Molar Mic Ialah Sistem Mikrofon Tentera Yang Dipakai Di Dalam Mulut

Molar Mic Ialah Sistem Mikrofon Tentera Yang Dipakai Di Dalam Mulut

Diterbitkan pada Sep 13, 2018 oleh .

Klise filem aksi ialah pengawal keselamatan VVIP akan menggunakan sistem radio yang dipasang pada telinga. Kewujudan wayar pada telinga memberikan petanda kepada orang ramai insan yang memakainya ialah pengawal keselamatan. Ini bukan sahaja mendedahkan identiti mereka tetapi sistem ini turut terdedah dengan masalah tidak audio tidak dapat didengari jika kawasan persekitaran adalah bising.

Molar Mic ialah sistem mikrofon dan pembesar suara yang dibangunkan untuk kegunaan pihak Tentera Amerika Syarikat. Berbeza dengan sistem lain di pasaran, Molar Mic dipasang pada gusi di dalam mulut pengguna. Menggunakan teknologi aliran tulang (bone conducting), audio dapat didengari dengan jelas kerana terus ke telinga. Ini menurut Sonitus Technologies yang membangunkan Molar Mic, menjadikannya sesuai digunakan ketika medan perang yang hingar dengan letupan dan krew helikopter yang diganggu bunyi enjin.

Kerana kedudukannya di dalam mulut, pengguna boleh berbisik dan audio masih boleh disampai dengan jelas oleh penerima. Sekali lagi ini berguna ketika melakukan misi menyerang kawasan musuh. Akhir sekali Molar Mic tidak memerlukan angkup yang besar seperti fon kepala serta tiada wayar berselirat kerana ia berfungsi sepenuhnya menggunakan bateri terbina.

Pada fasa awal ia akan digunakan oleh anggota Tentera Udara Amerika Syarikat sebelum dikembangkan kepada cabang lain serta mungkin digunakan oleh polis, ahli paramedik, bomba dan pekerja kawasan industri.


TIPS & ULASAN