Cari @ Amanz

Apple akan menawarkan kemaskini iOS 12 untuk semua iPhone dan iPad yang menjalankan iOS 11, secara rasminya bermula awal pagi esok, 18 September 2018. Kemaskini ini ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna iPhone dan iPad – dimana ia turut menyertakan sejumlah ciri-ciri baru bersama dengannya.

Prestasi Lebih Pantas

iOS 12 memfokuskan kepada prestasi yang lebih pantas. Apple mengatakan iPhone dan iPad anda akan beroperasi lebih pantas berbanding sebelum ini. Sebagai perbandingan, Apple mengatakan kini aplikasi boleh dibuka sehingga dua kali lebih pantas berbanding sebelum ini, selain akses kepada papan kekunci dan kamera yang lebih cepat berbanding sebelum ini. Penambah-baikkan prestasi ini bukan sahaja memfokuskan peranti baru, tetapi juga menguntungkan pengguna iPhone 5s dan juga iPad Air yang telah dilancarkan beberapa tahun lepas.

Memoji Untuk iPhone X

Untuk pengguna iPhone X, anda sedia ditawarkan dengan sokongan emoji dalam bentuk animasi, dinamakan Animoji. Melalui iOS 12, pihak Apple turut menambah sokongan Memoji yang membolehkan anda menghasilkan watak emoji menggunakan wajah anda.

Pantau Penggunaan Melalui Screen Time

Pada masa kini, ramai pengguna menghabiskan masa tanpa had pada peranti mudah-alih. Apple ingin mengatasi masalah ini, dan mengawal penggunaan masa anda, selain memastikan anda menggunakan masa berkualiti anda untuk tujuan lain.

Screen Time

Melalui Screen Time, ia membolehkan anda melihat penggunaan harian anda untuk sesuatu aplikasi. Anda juga boleh menetapkan had penggunaan masa untuk sesuatu aplikasi dan menerima notifikasi amaran apabila masa penggunaan anda menghampiri hadnya.

Notifikasi Yang Dihimpunkan

Salah satu perkara yang tidak disukai ramai pengguna iPhone adalah bentuk paparan notifikasinya. Pada iOS 12, Apple kini mengatasi masalah paparan, dan menghimpunkan pelbagai notifikasi dibawah satu kumpulan – sekaligus memudahkan anda mengakses dan membaca sesuatu notifikasi pada sesuatu masa.

Aplikasi Shortcuts Untuk Memudahkan Tugasan Anda

iOS 12 Shortcuts

Melalui iOS 12, salah satu aplikasi baru yang turut hadir adalah aplikasi Shortcuts. Secara kasarnya, ia merupakan variasi penawaran fungsi seumpama IFTTT. Pengguna boleh menetapkan beberapa arahan, dan ia akan berfungsi secara automatik. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan untuk anda menghantar mesej kepada seseorang apabila anda keluar daripada pejabat – dan ia akan lakukan secara automatik.

Shortcuts menyertakan sekitar 300 pintasan yang telah sedia dibangunkan, dan ia boleh ditambah oleh pengguna atau menyuntingnya untuk selari dengan kehendak anda.

Penggunaan “Do Not Disturb” Yang Lebih Pintar

Do Not Disturb merupakan salah satu ciri yang hadir pada iPhone dan iPad, yang menghalang pelbagai notifikasi apabila ia diaktifkan. Menjadi kebiasaan untuk pengguna mengaktifkannya ketika dalam mesyuarat dan sebagainy – tetapi lupa untuk mematikannya.

Do Not Disturb

Melalui iOS 12, Apple menawarkan lebih kawalan untuknya, dimana pengguna boleh mengaktifkan ciri “Do Not Disturb” untuk suatu tempoh masa, atau mematikannya secara automatik apabila anda keluar dari sesuatu lokasi.

Carian Pada Photos Kini Lebih Mudah

Photos, aplikasi galeri gambar yang hadir pada peranti mudah-alih iOS sedia menyertakan sokongan kecerdasan buatan. Pada iOS 12, ia terus ditambah-baik lagi, dan memudahkan lagi proses carian. Kini, anda boleh melihat pelbagai cadangan carian ketika anda mula menaip, termasuk berasaskan detik, tempat dan sebagainya.

Siri Kini Berfungsi Dengan Aplikasi Pihak Ketiga

Melalui iOS 12, pembantu digital maya Apple, iaitu Siri kini turut boleh diintegrasi bersama pelbagai aplikasi pembangun pihak ketiga yang lain. Dengan langkah ini, anda boleh melakukan pelbagai perkara dengan hanya arahan suara, sekaligus memudahkan lagi urusan harian anda.

Kawalan Privasi Lebih Baik Pada Safari

iOS 12 Privacy

Apple melalui iOS 11 sedia menyertakan sokongan penghalang penjejak pada pelayar web Safari. Kini, melalui iOS 12, ia ditambah-baik lagi, dimana turut menghalang pelbagai penjejak yang turut hadir dalam bentuk butang dan widget yang terpasang pada sesuatu web – sebagai contoh butang Facebook Share dan sebagainya. Ciri ini ditawarkan melalui Safari pada iOS 12.

Kemaskini Perisian Automatik

Pada iOS 12, Apple turut menyertakan sebuah pilihan baru yang membolehkan sistem operasi iOS akan datang dimuat-turun dan dipasang secara automatik pada peranti anda. Seperti biasa, anda boleh memilih untuk nyah-aktifkan tetapan baru ini.


Selain daripada ini, Apple turut menyertakan sejumlah ciri-ciri menarik yang lain pada iOS 12, termasuk sokongan realiti-gabungan (AR) yang lebih baik, sebuah aplikasi Measure yang menggunakan kelebihan AR dalam memudahkan anda melakukan pengukuran, aplikasi iBooks yang dijenamakan semula kepada Apple Books dan sebagainya. Apple juga menjanjikan pengenalan FaceTime berkumpulan sehingga 32 orang dalam beberapa bulan lagi untuk pengguna iOS 12.

Bagi anda yang menggunakan iPad dan iPhone, boleh menyemak peranti anda bermula awal pagi esok untuk menaik-taraf dan menggunakan ciri-ciri yang dibawakan oleh Apple ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd