Google Memberikan Nafas Baru Untuk Sistem Operasi Jam Tangan Pintar, Wear OS

Google Memberikan Nafas Baru Untuk Sistem Operasi Jam Tangan Pintar, Wear OS

Diterbitkan pada Ogos 29, 2018 oleh .

Wear OS merupakan salah satu sistem operasi dibawah Google yang memfokuskan peranti boleh-pakai dan jam tangan pintar. Ia sebelum ini dinamakan Android Wear, dan telah dijenamakan sebagai Wear OS pada tahun ini.

Terkini, selain penjenamaan semula dari segi nama, Google juga hari ini mengumumkan pengenalan antaramuka baru dan pelbagai ciri-ciri baru pada sistem operasi berkenaan.

Wear OSMelalui pembaharuan baru ini, Wear OS memfokuskan pada muka jam – apa yang sepatutnya pada jam tangan pintar, dan memudahkan pengguna mengakses pelbagai fungsi lain dengan hanya swipe atau tatal.

Apabila anda menatal dari atas ke bawah pada muka jam, anda akan diperlihatkan dengan senarai tetapan pantas. Sekiranya anda menatal dari bawah ke atas, anda akan diperlihatkan dengan senarai notifikasi. Menatal dari kanan ke kiri pula memaparkan Google Fit.

Menariknya, apabila anda menatal dari kiri ke kanan, anda akan dapat mengakses Google Assistant. Dengan adanya Google Assistant ini, anda boleh melihat pelbagai informasi semasa dan akan datang berkaitan dengan anda – lebih kurang seperti pada Google Now di telefon pintar sebelum ini.

Dengan kemaskini baru ini, ia dilihat lebih mesra pengguna – dan memfokuskan kepada apa yang diperlukan kepada seseorang. Seperti sebelum ini, anda masih boleh melihat senarai aplikasi dan sebagainya – tetapi ia tidak diketengahkan.

Buat masa ini, tiada sebarang peranti baru yang diumumkan. Kemaskini Wear OS baru ini akan hadir ke sejumlah jam tangan pintar sedia ada bermula September ini.


TIPS & ULASAN