Roomba telah menghasilkan robot pembersih hampagas sejak 2002. Robot ini boleh membersihkan lantai rumah secara automatik tetapi akan berhenti beroperasi selepas kebuk kotoran penuh. Ini masih memerlukan campur tangan pemilik untuk mengosongkannya. Mereka telah menyelesaikan masalah ini dengan model terkini Roomba i7+.
Robot pembersih hampagas ini mempunyai rupa yang sama seperti model terdahulu cuma kini mempunyai sistem pengosongan kebuk automatik. Apabila ia mengesan kebuk sudah penuh, Roomba i7+ akan kembali ke dok simpanan dan mengosongkannya ke dalam kebuk simpanan sekunder. Kebuk ini mempunyai ruang yang cukup untuk 30 kali proses pengosongan dari Roomba i7+.
Proses pembersihan lantai kemudian boleh berterusan sehinggalah kebuk simpanan sekunder ini pula penuh yang masih memerlukan campur tangan manusia. Pengguna akan diberikan notifikasi menerusi aplikasi telefon pintar apabila ini berlaku.
Ia juga boleh menerima arahan suara dengan sokongan Google Assistant dan Alexa. Kerana kemampuannya mengingati pelan lantai rumah, ia boleh diarahkan untuk membersihkan bilik tertentu dengan memberikan arahan suara. Sebuah Roomba i7+ dengan kebuk simpanan sekunder dijual pada harga $949 (~RM 3933) bermula bulan Oktober.