini mampu memberi hasilan kabur yang lebih kemas, terutama apabila diteliti pada bahagian sisi subjek.

Kamera hadapan dengan sensor 25MP f/2.0 juga masih memberi kualiti yang sama seperti OPPO F7, dengan hasilan swafoto yang sangat baik untuk kegunaan harian. Ia sering memberi keperincian wajah yang cukup tajam, lebih-lebih lagi ketika fungsi pencantikkan wajah dimatikan secara sepenuhnya. Anda akan dapat lihat kesan parut pada wajah dengan sangat jelas, namun warna kulit masih diterangkan walaupun tiada sebarang fungsi pencantikkan wajah ini diaktifkan. Ia juga mempunyai fungsi Portrait Mode, bagi membolehkan kesan kabur dihasilkan pada bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, OPPO F9 mengekalkan sejumlah kawalan yang hadir pada OPPO F7, seperti sokongan Portrait Mode, Expert Mode (kawalan manual), Time-lapse, Slow-mo, dan Panorama. Namun pada OPPO F9, ia hadir dengan penambahan fungsi, seperti AR Stickers yang membolehkan anda melekatkan pelekat pada wajah ia akan mengikut pergerakan anda dalam bentuk animasi yang menarik. Ia juga kini hadir dengan sokongan video Vivid Mode, dengan meningkatkan lagi kontras warna pada rakaman, untuk hasilan yang lebih menarik untuk dikongsikan di media sosial.

Bateri

OPPO F9 mempunyai kapasiti bateri yang ditingkatkan, melalui kapasiti bateri 3500 mAh berbanding 3400 mAh pada OPPO F7. Dengan penggunaan cip 12nm melalui MediaTek Helio P60 ini, ia dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang panjang menerusi binaan cip yang efisien.

Dengan kapasiti 3500 mAh dan padanan cip 12nm ini, OPPO F9 mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 41 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Peranti ini juga sudah dilengkapi dengan fungsi pengecasan VOOC daripada OPPO sendiri, yang mana ia mampu mengecas peranti ini sekitar 1 jam 19 minit dari 0 – 100%.

Rumusan

Secara keseluruhannya, OPPO F9 mempunyai penawaran yang hebat seperti OPPO F7, tetapi kini dipertingkatkan dengan sejumlah lagi fungsi menarik. Ia kini menampilkan rekaan dengan warna cerun yang menarik, hadir dengan rekaan takuk yang dikecilkan, menawarkan memori 6GB RAM, bersama sistem dwi-kamera dengan sokongan EIS. Ia juga kini menampilkan kapasiti bateri yang lebih besar, selain menyajikan fungsi pengecasan VOOC yang ternyata sangat berkuasa untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti.

Namun kekurangan pada peranti ini adalah, ia tidak menampilkan pembesar suara stereo seperti yang dilihat pada ASUS ZenFone 5, selain masih mengekalkan sambungan berasaskan mikroUSB. Ia juga tidak dilengkapi dengan NFC, disamping mengekalkan binaan berasaskan plastik seperti OPPO F7.

Pro
  • Membawakan rekaan yang menarik dengan kemasan warna cerun.
  • Hadir dengan rekaan takuk yang dikecilkan melalui rekaan seumpama titisan air.
  • Menawarkan paparan LTPS LCD yang terang pada nisbah 19.5:9
  • Menawarkan prestasi harian yang pantas untuk kegunaan harian dan permainan.
  • Keupayaan kamera belakang yang baik untuk kegunaan ketika pencahayaan malap.
  • Menyajikan ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 6 jam 41 minit.
  • Hadir dengan pengecasan VOOC yang ternyata sangat pantas.
  • Mempunyai slot dwi-sim dan slot kad microSD secara berasingan.
  • ColorOS 5.2 dijalankan berasaskan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo.
Kontra
  • Masih menggunakan binaan berasaskan plastik.
  • Masih mengekalkan sambungan mikroUSB.
  • Tiada pembesar suara stereo.
  • Tiada sokongan NFC.

Dengan harga jualan RM1399, OPPO F9 menyajikan bukan sahaja peranti swafoto yang hebat, tetapi menjajikan pengalaman penggunaan peranti yang cemerlang untuk kegunaan harian. Ia menawarkan prestasi yang pantas melalui cip Helio P60 dan 6GB RAM, keupayaan dwi-kamera yang baik untuk penggambaran malam, dan hadir dengan penggunaan sepanjang hari melalui kapasiti bateri 3500 mAh. Dengan kesemua pakej peranti yang ditampilkan, peranti ini sangat disyorkan untuk semua pengguna, tidak kira anda seorang yang mengutamakan aspek fotografi atau prestasi permainan yang lancar. Tahniah kepada OPPO kerana mampu menawarkan sebuah peranti yang sangat seimbang.

Komen