Carian
Apple iPhone XS Dan iPhone XS Max Diperkenalkan Dengan Cip 7nm, Storan Sehingga 512GB
September 13, 2018 Aman

Apple hari ini turut memperkenalkan telefon pintar iPhone generasi baru, iaitu iPhone XS (disebut iPhone Ten “S”). Ia merupakan penaik-tarafan kepada iPhone X yang diperkenalkan pada tahun lepas, hadir dengan skrin 5.8-inci Super Retina berasaskan panel OLED.

Apple iPhone XS

Apple iPhone XS

Bersama-sama dengannya, Apple juga turut memperkenalkan variasi telefon pintar bersaiz besar, dinamakan iPhone XS Max yang menawarkan skrin lebih besar, iaitu pilihan saiz 6.5-inci Super Retina dan turut menggunakan panel OLED. Dari segi perbandingan, ia menawarkan rekaan saiz keseluruhan seumpama siri iPhone “Plus” sebelum ini, tetapi dengan penawaran skrin lebih besar.

iPhone XS dan iPhone XS Max turut menyertakan sokongan nyah-kunci berasaskan wajah dipanggil Face ID. Apple mengatakan ia menawarkan sokongan nyah-kunci wajah lebih pantas melalui penggunaan algoritma baru.

Apple iPhone XS

Kedua-dua telefon pintar ini juga turut menyertakan cip pemprosesan A12 Bionic yang menggunakan rekaan berasaskan 7nm. Apple A12 Bionic membawakan rekaan gabungan CPU 6 teras dan GPU 4 teras, selain turut dilengkapi Neural Engine untuk sokongan pembelajaran mesin dengan lebih pantas. Apple mengatakan melalui cip pemprosesan baru ini, ia menawarkan akses kepada aplikasi lebih 30% pantas berbanding generasi sebelumnya.

Apple iPhone XS

Apple iPhone XS

Dari segi storan, iPhone XS dan iPhone XS Max hadir dengan sokongan storan sehingga 512GB – sekaligus membolehkan anda merakamkan pelbagai gambar dan video, serta disimpan terus pada peranti tanpa perlu risau untuk memadamnya.

Bercakap mengenai telefon pintar, semestinya ramai yang tertanya-tanya berkenaan dengan penawaran kamera. iPhone XS dan iPhone XS Max hadir dengan sokongan dwi-kamera belakang yang mengabungkan sensor 12-megapixel bersama 12-megapixel telefoto yang menawarkan sokongan zoom optikal sehingga 2 kali. Untuk kamera hadapan, ia menyertakan sensor 7-megapixel bersama dengannya.

Apple iPhone XS

Apple iPhone XS

Pada bahagian perisian kamera, Apple menyertakan sokongan Smart HDR yang menggunakan kelebihan cip A12 Bionic dan menghasilkan rakaman gambar yang sangat cantik melaluinya. Apple juga menyertakan sokongan kawalan bokeh selepas rakaman sesuatu gambar. Selain rakaman gambar, untuk video juga beberapa penambah-baikkan disertakan – termasuk kebolehan merakamkan video dengan sokongan audio stereo.

Apple iPhone XS dan iPhone XS Max turut hadir dengan sokongan dwi-SIM – tetapi ia dilihat terhad untuk pasaran China. Sementara untuk pasaran negara lain, ia hadir dengan gabungan penggunaan SIM dan eSIM.

Apple iPhone XS

Apple iPhone XS

Kedua-dua telefon pintar ini juga dikatakan menawarkan masa penggunaan bateri lebih lama, dimana iPhone XS menawarkan masa penggunaan tambahan 30 minit berbanding iPhone X, sementara iPhone XS Max pula menawarkan masa penggunaan tambahan selama 1 jam 30 minit berbanding iPhone X sebelum ini.

Melengkapkan kedua-dua telefon pintar ini adalah sistem operasi iOS 12 yang menyertakan sejumlah ciri-ciri baru bersama dengannya.

Kedua-dua telefon pintar ini akan dipasarkan bermula bulan ini di beberapa negara. Malaysia dijangka menjadi negara fasa ketiga yang menerima kedua-dua telefon pintar ini, dan harga jualannya adalah lebih kurang sama seperti iPhone X sebelum ini.

Komen