Jika anda tidak tahu, Google kerap memberi mata kepada pengguna jika menyumbang sesuatu kepada mereka. Contohnya di dalam Google Maps, pengguna boleh menerima mata jika menjawab soal kaji selidik atau membuat cadangan. Kini, konsep yang lebih kurang sama akan hadir ke Google Play Store.
Google Play Points adalah program yang memberi ganjaran kepada pengguna. Menurut ahli XDA, mereka menemui barisan kod yang menyatakan setiap perbelanjaan $1 (~RM4.15) di Google Play Store – pengguna akan menerima satu mata ganjaran. Nilai perbelanjaan ini adalah berbeza mengikut negara masing-masing.
Selain itu, ahli XDA turut menemui ‘Level Benefits‘ iaitu tahap faedah buat pengguna. Terdapat lima tahap yang pengguna boleh capai, iaitu gangsa, perak, emas, platinum dan berlian. Walau bagaimanapun, dalam barisan kod tersebut ia tidak menyatakan bagaimana pengguna boleh capai ke tahap ini.
Akan tetapi, ini hanyalah barisan kod yang ditemui di dalam .APK terkini Google Play Store. Google mungkin hanya mengujinya sahaja dan ia mungkin tidak akan hadir secara rasmi. Jika ia hadir, ini adalah sesuatu yang menarik. Kerana, zaman sekarang sudah ramai gemar membuat pembelian aplikasi dan ini masanya Google memberi ganjaran kepada mereka yang kerap berbelanja.