Malaysia ialah antara pengguna tegar Netflix di rantau Asia Tenggara. Penduduk di negara Malaysia antara yang paling menggemari menggunakan mod muat turun untuk menonton rancangan kegemaran pada peranti ketika di luar rumah. Selama ini apabila menonton video pada peranti Android, pemain video akan menggunakan keseluruhan skrin dan pengguna perlu memegang peranti secara mendatar.
Tetapi sejak semalam kami menyedari Netflix mula menguji pemain video yang membenarkan tontonan secara menegak. Lebih mudah memegang peranti dan menonton video pada posisi ini terutamanya ketika di dalam pengangkut awam misalnya. Ini memberikan Netflix fungsi yang sama seperti yang diberikan oleh YouTube sejak dahulu lagi.
Walau bagaimanapun pemain video secara menegak ini hanya diaktifkan pada pengguna dan peranti tertentu sahaja. Ia kami temui pada Galaxy Note 9 dan tidak pula pada peranti Android dan iOS lain yang kami miliki. Netflix gemar menguji fungsi baharu secara kecil-kecilan sebelum diaktifkan kepada semua. Adakah anda antara yang terpilih menguji pemain video menegak ini?