Cari @ Amanz

ASUS ZenFone 5Z
Skrin 6.2” IPS LCD
2246 x 1080, 402 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kryo 385 Gold 2.7 GHz
4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 6GB / 8GB RAM
Storan 128GB / 256GB,
mikroSD sehingga 2TB
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 8MP f/2.0, 4K@60fps
Kamera Hadapan 8MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM / mikroSD
Sistem Android 8.1 Oreo + ZenUI 5.0
Bateri 3300 mAh
Dimensi 153 x 75.7 x 7.9 mm
Berat & Ketebalan 155g, 7.9mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

ASUS ZenFone 5 telah berjaya mencuri perhatian orang ramai ketika ia diperlihatkan pada acara MWC 2018 yang lalu. Ia menyajikan rekaan yang menarik seperti binaan berasaskan kaca dan menjadi antara yang terawal dalam mendatangkan rekaan takuk pada bahagian atas skrin. Selain daripada rekaan, spesifikasinya tidak kurang hebatnya, melalui penggunaan cip pemprosesan baru Snapdragon 636 bersama padanan memori 4GB RAM.

Bersama-sama dengan pelancaran peranti ZenFone 5 ini, ASUS turut mengumumkan ASUS ZenFone 5Z iaitu variasi yang lebih tinggi dalam siri ini. Ia menawarkan rekaan dan fungsi yang hampir sama seperti ASUS ZenFone 5, namun cip pemprosesan yang digunakan adalah daripada cip berkelas tinggi iaitu Snapdragon 845. Perkara yang berjaya mencuri perhatian sewaktu ia diumumkan adalah dari segi harganya, yang mana ketika itu disahkan akan dijual pada harga bermula bawah RM2000.

Kini, telefon berspesifikasi tinggi ASUS ini telah pun dijual di pasaran Malaysia pada harga bermula RM1899 (6GB RAM + 128GB), sekaligus membuatkannya salah satu peranti pada harga berpatutan yang dijana dengan cip Snapdragon 845. Apa yang menarik lagi, ASUS juga turut menjual variasi yang lebih tinggi — menerusi variasi 8GB RAM + 256GB — dengan harga jualan RM2299.

Namun dengan harga jualan yang berpatutan ini, bolehkah ASUS ZenFone 5Z memberikan penawaran peranti yang baik kepada pengguna?

Rekabentuk

ASUS ZenFone 5Z didatangkan dengan spesifikasi kelas tinggi seperti kehadiran skrin 6.2-inci pada resolusi FHD+ dengan nisbah 18.7:9, cip Snapdragon 845, pilihan memori 6GB atau 8GB RAM, dan pilihan storan dalaman 128GB atau 256GB UFS 2.1 bersama sokongan mikroSD. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3300 mAh.

Dari segi binaannya, ASUS ZenFone 5Z menawarkan rekaan berasaskan kaca seperti iterasi ZenFone 4 sebelum ini, bagi meningkatkan lagi rupa paras yang lebih premium dan elegan. Ia menyajikan kemasan “Zen” di bahagian belakang ini, dengan kilauan yang menarik apabila ia dipantulkan oleh cahaya. Memegang peranti ini agak sedikit licin, namun ASUS masih menawarkan aksesori perlindungan peranti silikon untuk meningkatkan cengkaman ketika memegang peranti ini.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dan butang pelarasan suara di bahagian kanan, sementara slot dwi-sim hibrid ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti tidak menampilkan sebarang sambungan seperti IR blaster, namun hadir dengan ruang untuk perletakkan mikrofon kedua. Di bahagian bawahnya membawakan sambungan bicu audio 3.5mm, USB-C, mikrofon utama, dan saluran pembesar suara berasaskan stereo.

Pada bahagian belakangnya pula, ia membawakan sistem dwi-kamera 12MP f/1.8 + 8MP f/2.0 secara menegak, seperti yang dilihat pada kebanyakan peranti selepas keluaran iPhone X. Di bahagian belakang ini turut hadir dengan pengimbas cap jari, dengan memberi tindak balas yang lancar untuk menyahkunci peranti. Ia juga hadir dengan fungsi imbasan wajah, namun anda perlu menyeret paparan skrin kunci ke atas selepas imbasan wajah berjaya disahkan.

Pada bahagian hadapan, ASUS ZenFone 5Z membawakan rekaan bertakuk pada bahagian atas, bagi memberi laluan kepada perletakkan sensor, saluran pendengaran telinga, dan kamera hadapan. Ia boleh disorokkan, sekiranya anda kurang menggemari dengan rekaan takuk ini. Bercakap mengenai kualiti skrin, ia menyajikan paparan yang cukup terang, melalui pengesahan warna DCI-P3 sebanyak 95%. Apa yang menarik lagi, ia juga menyokong piawaian HDR, sekaligus membolehkan anda memainkan kandungan HDR seperti Youtube.

Dari segi variasi, ASUS ZenFone 5Z telah ditawarkan dalam dua variasi berbeza, menerusi variasi 6GB RAM + 128GB dan 8GB RAM + 256GB. Sekiranya storan yang besar ini masih tidak mencukupi buat anda (mungkin anda gemar merakam video 4K@60fps), anda boleh pertingkatkan storan dalaman ini melalui kad mikroSD sehingga 2TB. Dari segi pilihan warna, ASUS ZenFone 5Z hadir dalam pilihan warna Midnight Blue dan Meteor Silver yang mana boleh dipilih ketika membuat pembelian peranti.

Sistem

ASUS ZenFone 5 telah dijana dengan antaramuka baru menerusi ZenUI 5.0, yang dijalankan bersama sistem operasi Android 8.0 Oreo. Antaramukanya telah dikemaskini dari segi ikonografi, yang kini tampil lebih ceria dan moden. Paparan skrin utamanya turut menampilkan talam aplikasi, berbanding antaramuka MIUI yang hanya membenarkan pengguna meletakkan kesemua aplikasi pada skrin utama sahaja. Anda juga boleh menggunakan pek ikon daripada pihak ketiga pada paparan utama ini, sekiranya anda kurang gemar dengan penampilan ikon sedia ada.

Seperti iterasi ZenUI sebelum ini, ia juga masih membolehkan pengguna menukar ke tema lain, melalui penggunaan aplikasi Themes yang dibekalkan. Anda juga boleh menggunakan fungsi Game Genie, iaitu fungsi yang memudahkan anda membuat rakaman skrin atau menstrim sesi permainan anda ke halaman seperti Youtube atau Twitch. Melalui ZenUI 5.0 ini juga, anda boleh menggunakan fungsi Zenimoji, dengan kebolehan untuk menggerakan animasi menarik mengikut pergerakan wajah anda.

ASUS juga menampilkan sejumlah fungsi AI di dalam ZenUI 5.0 pada kali ini, seperti OptiFlex iaitu fungsi yang dapat meningkatkan kelancaran ketika membuka aplikasi, dengan menyimpan memori sesuatu aplikasi yang dipilih menerusi penyimpanan di belakang tabir. AI Charging pula dapat meningkatkan hayat bateri peranti, dengan mempelajari rutin pengecasan pengguna. Selain, fungsi Smart Screen On dapat menahan cahaya skrin daripada dipadamkan melalui pengecaman wajah dan pergerakan anda ketika memegang peranti ini.

Prestasi

ASUS ZenFone 5Z dijana dengan cip berprestasi tinggi daripada Qualcomm, menerusi cip Snapdragon 845 bersama pilihan memori 6GB atau 8GB RAM. Cip ini direka dengan binaan cip lapan teras, dengan menampilkan 4 x Kryo 385 Gold 2.7 GHz (untuk teras berkuasa), 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz (untuk teras efisien), bersama padanan GPU Adreno 630. Apabila ia diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya mencatatkan mata sekitar 270,126, iaitu mata yang hampir setara dengan peranti seperti Xiaomi Mi 8 dan OnePlus 6.

Ketika diuji di dunia sebenar, cip ini sememangnya dapat memberi prestasi harian yang lancar, seperti penggunaan aplikasi media sosial, permesejan dan pelayaran web. Dari segi prestasi permainannya pula, anda boleh memainkan permainan intensif terkini dengan amat lancar, walaupun ditetapkan pada tetapan grafik tertinggi. Memainkan permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan dengan kadar bingkai yang konsisten, tanpa sebarang isu lengah masa. Pengeluran haba daripada peranti ini juga dilihat minima, sekaligus memberi pengalaman permainan yang selesa walaupun digunakan dalam jangka masa lama.

Kamera

ASUS ZenFone 5Z dijana dengan sistem dwi-kamera, melalui penggunaan sensor 12MP f/1.8, bersama sensor kedua 8MP f/2.0 untuk pengambaran bersudut lebar dan sokongan Portrait Mode. Ia juga hadir dengan pencahayaan LED dwi-tona warna untuk bantuan ketika penggambaran malam dan sistem penstabilan imej optikal (OIS) untuk mengurangkan kesan gegaran.

Untuk kegunaaan di dunia sebenar, keupayaan penggambarannya dilihat sangat baik untuk kegunaan harian, dengan memberi hasilan yang terang melalui penggunaan aperture sebesar f/1.8. Keperincian imejnya juga sering memberikan kualiti yang tajam, selain hasilannya juga mampu menawarkan kawalan exposure yang seimbang. Cuma warna dilihat sedikit kusam apabila dibandingkan peranti sekelasnya, yang mana agak sedikit jauh untuk memberi hasilan warna yang ke arah semula jadi.

Dengan sokongan kamera kedua, ia membolehkan pengguna mengambil gambar bersudut lebar, bagi membolehkan lebih banyak subjek dimuatkan ke dalam gambar. Kualitinya agak kurang tajam berbanding kamera utama, namun ia memudahkan anda mengambil gambar bersudut lebar tanpa memerlukan anda berganjak ke belakang dari sesuatu lokasi.

Untuk kamera hadapannya pula, kualitinya dilihat kurang memuaskan, dengan hasilan warna yang tidak begitu tepat. Ia juga sering memberi keperincian swafoto yang kurang memuaskan, dengan hasilan yang kurang tajam walaupun ia menerima pencahayaan yang mencukupi. Sekiranya anda mengutamakan aspek selfie, peranti sekelasnya seperti Pocophone F1 atau Xiaomi Mi 8 dapat memberi hasilan yang lebih tajam untuk kegunaan harian.

Untuk rakaman videonya pula, ia dilihat sangat memuaskan, dengan memberi hasilan yang terang walaupun anda menggunakannya pada waktu malam. Kualiti rakamannya juga dilihat stabil melalui bantuan OIS, walaupun anda mengambil rakaman pada resolusi setinggi 4K@60fps.

Bateri

ASUS ZenFone 5Z mempunyai kapasiti bateri standard seperti kebanyakan peranti mercu yang lain, melalui kapasiti bateri 3300 mAh. Ia dijangka dapat memberi masa penggunaan selama sehari dengan masa nyalaan skrin yang lama atas penggunaan CPU yang efisien.

Dengan kapasiti bateri 3300 mAh dan padanan cip 10nm ini, ASUS ZenFone 5Z dapat mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 17 minit. Peranti ini turut menawarkan sistem pengecasan pantas menerusi teknologi Quick Charge 3.0, dengan masa pengecasan sekitar 1 jam 37 minit dari kapasiti bateri 0 – 100%.

Rumusan

Secara keseluruhannya, ASUS ZenFone 5Z ini walaupun ditawarkan pada harga berpatutan, ia tidak membawakan kompromi yang besar malah memberikan nilai yang lebih hebat berbanding peranti pesaingnya. Ia hadir dengan rekaan yang premium, skrin dengan sokongan HDR, pembesar suara stereo, dan keupayaan kamera dengan penggambaran bersudut lebar. Bukan itu sahaja, ia juga mengekalkan slot kad mikroSD dan bicu audio 3.5mm, iaitu dua fungsi yang sudah mula dibuang pada kebanyakan peranti mercu hari ini.

Namun kekurangan yang dapat dilihat pada peranti ini, pembesar suara stereonya dilihat kurang memberi keperincian bunyi yang memuaskan, terutama dari segi keperincian bass dan treble. Sokongan penggambaran sudut lebarnya juga dilihat kurang baik dari segi hasilannya, dengan memberi hasilan yang lembut walaupun ia digunakan pada waktu siang. Selain itu, saya mengharapkan ia didatangkan dengan fungsi pengecasan tanpa wayar seperti Xiaomi Mi MIX 2s, untuk mengurangkan kebergantungan kepada kabel USB-C ketika ingin mengecas peranti.

Pro
  • Menawarkan rekaan peranti berasaskan kaca yang elegan.
  • Membawakan paparan IPS LCD yang sangat baik dengan DCI-P3 95% dan sokongan HDR.
  • Mampu menggalas tugasan harian dan permainan intensif dengan cemerlang.
  • Keupayaan rakaman video dilihat stabil dengan OIS dan boleh digunakan untuk semua resolusi termasuk 4K@60fps.
  • Menyajikan ketahanan bateri yang memuaskan untuk harian dengan bacaan SoT 6 jam 17 minit.
  • Mengekalkan sambungan bicu audio dan slot kad mikroSD.
  • Hadir dengan pembesar suara berasaskan stereo.
  • Mempunyai sokongan untuk memainkan audio berdefinisi tinggi.
Kontra
  • Pembesar suara stereo kurang memberi keperincian bunyi yang memuaskan.
  • Kualiti penggambaran sudut lebar dilihat kurang tajam.
  • Tidak menawarkan sokongan pengecasan tanpa wayar.

Namun dengan harga jualan bermula RM1899, ASUS ZenFone 5Z telah menyajikan sebuah peranti yang sangat berbaloi untuk harganya, atas penawaran fungsi yang padat bersama spesifikasi peranti yang berkuasa. Selain menampilkan rekaan yang bergaya untuk luaran, dalamannya mampu memberi penggunaan peranti yang seimbang, terutama dinilai dari aspek paparan, prestasi, kamera, dan bateri. Sekiranya anda bertanyakan, apakah peranti yang benar-benar berbaloi tanpa kompromi yang besar untuk harganya, inilah peranti yang akan disyorkan kepada anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd