Carian
vivo V11 | V11i Rasmi Di Malaysia – Akan Dijual Bermula 15 September
September 13, 2018 Ikhwan Nazri

Tahun ini sahaja menyaksikan pelbagai peranti diumumkan oleh vivo. Malah, Malaysia menjadi antara negara yang awal menerima pelbagai peranti dari vivo dan hari ini peranti terkini dari mereka hadir ke pasaran tempatan iaitu vivo V11 dan vivo V11i

vivo V11 menampilkan takuk yang lebih kecil pada paparan skrin hadapan Super AMOLED yang bersaiz 6.41-inci dan membawakan fungsi terkini pengimbas cap jari yang terbina pada skrin ini. Kamera yang terdapat takuk paparan skrin pula mempunyai sensor 25MP. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 660, memori 6GB RAM dan kapasiti storan 128GB.

Ia juga turut menyertakan kamera 12MP + 5MP dengan fungsi kecerdasan buatan sekaligus boleh merakam gambar yang lebih baik. Kapasiti baterinya adalah sebesar 3400mAH.

Satu lagi variasi yang hadir adalah vivo V11i yang membawakan pengimbas cap jari di bahagian belakang, berlainan dengan V11. Ia juga menggunakan cip berlainan iaitu MediaTek Helio P60, memori 4GB RAM dengan storan sebesar 128GB. Kapasiti bateri pula sedikit berkurangan iaitu sebesar 3315 mAh.

Namun tiada perbezaan pada keupayaan kamera pada vivo V11i, dimana ia masih mengekalkan dwi-kamera 16MP + 5MP pada bahagian belakang, dan kamera hadapan 25MP yang turut hadir dengan kecerdasan buatan bagi membantu menghasilkan rakaman gambar yang lebih cantik.

 

Antara ciri lain pada kedua-dua peranti ini termasuklah fungsi mengakses peranti menggunakan pengecaman wajah, pengecasan pantas Dual Engine, beroperasi menggunakan Android 8.1 dengan Funtouch OS 4.5, fungsi Funmoji dan ditawarkan dalam dua warna menarik yang dinamakan Starry Night & Nebula Fusion.

Pra-tempah kedua-dua peranti ini telahpun ditawarkan lebih awal di Lazada namun bermula 15 September anda boleh mendapatkan vivo V11 di mana-mana cawangan dan pengedar rasmi vivo di seluruh Malaysia. vivo V11i pula mula dijual pada 21 September. vivo V11 dijual pada harga RM 1699 manakala vivo V11i dijual pada harga RM 1299.

Komen