Carian
Audra Digital Wellness – Alat Kawalan Internet Yang Dapat Mengesan Aktiviti Pengguna
September 25, 2018 Syafia Hani

Sejak kewujudan internet, proses penyebaran informasi dan maklumat semakin cepat disampaikan. Dengan kewujudan internet ini juga, ia memudahkan lagi proses komunikasi antara orang ramai sekaligus menjadikannya antara medium terpenting untuk berkomunikasi. Namun jika kandungan internet dan media sosial diberikan akses tanpa pengawasan yang baik, ia sedikit sebanyak dapat memberikan impak kepada orang ramai dalam pembentukan akhlak dan sahsiah mereka, terutamanya kanak-kanak dan remaja bawah umur.

Sasaran Pasaran

Umum mengetahui bahawa penggunaan Internet ini terdapat baik dan buruknya. Jika tidak diberi sekatan kepada kebebasan Internet ini, akan ada yang menyalahgunakan kemudahan yang disediakan sekaligus membawa pengaruh buruk kepada yang lain. Oleh itu, sekatan internet perlu dijalankan bagi mengawal etika pekerjaan seseorang individu tersebut dalam sesebuah organisasi.

Bagi mengatasi masalah kebebasan internet ini, Audra telah melancarkan satu peranti yang dapat mengawal penggunaan internet sesorang individu. Dengan slogan ‘Digital Wellness Solution’, alat kawalan ini dibina khas bukan sekadar untuk mengawasi gerak-geri pengguna Internet sama ada dalam sesebuah keluarga atau organisasi, akan tetapi boleh berfungsi sebagai memberikan maklumat mengenai cara penggunaan mereka.

Penggunaan Internet boleh dikawal dengan hanya menggunakan komputer. Namun, sekiranya anda berada diluar kawasan dan tidak mempunyai komputer riba bersama anda, alat kawalan Internet ini boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar sahaja. Apa yang anda perlu lakukan adalah memuat turun aplikasi Audra Go daripada App Store atau Play Store.

Rekaan

Daripada pandang pertama kami, alat kawalan Internet daripada Audra ini hadir dengan rekaan seakan penghala WiFi yang mana pada bahagian belakangnya mempunyai satu port kuasa, USB, WAN dan empat port LAN. Port ini berfungsi untuk menyambungkan Internet kepada alat kawalan tersebut di mana sambungan ini akan digunakan untuk mengawal penggunaan Internet melalui data yang diberikan hasil daripada sambungan tersebut.

Alat kawalan ini dibina dengan material Robust Metal dan hadir dengan satu pilihan warna sahaja iaitu warna Matte Black. Seperti yang saya nyatakan tadi, alat kawalan Internet ini mempunyai rekaan seakan penghala WiFi dimana saiz dan beratnya hampir sama. Alat kawalan ini hadir dengan saiz 7.6 x 5.5 x 1.3 inci dan seberat 92 gram.

Proses Penetapan

Bagi pengguna kali pertama dan tiada pengalaman dalam pemasangan penghala, saya rasakan proses penetapan untuk alat kawalan ini agak sukar dan banyak langkah yang perlu dibuat bagi menghubungkannya pada penghala WiFi untuk mendapatkan data penggunaan Internet oleh pengguna lain.

Untuk menyambungkan alat kawalan ini pada penghala Wi-Fi, pengendali perlu membuat sambungan daripada penghala kepada alat kawalan ini menggunakan kabel LAN yang disertakan sekali di dalam kotak pembelian. Pemasangan sambungan ini dibuat pada port LAN untuk peranti dan WAN untuk penghala Wi-Fi.

Selepas penyambungan dibuat, pengendali perlu melayari laman rasmi Audra untuk membuat penetapan sambungan internet dan mendaftar diri sebagai pengendali Audra. Selepas selesai mendaftar diri, pengendali boleh log masuk ke dalam akaun untuk mengemaskini penggunaan internet pengguna lain. Selain daripada menggunakan komputer, proses yang sama boleh juga dilakukan pada aplikasi Audra Go. Dengan menggunakan aplikasi ini, pengendali boleh mengawal penggunaan internet daripada jauh. Anda juga boleh melayari laman rasmi Audra untuk melihat cara penetapan dengan lebih terperinci untuk kegunaan seisi keluarga atau sesebuah organisasi.

Antaramuka

Bagi pendapat kami, antaramuka yang digunakan pada laman Audra dan aplikasi sangat kemas dan mudah untuk difahami. Antaramukanya memaparkan rekaan yang minimalis dan kemas yang mana setiap fungsi yang tersedia pada laman ini menggunakan bahasa yang terus dan tidak susah untuk difahami. Ini jauh berbeza dengan paparan antaramuka penghala yang kebiasannya adalah berdasarkan teks semata-mata, tanpa memberi sebarang gambaran untuk tetapan yang ada.

Pada laman tetapan Audra, terdapat 6 antaramuka utama.

  • Dashboard  antaramuka ini memaparkan ringkasan kepada aktiviti internet pengguna yang menyambungkan kepada sambungan WiFi SSID. Di antaramuka ini pengendali boleh melihat data internet yang digunakan setiap hari, peranti yang aktif menggunakan WiFi SSID dan statistik mingguan penggunaan Internet.
  • Device List – memaparkan senarai pengguna WiFi SSID yang aktif dan tidak aktif, dan pengendali boleh melihat senarai pengguna berdasarkan kumpulan yang ditetapkan, seperti Management, Employee dan Guest. 
  • Groups – pengendali boleh menambah kumpulan baru untuk pengguna Internet. Untuk mengubah tetapan Internet pada sesuatu kumpulan, pengendali perlu klik pada nama kumpulan dan akan dibawa ke satu antaramuka yang lain. Pada antaramuka ini, pengendali boleh mengubah nama kumpulan, dan membuat penetapan lain, seperti menetapkan had Internet mengikut masa dan had harian mengikut jam. Pada antaramuka ini juga pengendali boleh menyekat laman yang tidak diingini seperti laman judi, perisian hasad, pornografi dan banyak lagi.

  • Settings – pengendali boleh menetapkan tetapan yang lain seperti mengubah zon masa, pilihan menerima notifikasi, kemaskini firmware, atau mengubah kata laluan akaun Audra.
  • Reports – membolehkan pengendali untuk melihat laporan secara mingguan atau bulanan dari segi jumlah data yang dipindahkan (data muat naik dan data muat turun) serta senarai peranti yang aktif menggunakan sambungan WiFi SSID.
  • Logout pengendali hanya perlu meletakkan nama emel yang telah didaftarkan dan masukkan kata laluan akaun tersebut untuk log masuk semula.

Prestasi

Spesifikasi Audra Digital Wellness
Saiz 7.6 x 5.5 x 1.3 inci
Berat 3.24 oz. / 92 g
Material Premium Metal
Warna Matte Black
Bandwidth 100 Mbps
Port 4x LAN, 1x WAN
Platform Aplikasi Android 4.0 ke atas
iOS 7.0 ke atas

Apabila alat kawalan Internet ini dipasang, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada kelajuan internet di mana penghala yang disambungkan pada peranti ini hanya mampu menghantar data selaju 21Mbps sahaja melalui sambungan WiFi sedangkan pada bahagian tetapan, kami tetapkan had kelajuan adalah selaju 300Mbps. Hal ini sekaligus membuatkan produktiviti kami sedikit terjejas kerana sokongan internet yang lemah.

Bagi aplikasi Audra Go, ia disokong oleh peranti dengan sistem operasi Android 4.0 dan iOS 7.0 dan keatas. Bagi komputer pula, sambungan Audra ini menyokong komputer dengan sistem operasi Windows 7 sehingga yang terkini.

Dari segi produktiviti harian, alat kawalan ini dilihat sangat memberi kesan kepada proses untuk memuat naik video di halaman YouTube. Proses untuk memuat naik video bersaiz 2.87GB mengambil masa selama 18 minit jika menggunakan Audra, manakala mengambil masa hanya 8 minit sahaja jika memuat naik tanpa menggunakan Audra. Begitu juga dengan tempoh masa yang diambil untuk memuat turun video yang mana video sebesar 15MB memerlukan masa selama 3 minit untuk proses memuat turun selesai.

Rumusan

Alat kawalan internet ini bagus dan berkesan untuk mengawal aktiviti layaran internet pengguna. Dengan pengawalan penggunaan internet ini, kita dapat lihat dimana ia membantu sesebuah organisasi dalam menambah baik produktiviti mereka. Hal ini kerana pengendali dapat mengawal laman web yang tidak sesuai dilayari oleh pengguna lain, sama ada kanak-kanak bawah umur, atau pekerja di dalam sesebuah organisasi.

Namun, ia sedikit mengecewakan apabila sambungan internet menjadi lemah dan menyukarkan urusan produktiviti seseorang individu. Ini kerana kelajuan internet merupakan satu faktor yang memberikan impak besar kepada produktiviti pengguna. Jadi sekiranya kelajuan alat kawalan ini tidak dikemaskini, ia sedikit sebanyak mempengaruhi pembelian pengguna.

Pro

  • Rekaan kemas dan minimalis
  • Antaramuka aplikasi yang kemas dan mudah difahami untuk membuat penetapan
  • Menyokong peranti dengan sistem operasi Android 4.0 ke atas, iOS 7.0 ke atas dan komputer yang mempunyai sistem operasi Widows 7 hingga yang terkini.
  • Memudahkan pengendali untuk menyekat saluran internet bagi laman web yang tidak sesuai untuk dilayari.
  • Memudahkan pengendali untuk mengawasi aktiviti penggunaan internet pengguna lain.
  • Mudah untuk mengawal produktiviti seseorang individu

Kontra

  • Sukar untuk membuat proses penetapan untuk menyambungkan sokongan internet
  • Kelajuan internet menurun setelah Audra disambungkan pada penghala dan modem
Komen