Apple melalui pelbagai bahan promosi sering mengetengahkan iPhone sebagai salah satu peranti yang boleh merakamkan gambar pada kualiti yang tinggi seumpama kamera digital lain. Terkini, dalam mendemonstrasikan keupayaan iPhone X, pihak Apple bekerjasama dengan empat jurugambar tempatan untuk menggunakan iPhone X dalam merakamkan pelbagai detik-detik menarik sambutan Merdeka di Malaysia pada 31 Ogos 2018 lepas.
Empat jurugambar yang merakamkan gambar-gambar ini adalah Ahady Rezan, Jason Goh, Khairul Amin, dan juga Shaz Sharif. Gambar yang dirakamkan ini dilihat disunting terus pada iPhone X menggunakan penyunting terbina, ataupun menggunakan aplikasi pihak ketiga – seperti VSCO.
Seperti biasa, Apple memperlihatkan keupayaan rakaman gambar yang cantik menggunakan iPhone X – tidak kira ketika hari cerah ataupun gelap. Apple juga turut dilihat memfokuskan kepada penawaran rakaman potrait menggunakan iPhone X – sekaligus memperlihatkan keupayaan iPhone X yang mampu gantikan kamera digital pengguna pada hari ini.