Carian
Ulasan: MSI Stealth Thin 8RF – Komputer Riba Gaming Skrin Bingkai Nipis 144Hz
September 3, 2018 Fahim Zahar

MSI cukup terkenal dengan perkakasan yang memfokuskan permainan video. Baik dari komputer riba, papan induk, monitor, dan banyak lagi. Komputer riba gaming MSI pula terdapat banyak model. Dari rekaan yang tebal, jisim yang berat, rekaan yang agresif dan bersegi sehinggalah variasi yang ringkas.

Artikel ini, akan saya ulas komputer riba gaming MSI Stealth Thin 8RF. Iaitu sebuah komputer riba gaming dengan rekaan yang ringkas, tidak agresif dan cukup kuasa untuk permainan video dengan grafik yang intensif.

 

Spesifikasi

MSI Stealth Thin 8RF
Skrin 15.6″ FHD, 144Hz, 7ms
Pemproses Intel® Core™ i7-8750H
Kad Grafik NVIDIA GTX 1070 + 6GB GDDR5
RAM 16GB
Storan 512GB SSD
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
I/O Port bicu audio (mikrofon + headphone)
1x Thunderbolt 3 USB-C 3.1
3x Type-A USB3.1
1x RJ45
1x (4K @ 60Hz) HDMI
1x Mini-DisplayPort
Video HDMI 2.0
Lain-lain Killer Gb LAN
Killer ac Wi-Fi + Bluetooth v5
Harga RM 8,888

komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci IPS LCD dengan resolusi HD penuh (1920×1080) IPS dengan kadar segar semula 144Hz.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-8 Intel Core i7-8750H, memori sebesar 16GB DDR4 dan storan 512GB SSD. Untuk memperkasakan bahagian grafik laptop ini, MSI memuatkan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 yang hadir dengan memori sebesar 6GB GDDR5 yang secara teorinya cukup bagus untuk memainkan kebanyakan permainan-permainan komputer dengan grafik yang intensif.

 

Dari segi pilihan  I/O pula, komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini dilengkapi dengan jumlah port yang cukup banyak. Tedapat tiga port USB 3.1 Type-A, sebuah port Thunderbolt 3 USB 3.1 Type-C, sebuah port HDMI bersaiz besar, sebuah port Mini Display, sebuah port LAN RJ45 dan juga bicu audio 3.5mm – satu untuk mikrofon dan satu untuk headphone.

Pembesar suara komputer riba ini diletakkan pada bawah komputer riba. Bagi mereka yang mementingkan kualiti bunyi, komputer riba ini mempunyai kualiti audio yang cukup baik. Tetapi ia tidak cukup baik untuk menyembunyikan bunyi kipas yang bising.

Reka Bentuk

Rekabentuk komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini mempunyai rekaan yang ringkas dan tidak agresif atau bersegi seperti komputer gaming lain. Cangkerangnya diperbuat besi dan secara langsung kelihatan seperti sebuah komputer riba yang premium.

Cangkerang bahagian papan kekunci dan komponen laptop ini juga diperbuat daripada besi, manakala penutup paparan di bahagian belakang adalah besi dan di hadapan adalah plastik. Masalah kelenturan pada skrin juga sedikit terasa kerana rekaan bingkai nipis. Menurut MSI, model komputer riba ini adalah yang pertama dengan skrin bingkai nipis dengan sokongan kadar segar 144Hz.

Disebabkan kemasan komputer riba ini besi dan kelihatan seperti tiada lapisan kemasan pelindung – jika diguna pada jangka masa yang lama ia pasti mudah calar. Lubang udara untuk penyejukan komputer riba ini pula terletak di bahagian atas papan kekunci, dan kedua sisi kiri dan kanan.

 

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

Kerja-kerja menaip juga agak selesa. Cuma, sedikit ambil masa untuk membiasakan diri kerana jarak setiap kekunci adalah sedikit rapat. Seperti biasa, kebanyakan komputer riba gaming MSI – papan kekuncinya adalah hasil kerjasama bersama-sama dengan Steel Series, yang cukup terkenal dengan aksesori gaming berkualiti tinggi. Terdapat juga lampu RGB yang boleh dikawal melalui perisian Steel Series. Touchpad pada komputer riba ini menggunakan driver WIndows Precision. Jadi ia cukup selesa dan mudah digunakan.

Ciri-Ciri

Komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini sebuah komputer riba yang ringkas dan mudah digunakan, jadi ia tidak mempunyai terlalu banyak gimik untuk diperkatakan. Walaupun begitu, ia tetap mempunyai beberapa ciri-ciri yang membuatkan pengalaman menggunakan laptop ini pengalaman yang cukup menarik.

Pertama ialah penggunaan kad grafik GeForce GTX 1070 dengan RAM GDDR5 6GB serta RAM sebesar 16GB membuatkan masalah pemasanan jarang berlaku. Sewaktu kami rancak bermain permainan-permainan komputer dengan komputer riba ini, bunyi kipas daripada laptop ini akan kedengaran kuat kerana ia tidak tertutup dengan pembesar suara komputer riba ini. Dengan adanya bicu audio, penggunaan fon kepala boleh membantu anda daripada mendengar bunyi bising tersebut.

Bunyi kipas lebih bising apabila mod turbo digunakan. Disebabkan mod turbo ini, komputer riba tidak berasa panas dan tiada masalah jika bermain permainan pada masa jangka yang lama.

 

Bagi mereka yang selalu menggunakan komputer riba untuk tugas-tugas menyunting gambar ataupun video, kelajuan penghantaran data yang pantas adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Port-port USB 3.1 Type-A mempunyai kelajuan menghantar data yang memuaskan, manakala port USB-C Thunderbolt pula boleh digunakan untuk menyambung kepada monitor 5K.

Ujian Tanda Aras

Ujian grafik yang kami lakukan adalah dengan menggunakan 3Ds Mark. Ujian Time Spy kami menerima markah penanda aras 4563, Fire Strike 12345 dan Sky Driver 28927. Ujian ini mungkin tidak sehebat yang anda sangkakan, tetapi dari segi pengalaman pengguna ia sudah cukup hebat dan puas bermain permainan, melakukan tugasan serta menikmati media-media.

Pengalaman Pengguna

Komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan cukup ciri-ciri penting dan utama, dan pada pendapat kami, ini adalah sesuatu yang agak baik. Penggunaan CPU Intel generasi kelapan dan kad grafik NVIDIA GTX 1070 bermakna beberapa permainan-permainan komputer terbaru boleh dimainkan dengan tetapan dan resolusi  paparan yang cukup tinggi, khususnya jika anda seorang yang gemar bermain game seperti PUBG, Overwatch atau Fortnite, komputer riba ini tiada sebarang masalah untuk bermain permainan sedemikian pada tetapan yang paling tinggi.

Dari segi penggunaan harian. kami tidak menghadapi sebarang masalah menggunakan komputer riba ini. Dari segi pelayaran web, menonton video resolusi tinggi (Full HD, 4K) dan sebagainya. Jika anda menggunakan komputer riba ini sebagai untuk kegunaan umum untuk aktiviti-aktiviti bekerja dan juga permainan komputer, komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini sebuah komputer riba yang cukup sesuai sekali untuk tugas-tugas tersebut.

Jangka-hayat bateri komputer riba ini kurang baik, ia hanya mampu bertahan selama 3-4 jam dengan satu pengecasan penuh. Jangka-hayat bermain permainan video pula boleh dianggarkan berada di dalam lingkungan 2 jam, bergantung kepada permainan video yang dimainkan. 

Dari segi skrin pula, komputer riba MSI Stealth Thin 8RF hadir dengan paparan 15.6-inci dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang cukup terang. Ia juga mempunyai sudut pandangan yang lebar dan ini membolehkan anda berkongsi skrin dengan orang lain tanpa sebarang masalah. Lebih menarik adalah kadar segar semula 144Hz dan 7ms yang membuatkan pengalaman bermain permainan sangat lancar dan mengasyikkan.

Kesimpulan

Komputer riba MSI Stealth Thin 8RF ini merupakan sebuah komputer riba yang cukup bagus untuk kegunaan kerja seharian dan juga untuk bermain permainan video secara serius. Dari segi pemprosesan komputer dan grafik, komputer riba ini hadir dengan spesifikasi yang terkini dan juga cukup berkuasa.

Jika anda berminat untuk membeli komputer riba ini, ia sudah pun hadir di pasaran tempatan dengan tanda harga RM8,888. Dengan pembelian komputer ini kami rasa ia sudah cukup bagus untuk bermain permainan video pada resolusi dan tetapan yang tinggi. Kami mencadangkan anda menggunakan set fon-kepala ataupun menggabungkan komputer riba ini dengan sebuah monitor melalui Thunderbolt 3 untuk pengalaman yang lebih menakjubkan.

PRO KONTRA
  • Spesifikasi CPU dan GPU yang terkini.
  • Rekaan yang menarik.
  • Paparan skrin yang terang.
  • Pengalaman gaming yang cukup baik.
  • Sistem LED RGB yang menarik.
  • Bunyi kipas yang bising.
  • Papan kekunci mengambil masa untuk dibiasakan.
  • Bateri yang lemah.
  • Panel skrin yang terasa lentur.

 

Komen