Tile – Jejaki Barang Anda Yang Tersalah Letak Dengan Mudah

Tile – Jejaki Barang Anda Yang Tersalah Letak Dengan Mudah

Diterbitkan pada Sep 18, 2018 oleh .

Alat penjejak peranti merupakan salah satu fungsi yang biasanya terdapat pada telefon pintar masa kini, namun ia hanya direka khusus untuk menjejak telefon pintar anda sahaja. Bagi anda yang inginkan alat penjejak untuk barang-barang anda yang lain, seperti penjejak dompet, beg laptop dan sebagainya, terdapat beberapa alternatif yang lain, dan salah satunya adalah alat penjejak Tile.

Rekabentuk

Alat penjejak peranti Tile ini hadir dalam dua variasi, iaitu versi Pro dan juga yang biasa – dimana masing-masing hadir dengan ciri-ciri khusus, termasuk dari segi ketahanan, penggunaan, rekaan, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, untuk ulasan kali ini, kami hanya akan berkongsi mengenai variasi berharga lebih rendah, iaitu Tile Slim.

Dari segi saiz, Tile Slim hadir dengan rekaan segi empat sama yang berukuran 54X54 mm. Dengan berat 9.3g dan ketebalannya yang senipis 2.4 mm, ia membolehkan anda untuk menyelitkannya pada mana-mana barang seperti dompet atau beg komputer riba.

Spesifikasi

Alat penjejak peranti ini hadir dengan spesifikasi yang sangat ringkas dan sesuai untuk kegunaannya. Tile Slim hadir dengan sokongan Bluetooth yang boleh digunakan pada jarak sehingga 100 kaki jauhnya. Alat pengesan ini menyokong sokongan kalis air sedalam 1 meter untuk 30 minit dan kalis debu. Ia menggunakan angka piawaian IP57.

Sokongan kalis air ini membolehkan anda untuk mengesan barang yang hilang walaupun ia terjatuh di dalam air, seperti sungai dan longkang. Jika dilihat secara terperinci, alat ini tidak dilitupi dengan sebarang material lain sekaligus menjadikan ketebalannya sangat nipis. Jadi, ia sangat mudah untuk diselitkan pada mana-mana barang tanpa perlu memikirkan keadaan fizikalnya apabila terjatuh di kawasan lasak dan berair.

Aplikasi Khusus Untuk Tile

Alat penjejak peranti ini hadir bersama aplikasi yang dibina khas untuk mengaktifkannya, dikenali sebagai Tile – Find Lost Keys & Phone. Pada pandangan kami, antaramuka untuk aplikasi ini dilihat kemas dan sangat mudah untuk difahami.

Halaman Utama  –  membolehkan anda melihat senarai peranti yang disambungkan bersama aplikasi ini

  • Share – membolehkan anda untuk berkongsi lokasi alat penjejak peranti kepada pengguna lain
  • Details –  boleh mengubah suai maklumat seperti menamakan dan meletakkan gambar mengikut kehendak anda, seperti dompet, telefon pintar, dan tas tangan.

Settings – Pada halaman ini juga terdapat butang tetapan di mana anda boleh membuat penetapan untuk alat penjejak peranti ini, seperti mengubah nama anda, mengubah kata laluan, jenis penyambungan, dan butang log keluar juga terletak pada bahagian tetapan ini.

Add New Device – membolehkan anda untuk menambah senarai alat penjejak peranti yang baru. Namun, anda tidak boleh menambah alat penjejak yang sudah disambungkan pada peranti lain.

Location – anda boleh melihat lokasi alat penjejak peranti pengguna lain dan juga telefon pintar yang disambungkan pada alat penjejak peranti ini

Notifications – membolehkan anda untuk melihat mesej dan notifikasi kehilangan peranti pengguna lain.

Bagaimana Untuk Mengaktifkan Alat Penjejak Peranti Tile

Tile beroperasi dengan berhubung secara Bluetooth kepada peranti pintar, dan memaparkan lokasi masa-nyatanya kepada anda. Tile juga boleh digunakan untuk mengeluarkan bunyi dan sebagainya untuk memudahkan anda menemui kembali barangan lain yang terpasang dengan Tile ini – sebagai contoh, dompet, kunci, beg tangan, sesuatu dokumen, dan sebagainya.

Untuk menggunakannya, anda terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi Tile – Find Lost Keys & Phone pada peranti Android atau iOS. Kemudian, anda perlu mendaftarkan diri dan log masuk pada akaun mereka sendiri. Setelah proses log masuk berjaya, aplikasi tersebut akan memberi arahan kepada anda untuk mengaktifkan sokongan Bluetooth dan akses lokasi anda, kemudian tekan pada butang Continue untuk ke antaramuka seterusnya, iaitu halaman utama aplikasi ini.

Untuk mengaktifkan alat penjejak peranti ini, anda perlu menekan pada butang tengahnya sehingga alat tersebut mengeluarkan bunyi lagu. Apabila alat tersebut telah mengeluarkan lagu, anda perlu meletakkan alat tersebut berdekatan dengan telefon pintar bagi menjayakan sambungan telefon pintar dengan alat penjejak peranti. Setelah selesai membuat penyambungan telefon pintar dengan aplikasi, anda kini sudah boleh menggunakan alat penjejak peranti ini.

Sekiranya Barang Anda Tersalah Letak, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Apa yang menarik pada alat penjejak peranti ini adalah, sistem komunikasi antaranya dan telefon pintar boleh dilakukan secara dua hala, dimana anda boleh mencari barang yang hilang menggunakan alat penjejak peranti, atau menggunakan aplikasi yang telah dimuat turun pada telefon pintar anda. Terdapat beberapa cara untuk mengesan barang anda yang hilang :

Jejak barang anda menggunakan aplikasi – anda hanya perlu memilih nama yang diberi pada alat tersebut dan tekan butang Find untuk menjejakinya. Alat tersebut akan mengeluarkan bunyi lagu apabila anda menekan butang Find pada aplikasi. Sekiranya barang yang hilang tersebut sudah dapat dijejak, tekan butang Done untuk menghentikan lagu daripada alat tersebut.

Jejak telefon pintar anda menggunakan Tile – sekiranya telefon pintar anda pula yang hilang, anda hanya perlu menekan butang pada alat penjejak ini dua kali sehingga telefon pintar anda berdering.

Jejak barang menggunakan aplikasi pengguna lain – anda juga boleh menjejak barang yang anda hilang sekiranya anda telah kongsikan lokasi alat penjejak kepada pengguna yang lain. Pengguna lain yang menerima perkongsian lokasi anda boleh melihat lokasi barang anda yang hilang tersebut.

Penutup

Tile ini sangat berkesan bagi anda yang seringkali terlupa keberadaan barang yang anda simpan. Alat ini sangat mudah untuk dibuat penetapan dan digunakan untuk membuat pencarian barang yang hilang. Tile ini hadir dengan 2 pilihan siri yang mana masing-masingnya mempunyai 2 rekaan berbeza, iaitu siri Pro (Tile Sport, Tile Style) dan siri biasa (Tile Mate, Tile Slim). Setiap rekaan dibina dengan kegunaannya yang tersendiri.

Bagi alat penjejak peranti siri Pro, Tile Sport dibina dengan rekaan yang sedikit tebal dan tahan lasak. Manakala Tile Style pula direka dengan kerangka yang premium yang menampakkanya sedikit mahal. Kedua-dua alat penjejak peranti bagi siri Pro ini mempunyai lubang yang membolehkan anda untuk gantung pada barang peribadi serta boleh dibeli pada harga RM199.

Jika anda inginkan alat penjejak peranti pada harga yang lebih murah, Tile menawarkan alat ini pada rekaan yang sedikit ringkas dan spesifikasi yang sedikit rendah berbanding siri Pro. Bagi Tile Mate, ia mempunyai lubang untuk menggantung barangan manakala Tile Slim tidak mempunyai lubang tersebut. Kedua-duanya dijual pada harga RM119 di pasaran Malaysia. Sekiranya anda ingin alat penjejak yang memudahkan anda untuk mencari barang yang hilang, Tile adalah satu solusi untuk masalah ini.

Jadi, sekiranya anda berminat untuk mendapatkan alat penjejak peranti Tile ini, layari laman rasmi Axtro dan masukkan kod promosi AMANZXTILE untuk mendapatkan potongan harga sebanyak 15%. Promosi ini akan berlangsung sehingga 31 Oktober ini sahaja.

Beli : Alat Penjejak Peranti Tile


TIPS & ULASAN