HP Malaysia hari ini telah melancarkan dua komputer riba baru dibawah jenama memfokuskan permainan video, iaitu OMEN. Dua komputer riba berkenaan adalah OMEN 15 dan juga OMEN 17.
Kedua-dua komputer riba ini kini hadir dengan cip pemprosesan Intel Core generasi ke-8 yang terkini, selain turut dilengkapi dengan kad grafik pilihan GeForce GTX 1060 atau 1070.
OMEN 15 hadir dengan skrin bersaiz 15.6-inci, sementara OMEN 17 pula dengan skrin bersaiz 17.3-inci. Kedua-duanya juga turut hadir dengan sokongan kadar segar semula mencapai 144Hz. Komputer riba ini menggunakan rekaan berasaskan Max-Q, sekaligus menawarkan rekaan yang nipis berbanding pelbagai komputer memfokuskan permainan video yang lain.
Bersama-sama pelbagai spesifikasi terkini, HP OMEN juga dilengkapi perisian khusus OMEN Command Center yang membolehkan anda mengawal sejumlah perkara – termasuk pencahayaan pada papan kekunci.
Bagi anda yang berminat, komputer riba ini sudah boleh dipra-tempah dilaman rasmi HP bermula hari ini. HP OMEN 15 ditawarkan pada harga bermula RM4485, sementara OMEN 17 pula ditawarkan pada harga bermula RM8699.