Google Ingin Menggantikan Penggunaan URL

Google Ingin Menggantikan Penggunaan URL

Diterbitkan pada Sep 5, 2018 oleh .

URL atau Pelokasi Sumber Seragam merupakan salah satu teknologi web yang telah digunakan sekian lama, dimana ia memberikan setiap halaman web sebuah alamat yang unik dan berbeza. Terkini, bersempena dengan ulang-tahun ke-10 Google Chrome, pihak Google turut berkongsi perancangan untuk menggantikan penggunaan dan kaedah seseorang berinteraksi dengan URL.

Walaubagaimanapun, bagaimanakah kaedah baru masih tidak diketahui lagi. Seperti biasa, proses menggantikannya mungkin sangat sukar dan akan mengambil masa supaya pengguna umum dapat mengadaptasi dengannya.

Mungkin langkah yang ingin diambil oleh Google ini juga selari dengan perkembangan penggunaan peranti mudah-alih – yang membuatkan pengguna jarang melihat kepada URL yang dibuka daripada media sosial atau perkhidmatan permesejan.

Malah, Google sendiri kini lebih memfokuskan penggunaan terma mesra pengguna pada pelayar web mereka. Sebagai contoh, mereka menggunakan terma “Secure” untuk laman dengan HTTPS, dan “Not Secure” untuk laman tanpa HTTPS. Google juga pernah bereksperimen dengan hanya memaparkan domain sesuatu laman sahaja dan menyembunyikan URL penuh – namun perkara berkenaan tidak digemari pengguna, dan Google mengembalikan paparan URL penuh pada Chrome.

Dengan era internet yang semakin berkembang pesat ini, sama-sama kita nantikan apakah penyelesaian yang ingin dibawakan oleh Google untuk menggantikan URL ini.


TIPS & ULASAN