Penjejak kesihatan Honor Band 4 dan Band 4 Running Edition telah dilancarkan semalam serentak dengan Honor 8X. Honor Band 4 dilengkapi skrin AMOLED 0.95-inci dan dilengkapi bateri 100 mAh yang boleh bertahan sehingga 14 hari dengan sekali caj.
Terdapat pengimbas nadi, giroskop dan penjejak tidur. Ia turut mempunyai ketahanan kalis air sehingga 50 meter yang membolehkannya digunakan untuk aktiviti renang. Dengan sokongan NFC dan AliPay, penjejak kesihatan ini membolehkan pengguna melakukan pembelian nirturnai. Fungsi lain yang disertakan ialah mod jam randik, alat kawalan jauh kamera dan penggera.
Honor Band 4 Running Edition pula mempunyai skrin lebih kecil 0.5-inci AMOLED tetapi tidak dilengkapi pengimbas nadi. Ini adalah kerana ia direka untuk dipakai pada bahagian kasut.
Kedua-duanya akan mula dijual pada 20 September pada harga RMB 199 (~RM 121) untuk Honor Band 4 dan RMB 99 (~RM 60) untuk Honor Band 4 Running Edition.