Pandang Pertama: Acer Predator Thronos – Kubu Gaming Lain Dari Yang Lain

Pandang Pertama: Acer Predator Thronos – Kubu Gaming Lain Dari Yang Lain

Diterbitkan pada Sep 5, 2018 oleh .

Konsep kerusi gaming bukanlah sesuatu yang baru, malah terdapat pelbagai jenama yang boleh anda pilih berdasarkan kemampuan anda, akan tetapi rekaan kebanyakan kerusi-kerusi ini tidak begitu berbeza dari satu sama lain.

Malah, Acer juga turut hadir dengan kerusi gaming mereka sendiri, akan tetapi ia hanyalah penjenamaan semula daripada jenama kerusii gaming yang lain, dan ia tidaklah begitu unik.

Semua itu berubah di acara IFA 2018 di Berlin, dimana syarikat pembuat komputer dan perkakasan elektronik tersebut memperkenalkan kerusi gaming mereka yang dinamakan Acer Thronos, iaitu sebuah kubu gaming lain dari yang lain.

Kubu, Bukan Kerusi

Kerusi gaming biasanya hadir dengan rekaan yang cukup agresif yang menunjukkan keranggian seorang gamer, akan tetapi dari secara pokoknya, ia masih hanya sebuah kerusi yang tidak semestinya hadir dengan fungsi-fungsi yang dapat membantu seorang gamer.

Acer Predator Thronos adalah sebuah kerusi gaming yang boleh dikatakan lain daripada lain, kerana ia bukan sahaja menjanjikan kedudukan yang selesa, tetapi hadir dengan ciri-ciri yang menjadikannya sebuah kubu persendirian anda yang cukup mantap sekali.

Kerusi Acer Predator Thronos ini hadir dengan konsep rekaan seakan-akan konsep kokpit lumba kereta maya yang cukup terkenal di kalangan peminat permainan komputer lumba sebelum ini.

Cuma bezanya disini ialah kerusi yang digunakan untuk “kubu” ini bersaiz penuh, dan hadir dengan ciri-ciri yang sangat menarik, seperti sokongan lengan untuk tempat meletak papan kekunci dan tetikus, dan juga lengan VESA yang membolehkan pengguna memasang sebanyak tiga buah paparan skrin bersaiz 27 inci tanpa sebarang masalah.

Di bahagian sisi kerusi Thronos ini juga terdapat satu bahagian dimana anda boleh memuatkan komputer anda, dan menyambungkan kabel dan wayar seperti HDMI, DisplayPort, USB dan sebagainya. Di bahagian tepi kerusi ini juga hadir terusan dimana kabel-kabel ini boleh dialirkan untuk mengelakkan masalah kabel berbelit.

Apa yang membuatkan kerusi Predator Thronos ini lebih menarik ialah untuk memasuki dan keluar daripada kawasan kokpit ini ialah anda perlu menekan satu butang untuk membuka penghadang hadapan dan atas yang merumahkan kawasan tempat letak tetikus, papan kekunci dan paparan-paparan skrin.

Saya sempat mencuba kerusi Thronos ini untuk seketika, dan pengalaman bermain permainan komputer dengan kerusi ini memang benar-benar lain daripada yang lain.

 

Bahan yang digunakan sebagai kusyen cukup selesa sekali, tetapi apa yang membuatkan kerusi ini benar-benar lain daripada yang lain ialah kebolehannya untuk diubahsuai ke posisi yang sedikit seperti anda sedang berbaring, dan di sini, bahagian paparan juga akan digerakkan untuk diselarikan dengan pandangan anda.

Kerusi yang saya uji juga dilengkapi dengan tiga paparan, dan ini memberikan sebuah pengalaman gaming yang sangat mendalam. Acer menyatakan bahawa siri komputer Acer Predator Orion ialah komputer yang paling sesuai untuk digunakan bersama-sama dengan kerusi Predator Thronos ini, tetapi anda turut boleh menggunakannya dengan komputer anda sendiri.

Akan tetapi, satu kelemahan yang saya dapat lihat pada kerusi ini ialah ia tidak hadir dengan pembesar suara terbina di dalamnya. Anda perlu menggunakan pembesar suara anda sendiri, ataupun sambungkan sebuah fon kepala kepada komputer anda untuk sambungan audio.

Buat masa ini, pihak Acer masih belum mengumumkan lagi bilakah kerusi Acer Predator Thronos ini akan dilancarkan untuk pasaran dunia. Kerusi atau kubu Acer Predator Thronos ini ialah sebuah aksesori yang kami pasti akan hadir pada tanda harga yang sama, ataupun lebih mahal daripada kebanyakan komputer di luar sana pada hari ini.


TIPS & ULASAN