Legasi Rekaan iPhone Steve Jobs Berkubur Dengan Pelancaran Peranti Terkini Apple Semalam

Legasi Rekaan iPhone Steve Jobs Berkubur Dengan Pelancaran Peranti Terkini Apple Semalam

Diterbitkan pada Sep 14, 2018 oleh .

Steve Jobs meninggal dunia pada 5 Oktober 2011 kerana kanser pankreas. Kematian beliau diratapi peminat tegar Apple dan meninggal vakum yang besar di syarikat yang diasaskan oleh beliau dan Wozniak pada tahun 1976. Legasi terbesar beliau mungkin ialah iPhone yang mengubah landskap telefon mudah alih dan membuka lembaran baru telefon pintar yang kini digunakan dengan meluas. Tetapi mungkin ramai tidak menyedari dengan pelancaran iPhone XS, XS Max dan XR semalam, pengaruh Steve Jobs dalam rekaan iPhone juga berkubur.

Kami katakan begini kerana semalam iPhone SE turut dihentikan penjualannya bersama dengan iPhone 6, 6S dan 6S Plus. iPhone SE adalah unik di dalam senarai peranti jualan Apple tahun lalu kerana ia yang terakhir dilengkapi skrin sebesar 4-inci bernisbah 16:9. Saiz skrin yang kecil ini adalah penting bagi mendiang Jobs kerana ia memastikan setiap permukaan skrin boleh diakses dengan mudah oleh jari.

Selepas iPhone 6 Plus dilancarkan dengan skrin 5.5-inci, ramai pengguna tegar merungut peranti tidak lagi selesa digunakan dengan sebelah tangan kerana sukar mengakses bucu atas skrin. Malahan kewujudan iPhone 6 Plus ini dianggap menghina legasi Jobs yang pernah mengutuk kewujudan Galaxy Note kerana skrinnya yang dikatakan terlalu besar.

Ramai melihat pasca kematian Jobs, iPhone bukan lagi peranti yang mencetus inovasi tetapi menjadi pengikut trend pasaran. Baton inovasi diambil alih oleh Samsung dengan penggunaan skrin OLED dan pengenalan stylus dan skrin dwi-lengkung sisi. Oppo, Xiaomi, Vivo, Huawei dan HTC kemudiannya meneruskan inovasi seperti skrin nirbingkai, kamera lungsur, kamera selfie bersensor besar, kemampuan Bokeh dan pengimbas cap jari pada skrin.

Dengan penghentian jualan iPhone SE semalam, ia mewujudkan vakum untuk peranti iOS dengan saiz yang kecil. Di Asia ini mungkin tidak berapa dirasai kerana penduduk benua ini lebih menggemari peranti berskrin besar. Di Eropah dan Amerika Syarikat pasaran untuknya masih lagi agak besar terutamanya di kalangan wanita.

Hanya Sony menghasilkan peranti dengan rekaan pada ini menerusi siri Xperia Compact mereka dengan XZ2 Compact dengan skrin sebesar 5-inci. Kami sendiri tidak boleh menyalahkan Apple kerana melupakan DNA iPhone Steve Jobs kerana perlu mengikut peredaran masa. Steve Jobs terkenal dengan falsafah beliau lebih mengetahui apa yang dimahukan oleh pengguna dari pengguna itu sendiri. Beliau enggan berganjak dari pendapat yang tidak selari dengan kehendak pengguna.

Apple di bawah Tim Cook sebaliknya lebih terbuka kepada pendapat pengguna bagi memastikan produk Apple sentiasa relevan dengan kehendak pengguna. Oleh itu pengenalan stylus Apple Pencil (yang dibenci Jobs), membuang rekaan skeuomorphism dan skrin lebih besar dilakukan juga walaupun melanggar design rules yang dipegang teguh sebelum ini. Masa depan syarikat lebih penting dari memelihara legasi insan yang sudah tidak lagi wujud di dunia.

Masihkah ada pembaca Amanz yang masih belum berubah ke iPhone dengan skrin besar? Sekiranya ya apakah yang akan anda lakukan selepas ini? Membeli peranti iOS dengan skrin lebih besar atau memborong iPhone SE yang masih boleh ditemui di pasaran?

I want to put a ding in the universe.Design is not just what it looks like and feels like. Design is how it works. We hire people who want to make the best things in the world- Steve Jobs


TIPS & ULASAN