Lenovo C930 Ialah Komputer Riba Pertama Dengan Soundbar Berputar 360 Darjah

Lenovo C930 Ialah Komputer Riba Pertama Dengan Soundbar Berputar 360 Darjah

Diterbitkan pada Ogos 31, 2018 oleh .

Komputer riba 2 dalam 1 mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2011. Ia adalah percubaan awal untuk menjadikan komputer riba sebuah tablet apabila diperlukan. Rekaan 2 dalam 1 masih lagi popular tetapi sebagai salah seorang pemilik komputer riba dengan rekaan ini, kami menyedari terdapat masalah audio apabila ia digunakan dalam mod tablet. Pembesar suara pada bahagian bawah komputer riba terhalang dan sekaligus mengurangkan kelantangan audio.

Lenovo Yoga C930 mempunyai jalan penyelesaian yang kreatif kepada masalah ini. Ia mempunyai sebuah soundbar terbina pada engsel skrin dan ia berputar 360 untuk memastikan audio sentiasa menghala ke hadapan. Pembesar suara yang digunakan juga yang pertama direka dengan kerjasama Dolby dan tidak mengejutkan turut menyokong sistem audio Dolby Atmos.

Secara keseluruhan Yoga C930 mempunyai dua pembesar suara di alam soundbar dan dua subwoofer pada bahagian bawah. Kekuatan keempat-empat pembesar suara ini akan berubah mengikut kedudukan skrin dan berputar mengikut orientasi skrin.

Komputer riba ini dilengkapi skrin 13.9″ IPS LCD UHD yang boleh memaparkan kandungan HDR Dolby Vision. Tiada maklumat mengenai pemproses, RAM dan storan buat masa ini. Seperti beberapa komputer riba lain yang dilancarkan Lenovo hari ini, Yoga C930 mempunyai sokongan stylus. Ia walau bagaimanapun mempunyai tempat simpanan khas pada bahagian belakang peranti. Kamera web boleh ditutup menggunakan sistem TrueBlock Privacy Shutter. Penutup fizikal plastik ini sama seperti yang sistem Think Shutter yang digunakan pada siri ThinkPad sebelum ini.

Lenovo Yoga C930 akan memasuki pasaran pada bulan September pada harga Euro 1499 (~RM 7202) sebuah dengan pilihan warna hitam dan perak.


TIPS & ULASAN