Pocophone F1 | |
---|---|
Skrin | 6.18” IPS LCD, FHD+ Nisbah 18.7:9, 403 ppi |
Chipset | Qualcomm Snapdragon 845 |
CPU | 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz |
GPU | Adreno 630 |
Memori | 6GB |
Storan | 64GB/128GB UFS 2.1 mikroSD sehingga 256GB |
Kamera Utama | 12MP f/1.9 + 5MP f/2.0 |
Kamera Hadapan | 20MP f/2.0 |
Sambungan | WiFi 802.11 a/b/g/n/ac Bluetooth 5.0 A-GPS, GLONASS USB-C |
Sistem | MIUI untuk Poco Android 8.1 Oreo |
Bateri | 4000 mAh, Quick Charge 3.0 |
Dimensi | 155.5 x 75.3 x 8.8 mm |
Berat & Ketebalan | 180g, 8.8mm |
Tahun ini kita menyaksikan banyak telefon berasaskan permainan telah hadir ke pasaran, antara yang menarik perhatian ialah ASUS ROG Phone dan Honor Play. ASUS ROG Phone terkenal dengan penawaran peranti yang sangat berkuasa bersama sokongan aksesorinya, namun harganya agak tinggi untuk dimiliki pengguna. Honor Play dalam situasi yang lain turut menawarkan spesifikasi berkuasa, namun ia telah ditawarkan pada harga yang jauh lebih berpatutan berbanding pesaingnya.
Honor Play berjaya mencuri perhatian ramai atas penawarannya yang lengkap, seperti kehadiran cip Kirin 970, memori 4GB RAM, sokongan dwi-kamera, dan kapasiti bateri yang besar. Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan sambungan bicu audio 3.5mm, slot kad mikroSD, dan pembesar suara berasaskan stereo. Telefon ini juga yang menariknya mempunyai GPU Turbo, iaitu teknologi yang mampu meningkatkan kelancaran dan memberi penjimatan tenaga ketika sesi permainan.
Tidak sampai sebulan peranti Honor Play ini dilancarkan di Malaysia, ia menemui pencabar terdekatnya iaitu Pocophone F1, yang dibina oleh sub-jenama Xiaomi. Ia mempunyai penawaran yang hampir serupa seperti Honor Play, namun ia menggunakan cip terpantas untuk kegunaan peranti Android hari ini iaitu Snapdragon 845 bersama konfigurasi asas 6GB RAM. Apa yang menariknya, harga jualannya adalah berada pada harga jualan Honor Play, dengan harga jualan bermula RM1237.
Rekaan
Pocophone F1 didatangkan dengan spesifikasi peranti mercu pada hari ini, seperti kehadiran skrin 6.18-inci Full HD+ dengan nisbah 18.7:9, cip Snapdragon 845, memori 6GB, pilihan storan 64GB/128GB, dengan sokongan penambahan kad mikroSD sehingga 256GB. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.
Salah satu perkara harga jualan peranti ini ditempatkan pada harga jualan yang berpatutan adalah daripada bahan binaan yang digunakan. Pocophone F1 hadir dengan rekaan berasaskan plastik di bahagian belakang, berbanding pesaingnya yang dibina berasaskan logam. Binaan ini terasa sangat selesa apabila berada di tangan, disamping ia tidak memerangkap kesan cap jari. Sekiranya anda kisah tentang rupa belakang peranti ini, ia turut dibekalkan dengan aksesori perlindung silikon secara percuma, yang mana membantu untuk “menutupi” binaan plastik ini.
Di bahagian belakang ini menampilkan rekaan kamera di tengah-tengah peranti secara menegak, seperti yang dilihat pada siri Xiaomi Redmi 5. Ia menawarkan sistem dwi-kamera 12MP + 5MP disamping menempatkan lampu LED flash dwi-tona warna pada bahagian kanan kamera ini. Di bahagian bawahnya terdapat pengimbas cap jari, yang mana prestasinya sangat pantas untuk membuka peranti. Tetapi apa yang mengagumkan saya ketika menggunakan pada peranti ini, fungsi imbasan wajahnya juga sangat pantas, yang mana menyerupai prestasi imbasan wajah peranti OnePlus 6.
Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dan butang pembesar suara pada bahagian kanan, sementara slot hibrid dwi-sim dan mikroSD ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti pula menempatkan sambungan bicu audio 3.5mm, namun tidak mendatangkan sambungan IR blaster seperti Mi A2. Di bahagian bawahnya membawakan pembesar suara stereo (dengan ruang pendengaran (earpiece) dijadikan pembesar suara), bersama sambungan USB-C yang ditempatkan pada bahagian di tengah.
Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 6.18-inci, dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 18.7:9. Ia menampilkan rekaan bertakuk, bagi memberi laluan kepada perletakkan LED flash, sistem imbasan wajah inframerah, saluran pendengaran/pembesar suara, dan kamera hadapan 20MP. Sekiranya anda tidak menyukai perletakkan takuk ini, bahagian ini boleh disorokkan dengan perletakkan warna hitam di sekeliling takuk ini. Bercakap mengenai kualiti skrin, kualitinya kelihatan menyerupai skrin Mi A2, dengan kontras warna yang memuaskan bersama darjah pandangan skrin (viewing angle) yang cukup luas.
Dari segi variasi, Pocophone F1 hanya ditawarkan dalam dua variasi di Malaysia iaitu 6GB RAM/64GB, 6GB RAM/128GBGB. Dengan sokongan kad mikroSD, anda tidak perlu risau untuk memilih variasi permulaan 64GB, dengan menjadikan kad mikroSD ini sebagai storan penyimpanan kandungan multimedia anda. Pocophone F1 untuk Malaysia telah ditawarkan dalam dua pilihan warna sahaja iaitu Graphite Black dan Steel Blue yang mana boleh dipilih sewaktu pembelian peranti. Untuk Armored Edition dengan kemasan Kevlar pula, ia hanya ditawarkan untuk variasi 8GB RAM + 256GB.
Sistem
Pocophone F1 dijana dengan “MIUI untuk Poco”, iaitu antaramuka yang diolah berasaskan MIUI. Antaramuka ini membawa pelbagai fungsi MIUI, namun ia kini disertakan dengan pelancar Poco Launcher dan rekaan ikonografi serba baru. Poco Launcher ini dilihat menawarkan rekaan hibrid Android asli dan MIUI, menerusi tampilan talam aplikasi yang perlu ditatal (swipe) ke atas. Melalui talam aplikasi ini, anda boleh melihat aplikasi yang dipasang mengikut kategori, seperti “All”, Communication”, “Entertainment”, dan “Photography” untuk memudahkan carian sesuatu aplikasi. Sejumlah kustomasi turut didatangkan bersama pelancar ini seperti sokongan icon pack pihak ketiga dan kebolehan untuk menyorokkan sesuatu aplikasi.
“MIUI untuk Poco” ini turut membawakan beberapa fungsi asas MIUI, seperti sokongan tema yang boleh dimuat-turun dan Second Space untuk mengasingkan ruang kerja dan peribadi. Ia juga hadir dengan kawalan Full Screen Gesture, dengan kebolehan kawalan peranti menyerupai iPhone X tanpa perletakkan butang navigasi di bawah skrin. Anda juga boleh menggunakan mod satu tangan pada antaramuka ini, selain boleh mencuba fungsi App Lock untuk kebolehan membuka dan mengunci aplikasi melalui imbasan jari.
Kamera
Dari segi keupayaan kamera, Pocophone F1 hadir dengan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 12MP (f/1.9, 1.4µm, Sony IMX363), bersama sensor kedua 5MP f/2.0 untuk kebolehan Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran. Ia juga dilengkapi dengan LED flash dwi-tona warna dalam memberi hasilan warna kulit yang lebih semula jadi ketika ia digunakan.
Pada percubaan awal saya untuk kebolehan fotografinya, saya cukup kagum dengan hasilan imejnya yang tajam dan terperinci. Perwarnaan dilihat lebih ke arah semula jadi, dengan kadar kontras yang memuaskan untuk kebanyakan situasi penggambaran.
Kamera hadapannya hadir dengan sensor 20MP f/2.2, bersama-sama LED flash untuk membantu penggambaran ketika pencahayaan malap. Hasilannya juga dilihat cemerlang, dengan menawarkan keperincian imej swafoto yang tajam, bersama kemasan bokeh yang baik melalui penggambaran Portrait Mode.
Dari segi fungsi penggambaran, Pocophone F1 mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps disamping hadir dengan rakaman gerak perlahan 1080p@240fps. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti kebolehan Pro Mode, Beautify Mode, Short Video, dan Panorama sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran.
Prestasi
Pocophone F1 dijana dengan cip pemprosesan terpantas untuk peranti Android hari ini, menerusi penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan cip lapan teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz untuk kegunaan standard secara efisien. Ia juga menampilkan GPU Adreno 630, yang dilihat mampu menggalas sejumlah permainan bergrafik intensif dengan tetapan grafik tinggi.
Dengan penggunaan memori 6GB RAM, ia ternyata tidak memberi sebarang isu prestasi, terutama ketika membuat pertukaran aplikasi atau memainkan permainan bergrafik intensif ini. Dari percubaan awal saya bersama Pocophone F1, peranti ini dapat memainkan permainan PUBG Mobile pada dengan sangat selesa, melalui bacaan kadar bingkai (frame rate) yang konsisten walaupun digunakan melebihi 30 minit sesi permainan. Pengeluaran haba juga dilihat minima, yang mana banyak dibantu melalui sistem penyejukan cecair secara terbina.
Bateri
Sebagai peranti yang memfokuskan kepada penggunaan berkuasa, Pocophone F1 telah menawarkan kapasiti bateri yang cukup besar iaitu pada kapasiti 4000 mAh. Ia dilihat besar berbanding pesaingnya, seperti Honor Play dengan kapasiti 3750 mAh, dan Xiaomi Mi 8 yang menawarkan kapasiti 3400 mAh. Dengan penggunaan cip 10nm melalui Snapdragon 845 ini, ia dijangka dapat memberi masa penggunaan peranti yang lama, lebih-lebih lagi untuk kegunaan permainan.
Dengan kapasiti bateri 4000 mAh dan penggunaan cip 10nm ini, kami menjangkakan ia mampu memberi bacaan SoT sekitar 6-7 jam (atau 3-4 jam sesi permainan) untuk satu hari penggunaan. Tidak seperti Mi A2, peranti ini turut dibekalkan dengan pengecas Quick Charge 3.0 secara terbina untuk mengurangkan masa pengecasan peranti.
Rumusan
Pocophone F1 dilihat menyajikan penawaran peranti yang cukup berkuasa seperti kehadiran cip berkelas mercu Snapdragon 845, penggunaan memori 6GB RAM LPDDR4X, sokongan dwi-kamera 12MP + 5MP berasaskan AI, dan kapasiti bateri 4000 mAh. Ia juga mengekalkan sejumlah sambungan seperti bicu audio 3.5mm dan slot kad mikroSD, yang mana kedua-dua fungsi ini telah dikeluarkan daripada kebanyakan peranti utama. Pocophone F1 juga menewaskan pesaing terdekatnya dengan menyertakan pembesar suara stereo dan fungsi imbasan wajah inframerah untuk menyingkatkan lagi masa pembukaan peranti melalui wajah.
Namun antara perkara Pocophone F1 masih tidak dapat menandingi pesaingnya adalah dari segi rekaannya, yang mana ditewaskan melalui binaan berasaskan logam pada Honor Play. Pocophone F1 juga tidak menawarkan NFC seumpama Honor Play, iaitu fungsi yang memudahkan anda menyambung ke peranti berasaskan NFC atau menjadi medium untuk membuat pembayaran tanpa tunai. Sekiranya anda pengguna tegar CIMB Pay, anda akan merindui kemudahan yang hadir melalui fungsi NFC ini.
Selain itu semua, Pocophone F1 sememangnya telah mencabar pesaingnya, dengan memberi spesifikasi yang berkuasa, hadir dengan sambungan yang lengkap, mempunyai keupayaan kamera yang sangat baik untuk harian, bersama penawaran pembesar suara berasaskan stereo. Ia sebuah peranti berkuasa yang sangat memfokuskan kepada keperluan asas pengguna, dalam satu pakej harga peranti yang sangat berpatutan untuk kelasnya.
Pocophone F1 bakal dijual di Malaysia pada 30 Ogos ini dan disenaraikan pada harga RM1237 untuk variasi 6GB RAM + 64GB, sementara variasi 6GB RAM + 128GB dijual pada harga RM1428. Namun selepas pengenalan SST bermula 1 September, Pocophone F1 bakal dijual pada harga RM1299 untuk variasi 6GB RAM + 64GB, dan RM1499 untuk variasi 6GB RAM + 128GB. Buat masa ini, tiada sebarang info mengenai tarikh dan harga jualan variasi 8GB RAM + 256GB untuk pasaran Malaysia.