Cari @ Amanz

Apple pada minggu ini telah memperkenalkan tiga telefon pintar baru, iaitu iPhone XS, iPhone XS Max dan juga iPhone XR. Buat masa ini, tarikh pelancaran peranti berkenaan untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui lagi – malah nama Malaysia tiada dalam dua fasa terawal pengenalan peranti berkenaan.

Namun, ia tidak bermakna pengenalan untuk Malaysia akan mengambil tempoh masa yang lama. Terkini, Digi dan Celcom telah mengemaskini laman utama mereka dan menambah gambar acah untuk iPhone XS. Malah, Digi turut menambah gambar acah iPhone XR pada laman mereka.

Digi iPhone XS

Selain daripada syarikat telekomunikasi, Lazada melalui kedai rasmi Apple turut memperlihatkan gambar acah untuk iPhone XS dan iPhone XR. Ini sekaligus memberikan petanda yang mana Apple mungkin menawarkan peranti berkenaan di Malaysia tidak lama lagi.

Jikalau mengikut tahun lepas, iPhone 8 telah dilancarkan 12 September dan dijual dibeberapa buah negara bermula 22 September. Untuk pasaran tempatan, ia telah ditawarkan selang sebulan selepasnya, iaitu bermula 20 Oktober 2017. Sekiranya mengikut latar masa lebih kurang sama, kita mungkin melihat penawaran iPhone XS di Malaysia sekitar Oktober ini.

Lazada iPhone XS

Jadi, bagi anda yang berhasrat mendapatkannya, mungkin boleh menyimpan duit dan mendapatkan set rasmi tempatan apabila dilancarkan kelak – berbanding perlu mengeluarkan wang tambahan untuk versi import.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd