Wiko adalah syarikat pengeluar dari Perancis yang memasuki pasaran Malaysia sekitar dua tahun yang lalu. Mereka hari ini melancarkan dua lagi peranti baharu iaitu Wiko View 2 Plus dan Tommy 3 Plus yang jatuh ke dalam kategori mampu milik untuk pengguna yang tidak ingin berbelanja lebih.
Wiko View 2 Plus ialah peranti dengan skrin 5.93″ IPS LCD HD+ bertakuk, dijana pemproses lapan teras Snapdragon 450, memori sebesar 3GB RAM dan storan sebesar 32GB. Kamera utama adalah sebesar 12+5 Megapixel manakala kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel. Sebuah bateri sebesar 4000 mAh membekalkan kuasa. Peranti ini hadir dengan sistem nyahkunci menggunakan wajah serta menggunakan sistem operasi Android 8.1.
Wiko Tommy 3 Plus pula ialah peranti dengan skrin 5.45″ IPS LCD HD+ nirtakuk, dijana pemproses empat teras Mediatek MT6739WA, memori sebesar 2GB RAM dan storan sebesar 16GB. Kamera utama adalah sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel. Sebuah bateri sebesar 2900 mAh membekalkan kuasa. Peranti ini menggunakan sistem operasi Android 8.1 dan menarik sekali menyokong dwi-SIM bersaiz mikro.
Wiko View Plus 2 dijual pada harga RM559 dalam pilihan warna Supernova dan Anthracite. Tetapi ia ditawarkan pada harga RM499 dari 17-19 September menerusi Lazada. Wiko Tommy 3 Plus pula dijual pada harga RM399 dalam pilihan warn Anthracite Mirror, Gold, Bleen dan Cherry Red.