Carian
HMD Global Kini Turut Mendapatkan Hak Tanda Dagang Untuk “PureView”
August 27, 2018 Aman

HMD Global merupakan pengeluar disebalik peranti mudah-alih berjenama Nokia. Sejak beberapa tahun ini, mereka telah mula kembalikan sedikit demi sedikit elemen daripada peranti Nokia lama ke generasi terkini – dan kini mereka turut telah mendapatkan hak untuk tanda dagang “PureView“.

Bagi yang tidak mengenali akan “PureView”, ia adalah tanda dagang yang digunakan Nokia dalam penawaran peranti dengan sokongan pengimejan yang berkualiti. Peranti pertama yang menggunakannya adalah Nokia 808 PureView, dan sejak daripada itu, beberapa peranti lain turut telah menggunakannya.

Ketika pengambil-alihan Nokia oleh Microsoft, hak tanda dagang ini turut telah dipindahkan sama. Kini, ia nampaknya telah pun dipindahkan kepada HMD Global, sekaligus membawa kepada kemungkinan ia digunakan pada peranti berjenama Nokia akan datang.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah HMD Global akan hadir dengan peranti “PureView” mereka tersendiri. Mungkinkah kita akan melihat ianya hadir pada Nokia 9 yang dinantikan ramai kelak?

Komen