Carian
Samsung Dilaporkan Bakal Menghentikan Siri Galaxy J
September 17, 2018 Aman

Samsung mempunyai beberapa siri peranti dibawah Galaxy. Yang paling popular adalah siri Galaxy S dan Galaxy Note yang menawarkan ciri-ciri premium. Ia diikuti dengan Galaxy A yang menawarkan spesifikasi pertengahan dengan ciri-ciri peranti mercu, selain Galaxy J yang memfokuskan peranti kelas pertengahan dan rendah.

Kini, menurut laporan baru, Samsung dikatakan bakal menghentikan pengeluaran peranti dibawah jenama siri Galaxy J, sebaliknya lebih memfokuskan kepada penawaran peranti Galaxy A. Galaxy A dijangka diperluaskan untuk turut meliputi peranti kelas pertengahan tidak lama lagi.

Untuk peranti kelas rendah pula, Samsung dijangka hadir dengan sebuah siri baru, dinamakan Galaxy M. Siri baru ini dijangka menggantikan siri Galaxy ON yang buat masa ini ditawarkan di China dan India.

Dengan penjenamaan semula siri peranti ini, ia dijangka akan lebih memudahkan lagi pengguna memilih peranti – selain turut memudahkan Samsung dalam menyertakan pelbagai ciri-ciri baru pada siri Galaxy A selepas ini.

Pihak Samsung masih belum mengumumkan perubahan ini secara rasminya buat masa ini. Samsung menjadualkan acara pengenalan peranti baru pada Oktober ini, dimana kita mungkin mendengar lanjut perancangan mereka dalam penawaran peranti berspesifikasi pertengahan.

Komen