Carian
Ulasan: TicWatch Pro – Jam Tangan Wear OS Dengan Dwi-Skrin
September 3, 2018 Fahim Zahar

Mobvoi adalah syarikat yang disokong oleh Google. Mereka adalah pengeluar jam tangan pintar Wear OS dan turut mempunyai sistem operasi tersendiri TicOS. Antara jam tangan pintar mereka yang popular adalah TicWatch E dan S, iaitu jam tangan pintar Wear OS yang ditawarkan pada harga yang sangat mampu milik.

Kini, untuk model ketiga jam tangan pintar mereka yang menjalankan Wear OS – mereka perkenalkan TicWatch Pro. TicWatch Pro adalah seutas jam tangan pintar Wear OS dengan dwi-skrin dan turut mempunyai ketahanan bateri tiga hingga lima hari atau juga boleh mencecah sehingga sebulan. Untuk mengetahui lebih lanjut, ini adalah artikel ulasan TicWatch Pro.

Spesifikasi

TicWatch Pro
Skrin 1.39” AMOLED 400 x 400 + Paparan FSTN
Pemproses Snapdragom Wear 2100
Memori 512MB RAM + 1GB Storan
Sistem Operasi Wear OS
Perlindungan Kalis Air & Debu IP68
Bateri 415mAh
Sensor Accelerometer, Gyro, Magnetic Sensor,
PPG Heart Rate sensor, Ambient Light
Sensor, Low Latency Off-Body Sensor
Lain-Lain NFC Untuk Pembayaran & GPS
Pengecasan Sambungan Magnetik Pada Dermaga Khas
Lain-lain 802.11ac + BT4.2 + Dual Band 2.4 & 5 + RJ-45
Ketahanan Bateri 3-5 Hari Mod Pintar + 30 Hari Mod Skrin Kedua
Harga $249.99 (Peniaga Tempatan Tawar Pada RM1399)

Jam tangan TicWatch Pro ini menggunakan dwi-skrin. Skrin utama adalah AMOLED 1.39-inci dengan resolusi 400×400. Manakala skrin kedua adalah skrin LCD FTSN, di mana ia adalah seakan satu skrin jam digital klasik.

Ia dijana oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 2100, memori sebesar 512MB RAM dan storan 1GB. Bateri pula, pihak Mobvoi memuatkan 415mAh bateri yang dikatakan mampu tahan 3-5 hari dalam mod pintar dan sehingga 30 hari jika hanya menggunakan skrin LCD FTSN. TicWatch Pro turut mempunyai sokongan NFC serta perlindungan dari air dan debu dengan pensijilan tahap IP68.

 

Reka Bentuk

Rekabentuk jam ini boleh dikatakan menggunakan rekaan yang premium. Kerangka utama jam ini diperbuat daripada gentian karbon yang diperkuat dengan nilon untuk kekuatan yang lebih tinggi. Pada bahagian skrin pula, bingkainya adalah daripada besi.

Tali jamnya pula adalah jenis hibrid. Ia menggabungkan penggunaan kulit dan silikon. Kulit yang digunakan adalah Itali tulen. Lapisan kulit ini pula dijahit dengan lapisan silikon yang mesra kulit. Ia membenarkan pergelangan tangan pengguna rasa selesa dan kulit mudah bernafas.

 

Skrin

Pada bahagian skrin, warna panel AMOLEDnya sangat terang dan jelas apabila digunakan dibawah sinaran cahaya matahari yang terik. Sensor ambient turut membantuk untuk mod kecerahan automatik. Skrin kedua LCD FTSN pula, hanya terang untuk kegunaan di luar – tetapi apabila di kawasan yang kurang cahaya atau gelap, skrinnya sukar untuk dilihat.

Di sini jelas sekali, mod skrin kedua memfokuskan untuk penggunaan kecemasan seperti ketika bateri lemah atau untuk kegunaan di luar. Skrin kedua ini akan diaktifkan secara automatik. Di mana ia akan bertukar-tukar dari mod AMOLED ke mod LCD FTSN. Mod LCD FTSN hanya memaparkan jam, tarikh, jumlah tapak serta nadi pengguna sahaja.

 

Ciri-Ciri

Jam ini turut mempunyai dua butang fizikal. Butang bahagian atas adalah butang skrin utama atau back. Butang kedua berfungsi sebagai butang kuasa dan juga sebagai butang melancarkan aplikasi lain. Butang kedua turut boleh ditetapkan untuk mengakses mod Essential. Mod Essential adalah mod yang hanya menggunakan skrin LCD FTSN. Butang bahagian atas tadi juga berfungsi sebagai pelancar pembantu digital Google Assistant.

Ciri-ciri lain adalah ciri dan fungsi asas sesebuah jam tangan pintar Wear OS. Di mana pengguna bebas memuat turun pelbagai aplikasi dan muka jam. Jam ini turut mempunyai pengimbas nadi dan GPS yang boleh dikatakan cukup jitu.

Pengalaman Pengguna Dan Bateri

Seperti yang dikatakan tadi, jam ini adalah jam tangan pintar Wear OS. Jadi, pengalaman keseluruhan adalah hampir sama dengan mana-mana jam Wear OS. Menjadikan TicWatch Pro ini menarik adalah skrin keduanya. Kebiasaan jam tangan pintar Wear OS, apabila tidak digunakan dalam sesuatu jangka masa – mod Always On Display akan aktif. Pengguna turut boleh mematikan untuk menjimatkan kuasa.

Dengan kehadiran skrin kedua LCD FTSN, tetapan asas adalah mod Always On Display dimatikan – sebaliknya mod Essential adalah pengganti Always On Display. Dengan mod Essential, menurut Mobvoi TicWatch Pro boleh bertahan selama tiga hingga lima hari. Di mana skrin bertukar-tukar dari AMOLED ke LCD FTSN. Manakala, jika hanya menggunakan mod Essentialbateri boleh bertahan sehingga 30 hari.

Dari pengalaman penggunaan yang serius, seperti mengaktifkan pelbagai notifikasi dan menggunakan muka jam yang banyak animasi – bateri boleh bertahan sehingga 2 hari penuh. Ketika bateri capai 5%, penukaran ke mod Essential boleh tahan sehingga lebih satu minggu. Secara teori, kenyataan menggunakan skrin LCD FTSN sahaja memang bateri boleh tahan sehingga 30 hari.

Dari segi prestasi, penggunaan harian adalah sangat lancar. Tetapi disebabkan mod Essential ini menukar dari satu skrin ke skrin yang lain, sedikit sela masa boleh terasa.

Apabila bateri TicWatch Pro habis, ia perlu dicas dengan dermaga khas melalui sambungan magnetik.

 

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, TicWatch Pro adalah jam tangan Wear OS pertama yang mampu bertahan sehingga 2 hari penuh. Rekaan yang premium dan hibrid ini amat sesuai dipakai pada pelbagai situasi baik makan malam mewah atau ketika bersukan. Walaupun TicWatch Pro ini sedikit tebal, ia masih selesa digunakan. Prestasi yang sangat lancar, pantas dan secara keseluruhan penggunaannya sangat menarik.

Pilihan muka jam yang sangat banyak buat saya gemar menggunakan TicWatch Pro ini. Walaupun jam ini mempunyai NFC, ia hanya menyokong pembayaran nirtunai Google Pay sahaja – di mana ia tidak boleh digunakan di Malaysia. Disebabkan bingkai jam ini tidak boleh putar seperti seutas jam tangan pintar Samsung seperti Gear Sport atau Galaxy Watch – banyak kawalan perlu menyentuh skrin yang menjadikan skrin sangat kotor dan penuh dengan cap jari.

Turut mengecewakan adalah dermaga pengecasnya masih menggunakan dermaga khusus bermagnetik dan tidak menggunakan pengecasan nirwayar berasaskan Qi seperti Galaxy Watch. Lain-lain adalah memuaskan dan boleh dikatakan TicWatch Pro adalah seutas jam tangan pintar Wear OS yang hampir sempurna.

PRO KONTRA
  • Sistem operasi Wear OS yang terkini.
  • Dwi-skrin yang unik.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
  • Rekaan yang premium.
  • Tali jam hibrid yang selesa.
  • Pengecas dermaga khusus masih digunakan.
  • Lengah masa apabila pertukaran skrin AMOLED ke LCD FTSN.
  • Rekaan yang sedikit tebal.
  • Skrin LCD FTSN hanya jelas ketika berada di luar.
  • Cip pemprosessan generasi lama.

Buat masa ini, siri TicWatch yang boleh didapatkan di Malaysia secara rasmi adalah TicWatch E dan TicWatch S. TicWatch Pro masih belum ditawarkan. Di laman Mobvoi, TicWatch Pro dijual pada harga $249.99 iaitu sekitar RM1032. Di Malaysia, terdapat beberapa peniaga menjual TicWatch Pro mencecah sehingga RM1399. TicWatch Pro boleh dipilih dalam dua warna, iaitu Shadow Black dan Liquid Metal Silver.

 

Komen