Carian
Canon EOS R Dilancarkan Dengan Sensor Bingkai Penuh Nircermin 30.3 Megapixel
September 6, 2018 Effi Saharudin

Kamera DSLR kini digantikan dengan kamera nircermin yang tidak mempunyai mekanisme yang mungkin rosak selepas beberapa ribu gambar diambil. Ia juga mengecilkan saiz kamera dan ini juga menjurus kepada pengurangan berat. Bagi peminat fotografi profesional, ini adalah dua kelebihan sistem nircermin. Canon telah melancarkan kamera nircermin bingkai penuh EOS R mereka semalam.

Canon EOS R dilengkapi sensor bingkai penuh 30.3-Megapixel dengan kemampuan merakam 8 keping gambar sesaat dan video 4K 30FPS. Ia turut menggunakan cagak baru R-Mount yang meletakkan lensa lebih hampir kepada sensor kamera. Lensa  EF, EF-S, TS-E dan MP-E boleh digunakan pada EOS R menggunakan penyesuai yang dijual. Sistem Dual-Pixel kamera ini membolehkan objek difokus dalam masa 0.05 saat. Menurut Canon ini ialah kamera dengan sistem pemfokusan terpantas di dunia sekarang.

Viewfinder EOS R menggunakan skrin OLED dengan 3.69 juta titik manakala sebuah skrin sesentuh LCD 3.15″ diletakkan pada panel belakang. Terdapat satu slot untuk kad  UHS-II SD, sokongan bluetooth, WiFi dan pengecasan menggunakan USB-C.

Canon EOS R akan mula dipasarkan pada bulan Oktober dengan harga $2299 (~RM 9548) tanpa lensa dan $3399 (~RM 14116) dengan lensa RF 24-105mm F4 L IS USM.

Komen