Salah satu aspek yang banyak dititikberatkan ketika memilih peranti adalah dari segi jumlah RAM yang didatangkan, bagi membolehkan peranti memberi kelancaran yang memuaskan. Penggunaan RAM besar dapat memberi ruang kepada aplikasi untuk terus berjalan dengan lancar, walaupun terdapat banyak aplikasi dijalankan di belakang tabir. Sekiranya anda gemar membuka tab yang banyak pada aplikasi Google Chrome, RAM yang besar dapat mengelakkan tab-tab ini dikemaskini semula apabila anda mengakses tab ini kembali.
Telefon dengan penggunaan RAM yang besar sudah pun boleh didapati pada harga berpatutan atas harga perkakasan yang semakin murah dari hari ke hari. Menariknya pada tahun ini, kita sudah menyaksikan beberapa peranti yang mempunyai RAM yang besar tanpa memerlukan anda berbelanja lebih berbanding tahun-tahun sebelum ini. Untuk itu, kami menyenaraikan beberapa peranti dengan 6GB RAM yang anda boleh dapat di bawah harga RM1500.
05
ZTE Nubia Z17 Lite
ZTE Nubia Z17 Lite antara peranti dengan harga terendah yang anda boleh dapat di dalam senarai ini. Ia menyajikan rekaan berasaskan logam yang elegan melalui dua pilihan warna menarik seperti hitam dan biru. Ia turut didatangkan dengan skrin 5.5-inci, penggunaan cip Snapdragon 653, sokongan dwi-kamera, bateri berkapasiti 3200 mAh, bersama sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0.
Cuma kekurangan pada peranti ini, ia tidak didatangkan dengan rekaan skrin penuh selain menggunakan nisbah lama 16:9. Ia juga tidak menawarkan sokongan kad mikroSD, sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada storan dalaman peranti ini.
Spesifikasi:
- 5.5” IPS LCD FHD 16:9
- Qualcomm Snapdragon 653
- 4 x Cortex-A72 1.95 GHz, 4 x Cortex-A53 1.4 GHz
- 6GB RAM / 64GB
- 13MP f/2.2 + 2MP / 16MP f/2.0
- Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
- 3200 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
- Android 7.1 / nubia UI 5.0
Harga: RM899 (6GB RAM + 64GB)
04
ASUS ZenFone Max Pro (M1)
ASUS ZenFone Max Pro (M1) direka bagi yang mengutamakan aspek prestasi yang pantas bersama ketahanan bateri yang lama. Menarik mengenai peranti ini, ia menawarkan antaramuka Android asli, hadir dengan rekaan skrin penuh pada saiz 6-inci, dan membawakan penggunaan cip Qualcomm Snapragon 636. Ia turut menyertakan sokongan dwi-kamera, kamera hadapan 16MP, dan membawakan kapasiti bateri tertinggi dalam senarai ini iaitu 5000 mAh.
Cuma perkara yang menjadi kekurangan pada peranti ini, ia tidak menampilkan sokongan WiFi dual-band untuk membolehkan peranti di sambungan kepada WiFi 2.4 GHz atau WiFi 5 GHz. Selain itu, ia juga masih menggunakan sambungan mikroUSB walaupun banyak peranti sudah mula beralih kepada sambungan USB-C.
Spesifikasi:
- 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
- Qualcomm Snapdragon 636
- 8 x Kryo 260 1.8 GHz
- 6GB RAM / 64GB + microSD
- 16MP f/2.0 + 5MP f/2.4 / 16MP
- Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
- 5000 mAh, micro-USB, pengecasan 10W
- Android 8.1 / Android asli
Harga: RM999 (6GB RAM + 64GB)
03
Xiaomi Mi A2
Xiaomi Mi A2 meneruskan legasi Mi A1 dengan penawaran program Android One bersama sokongan dwi-kamera yang ditambahbaik. Spesifikasinya kini ditingkatkan kepada cip kelas pertengahan premium Snapdragon 660, mempunyai storan 128GB, dan hadir dengan sokongan dwi-kamera yang lebih ditambahbaik untuk penggambaran malam. Ia juga kini menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 untuk mengurangkan masa pengecasan peranti ini.
Cuma kekurangan pada peranti ini, ia tidak membawakan sambungan bicu audio 3.5mm sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada penyesuai USB-C ke 3.5mm. Ia tidak didatangkan dengan slot kad mikoSD dan menawarkan kapasiti bateri kecil berbanding pesaingnya.
Spesifikasi:
- 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
- Qualcomm Snapdragon 660
- 4 x Kryo 260 2.2 GHz, 4 x Kryo 260 1.8 GHz
- 6GB RAM / 128GB
- 12MP f/1.75 + 20MP f/1.75 / 20MP
- Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
- 3000 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
- Android 8.1 / Android One
Harga: RM1199 (6GB RAM + 128GB)
02
OPPO F9
OPPO F9 menawarkan pembaharuan yang menarik berbanding OPPO F7 sebelum ini seperti rekaan yang lebih menawan bersama sistem pengecasan pantas. Menariknya pada peranti ini, ia hadir dengan skrin penuh dengan takuk seumpama titisan air, dijana dengan cip kelas pertengahan premium Helio P60, membawakan kamera hadapan 25MP, dan menyokong pengecasan VOOC iaitu sistem pengecasan terpantas di dalam senarai ini.
Cuma apa yang mengisi kekurangan pada peranti ini, binaannya hanya didatangkan dalam binaan plastik jika dibandingkan dengan pesaingnya yang sudah menggunakan binaan logam dan kaca. Peranti ini juga masih menggunakan sambungan mikroUSB, yang mana sepatutnya sudah digantikan dengan sambungan berasaskan USB-C.
Spesifikasi:
- 6.3” LTPS LCD FHD+ 19.5:9
- MediaTek Helio P60
- 4 x Cortex-A73 2.0 GHz, 4 x Cortex-A53 2.0 GHz
- 6GB RAM / 64GB + microSD
- 16MP f/1.8 + 2MP f/2.4 / 25MP
- Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
- 3500 mAh, microUSB, VOOC 20W
- Android 8.1 / ColorOS 5.2
Harga: RM1399 (6GB RAM + 64GB)
01
Pocophone F1
Pocophone F1 berjaya menarik perhatian ramai atas penggunaan cip Snapdragon 845 melalui harga jualan peranti yang sangat berpatutan. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan sokongan imbasan wajah inframerah, mempunyai pembesar suara stereo, dan menawarkan kapasiti bateri 4000 mAh bersama sistem pengecasan pantas Quick Charge 3.0.
Cuma kekurangan pada peranti ini, binaan belakangnya tidak semenarik pesaingnya, namun boleh diatasi dengan pemasangan aksesori perlindung tambahan pada peranti ini.
Spesifikasi:
- 6.18” IPS LCD FHD+ 18.7:9
- Qualcomm Snapdragon 845
- 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz, 4 x Kryo 385 Silver 1.8 GHz
- 6GB RAM / 64GB + mikroSD
- 12MP f/1.9 + 5MP f/2.0 / 20MP
- Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
- 4000 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
- Android 8.1 / MIUI 9.6 for POCO
Harga: RM1299 (6GB RAM + 64GB)
Jadi itulah peranti dengan memori 6GB RAM yang anda boleh dapati di bawah RM1500. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.