Cari @ Amanz

Akhir-akhir ini, Telekom Malaysia telah hadir dengan pelbagai promosi untuk pengguna Unifi, menawarkan pakej sehingga 100Mbps pada harga langganan RM129 sebulan. Dengan penawaran kelajuan tinggi dan harga rendah, ia sekaligus membuatkan seperti pengguna Streamyx sedikit terabai dengan tanpa sebarang kemaskini untuk mereka.

Hal ini membuatkan ramai pengguna Streamyx sedia ada yang telah sekian lama menggunakan perkhidmatan berkenaan tidak berpuas-hati dan menyalurkan aduan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Lanjutan daripadanya, kini Menteri Komunikasi dan Multimedia meminta Telekom Malaysia untuk menjelaskan masalah dengan Streamyx, termasuk dari segi apakah kekangan infrastruktur yang menghalang naik-taraf kelajuan.

TM turut melalui laman sosial mereka membalas dan mengatakan yang mana mereka sedang bekerjasama dengan kementerian serta industri dalam meningkatkan akses jalur-lebar dan kelajuan untuk semua rakyat Malaysia. Apa pun, pihak TM tidak menyentuh secara spesifik berkaitan Streamyx dan penggunanya.

Sebelum ini, pihak TM turut telah mengatakan yang mana sebahagian pengguna Streamyx akan menerima naik-taraf ke Unifi – tetapi bergantung kepada pelbagai sokongan teknikal dan sebagainya.

Streamyx Ke Unifi

Pada hari ini, pengguna Streamyx membayar sehingga RM110 untuk kelajuan 1Mbps, yang mana boleh dikatakan sangat mahal untuk pengguna umum. Apatah lagi, kawasan yang sering tiada Unifi adalah kawasan luar-bandar – sekaligus membawa kepada masalah ekonomi digital diperluaskan dengan lebih pantas kepada pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd