Selepas beberapa bulan rekaannya tertiris, Motorola One dan One Power kini akhirnya diumumkan secara rasmi di IFA. Kedua-duanya adalah Motorola P30 yang dijenamakan semula untuk pasaran dunia. Dari segi spesifikasi, kedua-duanya juga adalah peranti kelas pertengahan.
Kita mulakan dengan Motorola One Power yang dilengkapi skrin 6.18″ IPS LCD FHD+. dijana pemproses Snapdragon 636, memori sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB dengan sokongan mikroSD sehingga 256GB. Kamera peranti sebesar 16+5 Megapixel dan kamera swafoto pula sebesar 8-Megapixel. Bateri yang disertakan pula sebesar 5000 mAh yang mampu bertahan sehingga dua hari. Ini adalah makna disebalik nama Power yang digunakan pada peranti ini. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan pengimbas cap jari terbina pada bahagian logo.
Motorola One Pula dilengkapi skrin 5.9″ IPS LCD HD+, dijana pemproses Snapdragon 625, memori sebesar 4GB RAM dan storan 64GB RAM. Kamera utama sebesar 13+2 Megapixel manakala kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel. Tidak seperti One Power, Motorola One hanya dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Panel belakang peranti diperbuat daripada kaca dengan pengimbas cap jari terbina pada logo.
Kedua-dua peranti menggunakan sistem operasi Android 8.1 One dan menyokong pegecasan pantas Turbo Power menerusi port USB-C. Buat masa ini Motorola One akan dilancarkan secara global tetapi One Power adalah eksklusif untuk pasaran India.