Cari @ Amanz

Vivo V11
Skrin 6.41” Super AMOLED, FHD+
Nisbah 19.5:9, 402 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.2 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 6GB RAM
Storan 128GB UFS 2.1
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 5MP f/2.4
Kamera Hadapan 25MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
mikroUSB
Sistem Funtouch OS 4.5
Android 8.1 Oreo
Bateri 3400 mAh, Quick Charge 3.0
Dimensi 157.9 x 75 x 7.9 mm
Berat & Ketebalan 156g, 7.8mm
Harga RM1699 (128GB + 6GB RAM)

Antara fungsi yang mencuri perhatian pada tahun ini ialah fungsi pengimbas cap jari di bawah skrin. Teknologi ini dilihat sangat menarik kerana ia mengenal pasti cap jari anda berasaskan cahaya, sekaligus memberi pengelaman penggunaan yang lebih futuristik. Vivo sebelum ini pernah hadir dengan Vivo X21, iaitu peranti pertama daripada Vivo yang menawarkan sokongan ini. Kemudian, ia digunakan pada Vivo NEX iaitu peranti dengan rekaan skrin penuh tanpa takuk di bahagian atas.

Vivo V11 ialah peranti terkini daripada Vivo yang menawarkan teknologi pengimbas cap jari ini. Agak menarik sebenarnya kerana ia telah hadir ke peranti kelas pertengahan, yang kini boleh didapati secara berpatutan oleh pengguna. Ia telah ditawarkan pada harga RM1699 dan menjadi peranti dengan teknologi pengimbas cap jari di bawah skrin termurah, setakat ini. Ia juga ialah peranti penerus untuk siri Vivo V9, yang kini ditambahbaik dari segi rekaan, prestasi, kamera, dan ketahanan bateri.

Rekaan

Vivo V11 didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.41-inci Super AMOLED Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Snapdragon 660, memori 6GB RAM, dan storan 128GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 256GB. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3400 mAh.

Dari segi binaannya, ia menawarkan rekaan berasaskan polikarbonat, dengan kemasan warna cerun (gradient) di bahagian belakang. Warna cerun ini kelihatan sangat menawan, yang mana turut digarapkan dengan kemasan bintik-bintik di bahagian bawahnya. Binaan polikarbonat ini boleh dikatakan sedikit licin apabila berada di tangan, namun anda boleh menggunakan aksesori perlindung silikon secara percuma, untuk memberi keselesaan ketika memegang peranti ini.

Di bahagian belakang ini menempatkan rekaan kamera secara menegak, seperti yang dilihat pada Vivo V9 sebelum ini. Ia menawarkan sistem dwi-kamera 12MP + 5MP disamping membawakan lampu LED dwi-tona warna pada bahagian bawah kamera. Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dan butang pembesar suara pada bahagian kanan, sementara slot dwi-sim dan mikroSD berasingan ditempatkan pada bahagian kiri.

Di bahagian atas peranti tidak menempatkan sebarang sambungan, namun hadir dengan saluran mikrofon kedua. Di bawahnya terdapat sambungan standard seperti bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono, namun masih mengekalkan sambungan mikroUSB. Pembesar suara mononya kedengaran lantang, namun saya mengharapkan ia hadir dengan pembesar suara stereo seperti Pocophone F1.

Buat pertama kalinya dalam siri Vivo V kali ini, ia menyertakan fungsi pengimbas cap jari di bawah skrin, dengan kepantasan yang sederhana untuk menyahkunci peranti. Ia kadang kala berjaya dan kadang kala tidak berjaya, yang mana memerlukan anda menekan lebih kuat untuk membolehkannya ia berfungsi dengan lebih berkesan. Sekiranya anda kurang berpuas hati dengan prestasi pengimbas cap jari ini, anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah yang disertakan pada peranti ini.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin Super AMOLED sebesar 6.41-inci, dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 19.7:9. Ia menampilkan rekaan bertakuk seumpama titisan air, bagi perletakkan kamera hadapan dan saluran pendengaran telinga. Tidak seperti Vivo V9 sebelum ini, ia tidak menyajikan sebarang fungsi menyorokkan takuk hadir pada tetapan peranti. Namun kualiti paparannya dilihat sangat terang, dengan memberi perwarnaan yang mendalam seperti yang dilihat pada peranti siri Samsung Galaxy S / Note.

Dari segi variasi, Vivo V11 ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Dengan sokongan perletakkan kad mikroSD, anda boleh membuat penambahan storan sehingga 256GB, yang mana ditempatkan pada slot berasingan. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna, menerusi Starry Night dan Dazzling Gold, yang mana boleh dipilih sewaktu membuat pembelian peranti.

Sistem

Vivo V11 dijana dengan Funtouch OS 4.5 (berasaskan Android 8.1 Oreo) iaitu antaramuka yang sama digunakan pada Vivo NEX. Antaramuka ini menawarkan paparan utama tanpa talam aplikasi, seumpama yang hadir pada peranti Oppo dan Xiaomi. Ia membolehkan ada mengubah tema, dengan sejumlah pilihan yang boleh dimuat-turun pada aplikasi Themes. Tetapi yang membezakan antaramuka ini dengan antaramuka Android lain, paparan Control Center Funtouch OS 4.5 menyerupai seperti yang ditawarkan pada iOS, yang mana memerlukan anda meleret (swipe) dari bawah skrin.

Funtouch OS 4.5 telah menambah sejumlah fungsi baru seperti fungsi kecerdasan buatan (AI) pada kamera, yang membolehkan kamera mengenal pasti sesuatu subjek di hadapan kamera. Seperti contoh, sekiranya anda menghalakan kamera lokasi pencahayaan malap, ia akan mengaktifkan Low Light Mode untuk meningkatkan mutu penggambaran. Satu lagi fungsi yang telah ditambah ialah Jovi iaitu fungsi pembantu maya berasaskan paparan pintar. Ia akan memberitahu anda beberapa perkara penting, seperti cuaca dan aktiviti daripada kalendar anda.

Prestasi

Vivo V11 dijana dengan cip pemprosesan kelas pertengahan seperti Xiaomi Mi A2, menerusi penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 660. Ia membawakan cip lapan teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Kryo 260 2.2 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Kryo 260 1.8 GHz untuk kegunaan standard secara efisien. Ia juga menampilkan GPU Adreno 512, yang dilihat mampu memainkan permainan intensif dengan selesa melalui tetapan grafik sederhana.

Dengan penggunaan memori 6GB RAM, peranti ini tidak memberikan isu dari segi prestasi, terutama ketika membuat pertukaran aplikasi atau memainkan permainan bergrafik intensif terkini. Ketika mencuba peranti ini untuk memainkan permainan PUBG Mobile, ia dapat dimainkan secara lancar, melalui bacaan kadar bingkai (frame rate) yang konsisten. Pengeluaran haba daripada peranti ini masih terasa minima, walaupun digunakan melebihi 30 minit sesi permainan.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Vivo V11 didatangkan dengan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 12MP (f/1.8, 1/2.8”), bersama sensor kedua 5MP f/2.4 untuk kebolehan Portrait Mode. Ia juga turut dilengkapi dengan Dual Pixel PDAF, sokongan AI, dan HDR, namun tidak menawarkan sebaran penstabilan imej seperti OIS dan EIS.

Pada percubaan awal saya untuk kebolehan fotografinya, gambarnya kelihatan baik untuk kebanyakan situasi penggambaran, dengan memberi warna yang menarik untuk dilihat. Ia juga memberi hasilan yang terang melalui penggunaan aperture f/1.8, yang dilihat membantu untuk kegunaan fotografi pada situasi pencahayaan malap. Dengan bantuan daripada AI, ia membolehkan peranti menetapkan sesuatu penggambaran secara automatik selepas berjaya mengenal pasti subjek di hadapan kamera.

Kamera hadapannya hadir dengan sensor 25MP f/2.0, bersama-sama fungsi Screen Flash untuk membantu penggambaran ketika pencahayaan malap. Hasilannya dilihat baik, dengan memberi hasilan yang jelas apabila diteliti pada bahagian kulit wajah. Hasilan kabur di belakang subjek juga kelihatan baik, melalui hasilan yang kemas dan tidak terlalu bercelaru.

Dari segi fungsi rakaman, Vivo V11 mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps namun tidak dilengkapi dengan sokongan EIS untuk mengurangkan kesan gegaran sewaktu rakaman video. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti kebolehan AI Face Beauty, Professional, dan AR Stickers sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran.

Bateri

Vivo V11 telah membawakan kapasiti bateri yang ditingkatkan daripada Vivo V9, iaitu 3400 berbanding 3260 mAh. Ia dilihat berpadanan dengan beberapa pesaingnya, seperti Oppo F9 (3500 mAh), namun masih tewas di belakang Nokia 7 Plus yang menggunakan bateri 3800 mAh. Dengan penggunaan cip 10nm, ia dijangka dapat memberi bacaan Screen-on-Time sekitar 6-7 jam untuk penggunaan sepanjang hari.

Tidak seperti Vivo V9, Vivo V11 kini telah menyokong fungsi pengecasan pantas, melalui penggunaan pengecas 18W yang dibekalkan. Ia dijangka dapat mengecas peranti ini dalam masa sekitar 2 jam berbanding 2 jam 30 minit ke atas berbanding sebelum ini. Cuma agak sedikit mengecewakan, ia masih menggunakan sambungan mikroUSB berbanding USB-C.

Rumusan

Vivo V11 menawarkan perubahan yang besar berbanding Vivo V9, terutama dari segi aspek rekaan, prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri. Ia kini telah membawa rekaan polikarbonat dengan warna cerun yang menarik, sekaligus memberi penampakan peranti yang elegan. Ia juga kini dilengkapi dengan skrin baru dengan takuk yang dikecilkan, bagi memberi paparan skrin penuh yang lebih luas tanpa perletakkan takuk yang besar seperti Vivo V9. Bukan itu sahaja, panel skrinnya juga telah dipertingkatkan, yang kini dilengkapi dengan paparan Super AMOLED yang lebih terang berbanding IPS LCD biasa.

Selain dari aspek rekaan, Vivo V11 juga menyajikan prestasi yang pantas melalui penggunaan cip Snapdragon 660 bersama padanan memori 6GB RAM. Ia turut mempunyai storan dalaman 128GB, yang mana boleh ditingkatkan melalui penambahan storan mikroSD. Keupayaan kamera utama 12MP f/1.8 + 5MP f/2.4 juga telah dipertingkatkan dengan AI, bagi membolehkan kamera mengenalpasti subjek di hadapan kamera dan memberikan hasilan yang lebih menarik. Baterinya juga telah dipertingkat kepada kapasiti 3400, yang kini turut menyokong fungsi pengecasan pantas 18W untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti.

Cuma beberapa kelemahan yang dikenal pasti adalah dari segi bahan binaannya yang dipilih berasaskan polikarbonat. Ia masih kelihatan menarik, namun memegang peranti ini akan terasa lebih ringan dan “murah” apabila berada di tangan. Sambungan pengecasannya juga masih menggunakan mikroUSB, yang dilihat agak ketinggalan berbanding pesaingnya yang kini sudah pun menggunakan sambungan USB-C.

Selain itu semua, Vivo V11 mempunyai penawaran yang seimbang untuk harganya dan mampu bersaing dengan peranti sekelasnya seperti OPPO F9 dan Nokia 7 Plus. Vivo mempunyai kekuatan dari segi skrin yang menggunakan Super AMOLED dan sokongan pengimbas cap jari di bahagian skrin. Dengan keupayaan seperti cip Snapdragon 660, 6GB RAM, kamera 12MP f/1.8 + 5MP dengan AI, dan bateri 3400 mAh, ia berpontensi untuk menjadi sebuah peranti kelas pertengahan yang baik dari segi fungsi dan penawarannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd