DJI Mavic 2 Pro & Mavic 2 Zoom Akan Dijual Akhir September – Harga Bermula RM5,699

DJI Mavic 2 Pro & Mavic 2 Zoom Akan Dijual Akhir September – Harga Bermula RM5,699

Diterbitkan pada Sep 6, 2018 oleh .

Baru sahaja bulan lepas DJI telah mengumumkan dron terbaru mereka iaitu Mavic 2 Pro dan juga Mavic 2 Zoom. Pada hari ini menerusi pengedar tempatan ECS ASTAR mengumumkan penjualan kedua-dua ahli baru Mavic ini di pasaran tempatan.

Kedua-dua siri ini masih mengekalkan ciri unik pada Mavic, iaitu dron kompak yang boleh dilipat. Selain itu kedua-dua versi ini boleh merakam video 4K, menyokong lebih banyak fungsi seperti arahan penerbangan yang membolehkan pengguna merakam video timelapse, dan mempunyai 10 sensor disekeliling badan dron ini bagi memastikan penerbangan yang lancar dan boleh mengelak sebarang halangan. Rekaan yang terkini pula membolehkan dron ini diterbangkan sehingga 31 minit lamanya.

DJI Mavic 2 Pro merupakan penawaran spesifikasi tinggi dalam siri Mavic 2, membawakan kamera yang turut dibangunkan dengan kerjasama Hasselblad, salah satu gergasi dunia pengimejan. Kamera dengan sensor CMOS 1-inci dan 10-bit Dlog-M color profile ini boleh merakam gambar yang mempunyai 4x lebih perincian berbanding Mavic pro sebelum ini. Ia turut hadir dengan teknologi Hasselblad Natural Color Solution membolehkan warna yang dirakam lebih tepat, malah menyokong rakaman 4K 10-bit HDR serta aperture f/2.8-f/11.

DJI Mavic 2 Zoom pula disasarkan untuk pengguna umum, dan kali ini mempunyai fungsi zoom optikal 28-48mm, membolehkan pengguna merakam video dengan lebih dekat meskipun dron sedang terbang. Ia juga turut dilengkapi fungsi digital zoom 2x, membolehkan rakaman video yang dilakukan seolah-olah sedang menggunakan lensa telefoto 96mm. Berbanding dengan Mavic Pro sebelum ini, Mavic 2 Zoom turut membawakan pemfokusan 40% lebih pantas.

DJI Mavic 2 Pro akan dijual pada harga RM 6,599 termasuk SST dan ia didatangkan dengan dron, bateri, pengecas bateri, alat kawalan jauh, dan juga empat pasang kipas. Bagi DJI Mavic 2 Zoom, ia akan dijual pada harga RM 5,699 termasuk SST dan juga membawakan bateri, pengecas bateri, alat kawalan jauh dan juga empat pasang kipas. Terdapat juga kit tambahan Fly More, yang menyertakan dua bateri tambahan, pengecas bateri berangkai, pengecas bateri dron yang boleh digunakan dalam kereta, dua pasang kipas dan juga beg khusus untuk kesemua ini pada harga RM 1,399.

Kedua-dua dron ini akan dijual di kesemua pengedar sah DJI dan juga ECS Astar dan anda turut boleh membelinya di Lazada.


TIPS & ULASAN