Apple pada tahun ini dijangka hadir dengan beberapa telefon pintar iPhone baru, dimana ia bakal dilancarkan pada September 2018 ini. Beberapa model dijangka hadir, dan salah satu model yang berspesifikasi tinggi adalah iPhone dengan skrin bersaiz 6.5-inci.
Menurut Bloomberg, iPhone 6.5-inci ini akan menjadikan ia sebagai iPhone bersaiz paling besar sehingga kini, dan dijangka hadir dengan rekaan kaca pada bahagian belakang, dan penggunaan dwi-kamera belakang.
Ia juga dijangka akan menggunakan skrin OLED seperti pada iPhone X sebelum ini. Menariknya, selain daripada pada bahagian perkakasan, iPhone 6.5-inci ini juga dilihat akan menawarkan sedikit pembaharuan pada bahagian perisian.
Salah satunya adalah dimana ia akan membolehkan pengguna melihat aplikasi secara bersebelahan. Sebagai contoh, pengguna boleh membuka aplikasi Mail dan Calendar secara serentak, dan melihat kandungan kedua-duanya secara bersebelahan untuk memudahkan membuat perancangan.
Selain model bersaiz besar ini, Apple juga dijangka hadir dengan kemaskini untuk iPhone X (5.8-inci) dengan penamah-baikkan pada kuasa pemprosesan dan juga kamera.
Bersama-sama pengenalan iPhone baru, pihak Apple turut dijangka memperkenalkan kemaskini untuk Apple Watch dan juga iPad Pro baru.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan bulan September ini untuk melihat apakah kejutan lanjut yang akan dibawakan oleh Apple.