Apple Mengambil-Alih Akonia Holographics – Firma Memfokuskan Pembangunan Lensa Untuk Kaca Mata Pintar

Apple Mengambil-Alih Akonia Holographics – Firma Memfokuskan Pembangunan Lensa Untuk Kaca Mata Pintar

Diterbitkan pada Ogos 30, 2018 oleh .

Apple Hari ini mengesahkan yang mana mereka telah mengambil-alih firma yang memfokuskan kepada pembangunan lensa berkaitan AR, dinamakan Akonia Holographics.

Pengambil-alihan ini sekaligus mengesahkan pelbagai desas-desus sebelum ini yang mengatakan Apple sedang melihat kepada arena kaca mata pintar. Apple sendiri sebelum ini telah hadir dengan penawaran teknologi memfokuskan AR terus pada telefon pintar mereka.

Berbeza dengan lensa biasa, lensa untuk AR akan memerlukan sokongan untuk menyiarkan kandungan daripada sensor khusus, dan memantulkannya dengan baik supaya dapat dilihat pada mata pengguna.

Dengan pengambil-alihan firma pembangunan lensa untuk AR ini, ia sekaligus membolehkan Apple mengukuhkan kedudukan dalam arena kaca mata pintar pada masa akan datang. Menurut desas-desus sebelum ini, Apple dikatakan akan hadir dengan kaca mata pintar dalam tempoh sekitar lima tahun akan datang.

Harga pengambil-alihan tidak diumumkan oleh Apple. Menurut Apple, menjadi kebiasaan untuk mereka mengambil-alih syarikat dan firma kecil – sekaligus membolehkan mereka mengukuhkan kedudukan dalam sesuatu arena, dan menambah kepakaran dan portfolio mereka.


TIPS & ULASAN