Cari @ Amanz

Selamat tinggal diucapkan kepada Apple iPhone X kerana selepas setahun dilancarkan, pengeluarannya telah dihentikan oleh Apple bagi memberi laluan kepada iPhone XS. Biasanya sejurus selepas model baharu iPhone dilancarkan, ramai akan mula membeli model tahun lalu kerana potongan harga yang diberikan.

Di Malaysia iPhone X 64GB kini boleh dibeli pada harga RM4,299, sementara model 256GB pula ditawarkan pada harga RM4,999. Ini adalah potongan harga yang besar berbanding harga jualan asal RM 5,149 dan RM 5,899 tahun lalu. Jadi persoalannya adakah iPhone X masih berbaloi untuk dibeli sekarang?

Pemproses Dan RAM

Apple iPhone X dilengkapi pemproses Apple A11 Bionic sudah berusia setahun tetapi ia masih lagi lebih berkuasa berbanding Snapdragon 845, Exynos 9810 dan Kirin 970 yang digunakan pada peranti-peranti mercu Android di pasaran. Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 3GB RAM. Satu kekurangan paling ketara pada iPhone X ialah saiz RAM yang amat kecil kerana peranti mercu Android kini mempunyai memori sehingga 8GB RAM.

Sekiranya anda memerlukan prestasi memainkan permua yang pada tetapan tertinggi dan melakukan suntingan video 4K pada peranti mudah alih, iPhone X ialah peranti untuk anda. Ia masih jauh di hadapan dari segi kemampuan memproses. Tetapi jika anda memerlukan peranti untuk kegunaan multi-tugas, saiz RAM iPhone X akan mengecewakan anda. Menerusi pengalaman peribadi aplikasi pada iPhone X lebih kerap melakukan segara semula kerana kekurangan RAM.

Skrin

Skrin 5.8″ OLED mempunyai resolusi Retina (458 ppi) dan menyokong paparan HDR. Terdapat juga sokongan True Tone yang mengubah keterangan skrin bagi memastikan warna dipaparkan konsisten setiap masa. Ia walau bagaimanapun mempunyai takuk yang amat besar sedangkan trend semasa sudah mula berubah ke penggunaan takuk yang kecil. Ini tidak dapat dielakkan kerana pelbagai sensor pada bahagian hadapan diperlukan untuk sistem Face ID.

Sebagai perbandingan berikut ialah senarai saiz skrin pada beberapa peranti Android popular di pasaran Malaysia.

  • Honor Nova 3 – 6.3″ IPS LCD FHD+ (409 ppi)
  • HTC U12+ – 6.0″ Super LCD6 QHD+ (537 ppi)
  • Huawei P20 Pro – 6.1″ AMOLED FHD+ HDR (408 ppi)
  • OnePlus 6 – 6.28″ Optic AMOLED HDR FHD+ (402 ppi)
  • Oppo Find X – 6.42″ AMOLED HDR FHD+ (401 ppi)
  • Samsung Galaxy Note 9 – 6.4″ SAMOLED QHD+ HDR (516 ppi)
  • Samsung Galaxy S9 – 5.8″ SAMOLED QHD+ HDR (570 ppi)
  • Vivo NEX – 6.59″ SAMOLED FHD+ (388 ppi)

Seperti yang dapat anda lihat di atas, dengan penggunaan skrin OLED, sokongan HDR serta kepadatan pixel yang tinggi iPhone X masih lagi mampu bersaing dengan majoriti peranti-peranti mercu Android di pasaran.

Kamera

Apakah kemampuan kamera yang baik? Ini adalah subjektif bergantung kepada siapa soalan ditujukan. Bagi pengguna iPhone X kualiti gambar lebih baik pada iOS kerana sokongan yang lebih baik pada media sosial seperti Instagram dan Snapchat. Gambar statik yang dihasilkan juga mempunyai warna yang lebih semula jadi tanpa pemprosesan melampau.

Ia juga adalah peranti pertama menawarkan rakaman 4K 6oFPS. Kualiti video 1080P iPhone X juga antara yang terbaik kerana sistem penstabilan dual-iOS yang dipadankan dengan perisian yang baik.

Dengan dwi-kamera, mod potret iPhone X juga menghasilkan kesan bokeh yang lebih mantap dan realistik. Pada Android bokeh palsu kerap kali digunakan dengan edge detection yang lemah. Antara kekuatan utama iPhone X ialah perisian kamera yang lebih dioptimasikan kepada mereka yang mahukan gambar yang kelihatan lebih asli tanpa kesan khas melampau.

Pada Galaxy Note9 dan Note 9 wujud kamera dengan bukaan boleh ubah bergantung kepada situasi pencahayaan. Rakaman 4K 60FPS disokong dan kami merasakan rakaman dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik lebih baik pada peranti mercu Samsung.

Tetapi juara rakaman pada waktu malam untuk peranti yang dijual secara rasmi di Malaysia ialah Huawei P20 Pro. Mod rakaman dedahan panjang selama empat saat P20 Pro memberikannya kelebihan yang masih belum mampu ditandingi peranti yang kami ulas setakat ini di makmal Amanz.

Jadi apakah kesimpulan disini? Jika anda mahukan gambar yang lebih semula jadi dan rakaman video yang baik, iPhone X masih lagi berbaloi. Namum jika anda mencari peranti yang merakam gambar waktu malam yang lebih baik, Huawei Mate 20 Pro mempunyai kelebihan yang ketara.

Fungsi Tambahan

iOS tidak terkenal dengan fungsi tambahan yang unik jika dibandingkan dengan Android. Tetapi pada iPhone X dan iOS 12, beberapa fungsi menarik akhirnya wujud pada sistem operasi ini. Pertama sekali ialah sistem Face ID yang mengimbas wajah secara tiga dimensi. Ia turut membenarkan nyahkunci dalam keadaan gelap tanpa masalah. Hanya sebahagian kecil peranti Android di pasaran menyokong fungsi ini contohnya Xiaomi Mi 8 Exlorer Edition. Tetapi buat masa ini Face ID menawarkan sistem nyahkunci wajah terbaik di dalam industri.

Animoji baharu turut diperkenalkan menerusi iOS 12 yang menambah lagi fungsi realiti gabungan yang membolehkan pengguna menghasilkan avatar 3D wajah mereka. Fungsi yang sama masih tidak boleh ditemui di Android. Samsung mempunyai My Emoji tetapi ia tidak selancar dan jitu seperti Animoji. Dua fungsi yang kami senaraikan di atas membuatkan iPhone X masih menarik untuk dimiliki.

Tetapi pada waktu yang sama iPhone X tidak dilengkapi bicu audio, tidak disertakan dengan pengecas pantas dengan setiap pembelian, tiada fungsi multi-tingkap, sukar memindahkan kandungan peranti tanpa menggunakan iTunes serta tiada sokongan stylus seperti Galaxy Note 9. Harga jualan iPhone X yang masih lebih tinggi selepas harga dikemaskini tetapi masih tiada fungsi yang ditawarkan peranti Android mengimbangi semula kelebihan yang kami senaraikan di atas.

Harga

Berikut adalah perbandingan harga jualan semasa untuk peranti-peranti mercu Android dengan iPhone X.

  • Apple iPhone X – 64GB – RM 4,299
  • Apple iPhone X  – 256GB – RM 4,999
  • Samsung Galaxy Note 9 – 6GB/64GB – RM 3,699
  • Samsung Galaxy Note 9 – 8GB/512GB – RM 4,599
  • Huawei P20 Pro – 6GB/128GB – RM 2,949
  • Xiaomi Mi 8 – 6GB/128GB– RM 1999
  • Oppo Find X – 8GB/256GB – RM 3,699
  • OnePlus 6 – 8GB/256GB – RM 2,920
  • Vivo NEX – 8GB/128GB – RM 2,799

Kesimpulan

Adakah iPhone X masih berbaloi dimiliki? Melihat kepada pelbagai perbandingan yang kami berikan di atas jawapannya adalah tidak buat masa ini. Kami katakan begini kerana dengan harga jualan bermula dari RM4299 ia masih terlalu mahal bagi sebuah peranti yang sudah berusia setahun. Tambahan pula ia model yang tidak lagi dikeluarkan yang mungkin dicari oleh pengumpul tegar Apple sahaja.

Adalah lebih berbaloi pada peminat Apple untuk membeli iPhone XS dan XS Max yang bakal dilancarkan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi kerana kamera dan pemproses yang lebih berkuasa. Jika Face ID yang anda mahukan, iPhone XR memberikan fungsi yang sama tetapi kami yakin pada harga yang lebih mampu milik.

Kemampuan kameranya juga tidak lagi boleh dikategorikan sebagai terbaik di dalam kelasnya selepas 12 bulan di pasaran. Kami hanya sarankan iPhone X kepada insan yang mahu kelihatan seperti memiliki sebuah iPhone XS tanpa perlu berbelanja lebih kerana kedua-dua peranti sukar dibezakan dari jarak jauh.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd