Cari @ Amanz

Ulasan di laman web kerap digunakan dalam pemilihan tempat makan, destinasi percutian, peranti yang ingin dibeli dan hotel untuk penginapan. Ini mengurangkan risiko melakukan pilihan yang salah sehingga mengakibatkan kerugian besar. Di Itali, pemilik syarikat yang menulis ulasan palsu di laman TripAdvisor telah dijatuhkan hukuman penjara selama 9 bulan.

Pemilik syarikat Promo Salento menawarkan perkhidmatan menulis ulasan palsu bagi memberikan imej positif kepada pengguna. Dalam siasatan sejak 2015, pihak TripAdvisor menghalang sekitar 1000 ulasan palsu berbayar yang cuba ditinggalkan oleh Promo Salento. Meninggalkan ulasan palsu seperti ini adalah kesalahan mengikut undang-undang di Naples Itali kerana jatuh ke dalam kategori percubaan menipu pengguna.

Selain daripada Promo Salento, TripAdvisor telah menghalang ulasan berbayar dari 60 syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama. Di Malaysia terdapat banyak ulasan berbayar di laman media sosial popular. Sekiranya terdapat undang-undang yang sama seperti di Itali, mungkin epidemik ulasan berbayar palsu ini dapat dihentikan segera.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd