Pada tahun lepas sewaktu pelancaran Google Pixel 2, Google turut menjual penyesuai bicu audio 3.5mm. Ini kerana Pixel 2 tidak mempunyai port untuk audio tersebut. Pada asalnya, Google menawarkan harga $20 (~RM80) dan ia membuat pengguna berasa marah. Kemudian, Google mengambil keputusan untuk menjual pada harga hanya $9 (~RM39).
Kini, sempena pelancaran Google Pixel 3 yang kurang sebulan sahaja lagi – Google mula menjual penyesuai bicu audio 3.5mm versi baru. Menurut Google, ia lebih sesuai untuk digunakan pada mana-mana model Pixel atau peranti Android yang menjalankan Android 9.0 Pie ke atas.
Selain itu, Google turut mengurangkan panjang kabel penyesuai ini. Penyesuai ini juga turut mempunyai 53% latensi yang lebih rendah dan juga 38% lebih pantas masa audio dimainkan. Harga pula adalah sedikit lebih mahal, di mana Google kini menawarkan pada harga $12 (~RM50).
Ini berkemungkinan sekali adalah penyesuai bicu audio yang turut akan disertakan bersama-sama dengan Pixel 3 dan Pixel 3 XL yang akan dilancarkan pada 9 Oktober kelak.