Cari @ Amanz

Telekom Malaysia merupakan salah satu perkhidmatan penyedia internet yang dominan di Malaysia, sekaligus menjadikan ia digunakan oleh majoriti pengguna di Malaysia.

Dengan ramai yang menggunakan perkhidmatan internet TM, semestinya pengguna inginkan kepercayaan, serta keselamatan pelayaran dan sebagainya ketika menggunakan perkhidmatan berkenaan. Walaubagaimanapun, ia dilihat sebaliknya berlaku.

Pihak Telekom Malaysia kini didapati menggunakan salah satu kaedah perdayaan DNS pada perkhidmatan mereka, sekaligus memaparkan iklan pada laman-laman yang gagal dicapai atau tidak wujud – kebiasaannya kerana kesilapan ejaan dan sebagainya.

TM Tipu DNS

Apabila anda membuka laman yang tidak wujud – ia memaparkan halaman tidak wujud daripada pelayar web berkenaan tersendiri. Sebaliknya, untuk pelanggan Telekom Malaysia, melalui perdayaan DNS, ia memaparkan iklan kepada pengguna. Sebagai contoh, apabila anda membuka laman amanzpower.my, ia sepatutnya memaparkan halaman tidak wujud daripada pelayar web, tetapi sebaliknya kini ia memaparkan iklan daripada TM.

TM Tipu DNS Pengguna

Pihak Telekom Malaysia didapati menggunakan perkhidmatan Midas untuk tujuan pengiklanan ini – dimana laman pengiklanan berkenaan sendiri mengatakan ia boleh mencapai lebih 1 juta pengguna harian melalui platform pengiklanan mereka.

TM sendiri didapati telah melakukan perdayaan DNS ini untuk beberapa tahun. Terdapat beberapa pengguna yang telah melaporkannya, malah terdapat sebuah blog yang turut memantau pelbagai bentuk pengiklanan yang dipaparkan oleh TM melalui kaedah perdayaan DNS ini.

Ia agak mengecewakan untuk melihat syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia menggunakan kaedah ini pada perkhidmatan mereka – sekaligus memperdaya ramai pengguna untuk klik iklan atau mengakses laman yang kurang tepat.

Buat masa ini, masalah ini dihadapi apabila pengguna menggunakan TM DNS sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd