Carian
Xiaomi Menjanjikan Peranti Mercu Mereka Tidak Akan Dijual Lebih $699 (~RM2900)
September 7, 2018 Fahim Zahar

Xiaomi cukup terkenal dengan menjual telefon pintar mereka pada harga mampu milik. Lebih-lebih lagi yang terkini, Pocophone F1 dijual pada harga yang sangat mampu milik dan ia hadir dengan spesifikasi seakan sebuah peranti mercu. Dengan tenangnya, mereka langsung tidak menggelar peranti tersebut sebagai ‘flagship killer‘.

Di pasaran, banyak peranti mercu yang sudah dijual pada harga hampir RM4000 atau ada syarikat yang menjual peranti yang sudah berumur satu tahun lebih RM5000. Xiaomi mengatakan mereka tidak akan mengikut jejak langkah syarikat-syarikat ini dan menjanjikan, peranti mercu mereka tidak akan dijual lebih dari $699 (~RM2897).

Hal ini kerana, menurut Mahu Kumar – iaitu Pengarah Pengurusan Xiaomi India, tiada teknologi untuk telefon pintar yang boleh dimasukkan ke dalam peranti Xiaomi mencecah harga lebih RM2897. Jika Xiaomi boleh melakukan sedemikian, ini bermakna syarikat lain menjana keuntungan yang berlebihan. Jika pembaca tidak tahu, keuntungan telefon pintar Xiaomi hanyalah 5% daripada harga kos.

Ini mungkin akan membuat pengguna berasa seronok dan menjimatkan. Perkara negatif di sini hanyalah terkesan kepada para peniaga kerana, apa yang Xiaomi lakukan ini adalah untuk kebaikan pengguna sahaja dan tidak kepada peniaga. Percaya atau tidak, sumber kami mengatakan kentungan sebuah Xiaomi Mi A2 yang dijual pada harga RM1199 hanya RM50 sahaja.

Persoalannya, jika Xiaomi boleh kenapa syarikat lain tidak? Apakah pendapat para pembaca Amanz, adakah perkara yang Xiaomi lakukan ini bagus atau di sebaliknya?

 

Sumber: Phonearena, melalui WCCFTech

Komen