Carian
Pandang Pertama: Acer Predator Triton 900 – Laptop Gaming Berkuasa Yang Penuh Dengan Misteri
September 5, 2018 Nazrin

Pada tahun lepas, di acara Acer@Next di New York, Acer memperkenalkan sebuah siri laptop gaming baru yang dinamakan Acer Predator Triton 700, iaitu sebuah laptop gaming nipis yang hadir dengan spesifikasi dalaman berkuasa yang seakan-akan desktop, dan secara tidak langsung memperkenalkan kad grafik NVIDIA Max-Q ke dunia.

Setahun setengah kemudian, di acara Acer@Next di IFA Berlin, Acer nampaknya bersedia untuk memperkenalkan model kedua di dalam siri Acer Predator Triton ini, dan ia dinamakan Acer Predator Triton 900.

Lain Dari Yang Lain

Jika laptop Predator Triton 700 hadir dengan rekaan nipis dan berkuasa, Predator Triton 900 pula memperlihatkan percubaan Acer untuk merekacipta sebuah laptop gaming yang boleh dikatakan lain dari yang lain.

Acer masih merahsiakan spesifikasi-spesifikasi khusus yang akan tiba pada laptop ini. Spesifikasi CPU, memori, storan dan juga kad grafik langsung tidak diberitahu walaupun kami sempat bertemu dengan beberapa pakar produk Acer Predator untuk seketika.

Apa yang mereka sempat memberitahu kami ialah kesemua spesifikasi dalaman laptop Acer Predator Triton 900 ini akan hadir dengan model-model CPU dan kad grafik yang terbaru daripada Intel dan juga NVIDIA.

Jika kami lihat kembali kepada acara New York tahun lepas, yang memperlihatkan laptop Predator Triton 700 hadir dengan kad grafik NVIDIA Pascal Max-Q, terdapat juga kebarangkalian bahawa laptop Predator Triton 900 ini bakal hadir dengan CPU Intel generasi kesembilan Whiskey Lake dan juga sebuah kad grafik NVIDIA RTX yang dibina khusus untuk laptop gaming berkuasa.

Beralih dari spesifikasi dalaman, Acer memperkenalkan rekaan serba baru untuk laptop Acer Triton 900 ini, dengan menggunakan paparan skrin yang bukan sahaja boleh disentuh, tetapi turut hadir dengan ciri boleh ditarik, yang membuatkan laptop ini sebuah laptop convertible, yang boleh dijadikan sebagai sebuah tablet.

Bercakap tentang paparannya, seorang jurucakap daripada Acer memberitahu kami bahawa paparan laptop Triton 900 ini bukan sahaja hadir dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 4K, tetapi ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi NVIDIA GSYNC dan juga ciri sesentuh.

Ini membawa kami kepada ciri paparan yang berikutnya, iaitu kebolehannya untuk disendeng keatas dan kebawah bergantung kepada keperluan pengguna. Ini sebuah ciri yang bukan sahaja menarik, tetapi juga aneh buat kami kerana ciri ini membolehkan laptop ini menjadi sebuah tablet yang sangat besar.

Sayang sekali, sewaktu di acara IFA kami tidak berkesempatan untuk menguji ciri sendengan ini kerana satu-satunya unit Triton 900 yang hadir di acara tersebut dikunci di dalam sebuah kotak kaca yang tidak boleh dibuka.

Walaupun begitu, rekaan bahagian-bahagian seperti engsel paparan, papan kekunci, palam, ruang pengudaraan dan sebagainya masih dapat dilihat. Dalam pada itu, Acer turut mengumumkan bahawa mereka telah menaiktarafkan sistem penyejukan Aeroblade 3D mereka kepada generasi keempat, dimana setiap bilah kipas tersebut hadir dengan rekaan bulu pelepah burung hantu yang bukan sahaja membuatkan kipas ini berfungsi dengan lebih perlahan, tetapi juga mampu mengalirkan lebih banyak udara lagi.

Selain dari itu, laptop Triton 900 ini juga dilengkapi dengan papan kekunci mekanikal yang direka semula untuk memastikan pengguna menikmati pengalaman menaip dan gaming yang lebih selesa untuk satu jangka masa yang panjang.

Di sebelah papan kekunci tersebut pula ialah pad sesentuh yang juga boleh digunakan sebagai pad nombor digital, sebuah ciri yang mula diperkenalkan pada laptop gaming Acer Predator 21X.

Menurut pihak Acer, mereka menjangkakan bahawa laptop Acer Predator Triton 900 ini akan memasuki pasaran dunia sekitar suku pertama 2019 kelak. Spesifikasi-spesifikasi khusus seperti cip pemprosesan, kad grafik dan sebagainya akan diumumkan di masa hadapan, dan kami berharap bahawa komponen-komponen yang akan digunakan adalah komponen yang terbaru dan paling berkuasa dari pihak Intel dan NVIDIA, terutamanya kad grafik NVIDIA GeForce RTX.

Komen